,

Sikap Pemurah Lelaki Tua Ini Wajar Dicontohi

Kerana menyiapkan urusan kerja dan mengejar dateline, saya pulang lewat dari kerja malam itu. Ketika berhenti di lampu isyarat, satu susuk tubuh kecil melewati laluan seberang jalan.

“Atuk jual buah! Sihat lagi dia rupanya!”

Keterujaan saya terhenti bila lampu isyarat bertukar warna daripada merah ke hijau. Tergesa saya menukar gear khuatir melambatkan pemandu belakang. Lagipun orang Malaysia memang terkenal dengan ‘menepati’ masanya.

Mata terpaku pada jalan, tapi hati masih tertinggal teringatkan atuk si penjual buah. Saya lebih suka membeli buah daripada orang sepertinya. Tidak meminta-minta.

Di lewat usia sepertinya masih memerah keringat mencari rezeki. Lewat malam masih menolak kereta sorongnya di celah lorong-lorong kecil.

Susuk tubuhnya kecil daripada saya. Berbanding saya, kudratnya masih kuat mencari rezeki dengan cara itu. Jika saya, mahu saja menangis di tengah jalan jika ditakdirkan menolak kereta sorong seberat itu.

Jika dilihat dari sudut logik, tubuh kecil itu takkan mampu menolak kereta sorong sebesar itu. Tubuh besar yang sihat seperti saya inilah yang sepatutnya lebih mampu menolak kereta sorong itu.

Tetapi atuk mampu melakukannya malahan saya tidak!

“Ya Allah, ini semua kerjaMu. Mudahan Engkau ringankan urusan atuk dan limpahkan rezeki serta kesihatan yang baik baginya.”

Sejak papan tanda “kosongkan ruangan di depan kedai” ditegakkan di hadapan kedai makan yang sering saya kunjungi, saya sudah tidak nampak lagi kelibat atuk tua dengan kereta sorongnya.

Sejak dari itu, hati hanya mampu bertanya ke mana atuk dan kereta sorong buahnya. Malam itu saya hanya mampu melihatnya dari tingkap kereta dan mendoakannya sahaja.

Atuk mengajar saya tentang amanah dan tidak berkira. Untuk tidak berkira dalam berniaga, jujur saya katakan tidak mudah.

Bagi setengah orang, sikap berkira itu mungkin amalan. Apabila berkira dan dapat untung, makin seronok untuk diamalkan.

Namun atuk memberikan saya pengertian yang lebih baik daripada itu dalam urusan perniagaan.

Saya juga pernah mencari pengalaman berniaga kecil-kecilan. Sekadar meluangkan masa lapang dan mencari pengalaman berusan dengan kerenah manusia.

Urusan berniaga ini urusan jihad. Jihad bukan perkara yang mudah. Pengertian maksudnya sahaja pun bermakna berjuang bersungguh-sungguh. Kerana itu pahala jihad sangat besar di sisi Allah.

Jihad tidak semestinya berjuang dalam situasi berperang sahaja. Banyak urusan yang memerlukan jihad. Berniaga adalah salah satunya.

Ketika membeli buah daripada atuk suatu masa dahulu, saya sengaja menggenapkan duit dan memberi alasan yang saya tiada duit kecil. Niat di hati untuk bersedekah kepada atuk.

“Tak apa atuk. Saya tak ada duit kecil ni,” ujar saya.

Namun apa yang atuk lakukan adalah di luar jangkaan saya. Beberapa genggam buah langsat dimasukkan ke dalam plastik.

Jarum penimbang bergerak semakin ke kanan. Saya panik!

“Eh,sudah atuk! Sudah! Banyak tu!” Saya serba salah.

Tergamam sekejap. Memikirkan siapa yang bersedekah kepada siapa sekarang?

“Timbang biar lebih, jangan kurang,” pesan atuk. Atuk tersenyum. Tersenyum agaknya melihat saya terkulat-kulat dengan situasi yang berlaku.

“Terima kasih.” Hanya itu yang mampu saya katakan.

Rancangan awal saya tidak menjadi. Sebaliknya saya yang terkena. Saya hanya mampu tersenyum.

Sangkaan saya dapat melebihkan rezeki orang hari itu, sebaliknya rezeki saya pula yang dilebihkan oleh orang.

“Nanti datang lagi ya!” Pesan atuk.

Saya mengangguk kecil. Tersenyum dan berlalu. Atuk enggan menerima tanpa memberi. Pada masa yang sama, berpegang pada prinsip dan perintah Allah dalam urusan berniaga.

Termenung saya memikirkan atuk dan apa yang berlaku. Mudahan ramai orang yang berniaga sepertinya. Mencari keberkatan lebih daripada keuntungan. Mementingkan akhirat lebih dari dunia.

“Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).” (Surah Al-Israa’ : 35)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Amalia @ Amelia binti Mukhlas. Berasal dari Tanjung Malim, Perak. Kini berkhidmat di UniKL, MIIT Kuala Lumpur sebagai Pensyarah di Jabatan Sistem Maklumat.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.