,

Membantu Orang Lain Juga Satu Ibadah

Tanpa kita sedari apa sahaja yang kita buat di atas muka bumi ini mampu menjadi satu ibadah. Begitu juga dalam menggembirakan dan menyenangkan orang lain.

Membantu manusia lain juga adalah satu ibadah dan merupakan sunnah Rasulullah SAW.

Namun bagaimanakah yang dikatakan membantu orang lain itu adalah satu ibadah?

Allah paling suka

Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,

“Wahai Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling disukai Allah? Dan amalan apa yang paling disukai Allah?”

Nabi menjawab, “Orang yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hadirkan buat seorang muslim, atau engkau angkat kesusahan yang menimpanya, atau engkau langsaikan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya. Dengan aku berjalan bersama saudaraku untuk suatu urusannya lebih aku suka daripada dapat beriktikaf di masjid ini selama sebulan.” (Hadis riwayat at-Thabrani)

Sunnah para Nabi dan tradisi salaf

Nabi Muhammad SAW tidak pernah menghampakan permintaan orang lain. Jika boleh dia mahu menggembirakan semua orang di sekelilingnya.

Boleh rujuk ramai guru dan buku hadis, kisah berkaitan Rasulullah SAW yang begitu banyak menyenangkan orang lain.

Selain Rasulullah SAW, dalam al-Quran juga merakamkan betapa Nabi Yusuf AS walaupun berada di penjara, dia banyak berkhidmat kepada banduan lain sehingga digelar muhsin; yakni orang yang suka berbuat baik.

Begitu juga dengan Nabi Musa. Malahan para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin, mereka juga berlumba-lumba untuk membantu orang lain (jika kita menyelusuri kisah-kisah hidup mereka).

Adab menolong dan ditolong

Bagi orang yang menolong, kita hendaklah ikhlas, bantu sehingga selesai dan tidak mengungkit.

Kita perlu merasakan itu satu tanggungjawab dan penghormatan.

Bagi orang yang ditolong, belajarlah berkata yang baik-baik, berterima kasih, mendoakan, tidak bersangka buruk dan cuba membalas dengan  pertolongan yang setimpal.

Memberi untuk menerima semula

Di dalam dunia ini, apa sahaja yang kita lakukan ada balasannya, baik atau buruk, kecil atau besar.

Jadi jangan takut untuk berbuat baik, kerana selain amalan itu mulia, ganjarannya pasti besar dan berpahala.

“Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka Allah melapangkan daripadanya satu kesusahan di hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang kesulitan, maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seorang hamba selama mana hamba tersebut menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim)

Manusia tidak menghargai?

Tidak mengapa. Kita lakukan bukan untuk perhatian makhluk. Malah kita tidak akan mampu membuat semua orang berpuas hati dengan kita.

Ikhlaskan hati, buatlah kerana Allah. Dia pasti membalas dan memandang perlakuan kita. Apa lagi yang indah dalam dunia ini, selain mendapat keredaan Allah, bukan?

Berlapang dada dan teruslah menjadi manusia yang bermanfaat.

“… Dan sememangnya  menjadi tanggungjawab Kami (Allah) membantu orang yang beriman.” (Surah Ar-Rum: ayat 47)

Orang yang terang hati, dia tahu ibadah bukan hanya tentang dirinya, tapi juga tentang orang lain di dunia ini!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.