, ,

Badan Perundangan Berkuasa Untuk Melucutkan Jawatan Ketua Negara?

Dalam sesebuah kerajaan Islam, ada tiga badan kuasa yang besar iaitu badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman.

Jadi, pada artikel ini, saya akan fokuskan kepada badan perundangan, yang juga dikenali sebagai Wilayat al-Faqih (Majlis Syura).

Badan perundangan berfungsi untuk menggubal undang-undang yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

“…Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah 2:229)

Namun, sekiranya panduan asas tidak terdapat dalam al-Quran dan sunnah, atau amalan khalifah ar-Rasyidin, maka anggota badan perundangan boleh menggubal mengikut kebijaksanaan dan hikmah, apa yang penting selari dengan tuntutan syariah.

Sistem syura diperkenalkan oleh Rasulullah. Walaupun Baginda dibimbing melalui wahyu Allah, tetapi Baginda selalu bermesyuarat bersama para sahabat khususnya mengenai hal teknikal atau cara melaksanakan sesuatu prinsip dalam al-Quran.

Badan perundangan atau majlis syura mempunyai tugas besar iaitu memilih calon khalifah, lalu diserahkan kepada umat Islam untuk bai’ah (janji setia).

Keutamaan khalifah diberikan kepada orang yang paling layak, pengaruh yang besar dan yang paling dihormati dalam masyarakat.

Dalam masa yang sama, majlis syura juga mempunyai kuasa untuk melucutkan jawatan khalifah jika gagal melaksanakan tugas ketua negara dengan sebaiknya.

Keahlian badan perundangan dipilih dan ditapis dengan sangat teliti. Mereka perlu mempunyai kelayakan daripada segi mental dan moral seperti yang diterangkan oleh al-Quran.

Wallahu’alam.