Tulisan ini hasil daripada salah satu siri halaqah ilmu yang saya hadiri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Saya sememangnya meminati perkongsian dan wacana yang berkisar tentang al-Quran. Bercakap-cakap dan mengupas tentang al-Quran membuatkan saya yakin bahawa al-Quran itu bukan hanya pada bacaan dan hafalan.
Tapi isi dan konteksnya juga seolah-olah bertepatan dengan kehidupan seharian saya – bagaimana saya membentuk pendirian, bagaimana saya berkelakuan dengan cara yang bertepatan dengan al-Quran.
Hal ini memberi saya peluang untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan yakin kerana beramal dengan hujah dan sandaran, bukan semata ikut-ikutan.
Menjadi anak muda sebenarnya merupakan satu nikmat, tapi boleh jadi juga satu beban.
Ketika ramai orang mengejar populariti dan trend sana sini, kita sebagai seorang anak muda Muslim perlu usaha keras untuk mencari dan kekal dengan pendirian yang benar, bukan tenggelam dalam arus moden dan teknologi.
Maka bagi saya, kekal istiqamah dengan ilmu adalah satu-satunya cara untuk saya kekal sedar bahawa – kita bekerja di dunia sementara, untuk hasil di akhirat yang selamanya.
Oleh itu, saya memutuskan untuk berkongsi dan menulis tentang pelajaran dan pengajaran yang saya yakin tidak tipikal dari kisah Adam dan Iblis.
Asas penciptaan manusia dalam Islam adalah sangat bercanggah dengan doktrin agama Kristian yang menganggap bahawa manusia dicipta dengan original sin, semua dilahirkan dengan satu dosa yang sama dan ia ditebus dengan jasa baik dan pengorbanan Jesus atau dikenali juga sebagai Isa a.s.
Dalam al-Quran, terdapat satu dialog antara Tuhan dan Malaikat yang rata-rata kita sangat biasa dengan dialog tersebut.
Namun ada kisah menarik yang terselit di situ dan tidak ramai yang menyedarinya. Tuhan berkata kepada Malaikat bahawa Tuhan ingin menghantar manusia ke bumi untuk dijadikan sebagai khalifah. خليفة atau perkataan asalnya خَلَفَ membawa maksud ‘pengganti’.
Maka persoalan pertama di sini ialah pengganti kepada apa ataupun siapa?
Dalam ayat yang sama, makhluk Tuhan yang paling taat dan kerjanya hanya menyembah Tuhan dan mengikut segala perintahNya, tiba-tiba buat pertama kali bersuara.
Adakah Tuhan mahu mencipta manusia yang pasti akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di dunia?
Maka sambungan kepada persoalan pertama di atas, bagaimana pula Malaikat tahu tentang perangai manusia, sedangkan Tuhan baru sahaja menyebut, belum lagi menciptakan.
Adakah manusia pernah wujud sebelum ini? Atau adakah terdapat makhluk lain yang kerjanya merosakkan?
Tiada ayat di dalam Quran yang menyatakan secara solid bahawa manusia merupakan pengganti kepada Iblis.
Banyak kemungkinan dan telahan yang dibuat oleh para pengkaji Quran dan ada daripada mereka yang mengatakan boleh jadi ada manusia yang wujud sebelum itu dan ketika itu jugalah wujudnya dinosaur dan sebagainya yang sehingga sekarang masih menjadi misteri.
Kerana jika tidak, masakan Malaikat boleh tahu terlebih dahulu bahawa manusia pernah melakukan kerosakan?
Kisah penderhakaan Iblis kepada perintah Tuhan disebut berulang kali di dalam Quran.
Iblis yang sebelumnya merupakan makhluk yang setia, namun apabila hadirnya Adam yang dikurniakan taraf yang lebih tinggi, kedudukannya tergugat dan egonya tercabar. Pasti ada sebab tertentu yang menyebabkan Iblis rasa begitu.
Cerita-cerita dalam Quran adalah cerita-cerita yang mampu disesuaikan dengan akal manusia kerana jika tidak, mustahil Quran mampu berfungsi dengan baik sebagai hidayah dan panduan buat seluruh umat manusia, tak kira zaman mahupun keadaan.
Seperti kebanyakan kita manusia, Iblis rasa begitu kerana menyangka bahawa dia lebih baik.
Pertama, Iblis diciptakan lebih baik daripada manusia. Asal-usulnya daripada api adalah lebih gah jika dibandingkan dengan manusia yang berasal dari tanah, tempat dipijak-dipijak.
Kedua, Iblis lebih bagus dan mulia kerana lebih lama setia dan taat bekerja kepada Tuhan. Seperti yang kita tahu, Iblis adalah makhluk yang dahulunya sama taraf kesetiaannya kepada Tuhan seperti mana Malaikat.
Iblis bukanlah Malaikat, kerana Malaikat diciptakan daripada cahaya, manakala Iblis pula adalah sebahagian daripada Jin yang juga diciptakan daripada api. Golongan Jin pula bukan semuanya jahat. Ada jin baik, ada jin jahat.
Oleh sebab itu, kita selalu dengar istilah ‘jin Islam’ yang boleh mengucap syahadah dalam kisah-kisah mistik. Manakala jin jahat itulah yang kita gelar sebagai syaitan dan Iblis.
Telah dinyatakan dalam Quran bahawa Tuhan menjadikan dunia sebagai medan ujian buat jin dan manusia.
Maka haruslah kita berjaga-jaga, kerana sebaik dan setaat mana pun kita sekarang kepada Tuhan, bukan sesuatu yang mustahil jika kita bertukar kepada makhluk yang lebih hina dan syaitan daripada Iblis.
Jika kita merenungkan kisah penderhakaan Iblis ini hanya pada permukaan, mungkin antara kita akan berkata ini hanyalah satu lagi dari ketetapan-ketetapan Tuhan.
Tapi jika direnungkan dengan lebih dalam, ini bukanlah isu Tuhan yang menetapkan takdir sedemikian rupa, tapi isu yang lebih jelas adalah, sama ada kita mahu menggalas, atau lari daripada tanggungjawab?
Orang yang sentiasa mempersoalkan kenapa, kenapa dan kenapa? Kenapa takdirnya begitu begini dan sebagainya, persoalan sebenar yang sepatutnya diutarakan adalah kita mahu terima dan galas tanggungjawab tersebut atau tidak?
Walaupun setiap manusia dihadapkan dengan ujian yang berlainan, namun hidup ini soal pilihan.
Seperti mana Iblis, manusia juga punya pilihan untuk menggalas tanggungjawab yang ada, ataupun memberi alasan bahawa ‘Aku tiada pilihan kerana Tuhan yang tetapkan aku begini.’
Perangai lari daripada tanggungjawab adalah perangai Iblis.
Iblis memberi dalih ketika ditanya apa yang menyekatnya daripada patuh kepada perintah Tuhan untuk sujud kepada Adam.
Memberi dalih dan mempersoalkan takdir Tuhan adalah bukti kepada perangai lari daripada tanggungjawab.
Kisah Adam dan Iblis membuktikan bahawa ketetapan Tuhan, tidak sesekali melepaskan kita daripada tanggungjawab menunaikan perintah Tuhan. Perangai lari daripada tanggungjawab adalah perangai Iblis.
Sekarang terserah kepada kita, untuk memilih bertanggungjawab, atau lari?
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Zahanis Ayunni binti Mahamad Zaihan dan merupakan mahasiswi tahun 2 UIAM.
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.