,

Memudahkan Urusan Orang Lain

Ketika menulis artikel ini aku sedang berusia 23 tahun dan baru saja menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada Ogos lalu.

Sudah tentu pengalaman ketika berada di universiti banyak mendewasakan aku, lebih-lebih lagi mengajak aku untuk menjadi manusia yang bermanfaat selepas ini.

Namun, aku tetap optimis beranggapan bahawa untuk menjadikan diriku bermanfaat adalah tidak seharusnya bermula sejurus selepas tamat pengajian tetapi seharusnya membiasakan diriku untuk menjadi bermanfaat sebelum itu mengikut kemampuan diri sendiri.

Begitulah skrip monolog yang acapkali aku ungkapkan kepada diriku sendiri.

Ketika di universiti, aku bukanlah seorang mahasiswa yang cemerlang dalam akademik apatah lagi menjadi mahasiswa yang kompeten dalam subjek-subjek kejuruteraan yang berat lagi mencabar.

Tetapi dalam dunia kejuruteraan yang rencam, aku bertuah kerana memiliki satu kelebihan yang kemudiannya disulami dengan minat yang mendalam, iaitu aku mahir menggunakan perisian kejuruteraan untuk menghasilkan reka bentuk 2 dimensi (2D) dan 3 dimensi (3D), seperti AutoCAD, SOLIDWORKS, PTC Creo dan sebagainya.

Perisian ini seringkali digunakan pada peringkat awal untuk mereka bentuk suatu produk mahupun prototaip yang inovatif.

Awalnya, kelebihan yang aku miliki hanyalah untuk memudahkan tugasan peribadi seperti kerja individu mahupun berkumpulan.

Setiap tugasan diberi yang memerlukan penggunaan perisian tersebut mesti dapat diselesaikan dengan jayanya, malah lebih awal daripada dijadualkan ekoran kelebihan dimiliki bukan berada pada tahap biasa-biasa.

Biasanya hanya semalaman saja tugasan diberi boleh disiapkan, sedangkan peruntukan masa adalah melebihi daripada sehari dua.

Jadi situasi ini membuatkan aku mempunyai lebihan masa dan waktu yang agak lapang.

Maka, aku pun mula melibatkan diri dalam bisnes untuk menjana duit sampingan, iaitu melakukan pekerjaan sambilan sebagai pereka bentuk (designer) dengan memberikan perkhidmatan sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan masalah dan tugasan yang berkaitan.

Rata-rata yang mereka yang memerlukan khidmatku terdiri daripada rakan-rakan mahasiswa UNITEN sendiri.

Sebelum membuat keputusan ini, aku agak risau dan takut-takut kalau aku tidak mampu memenuhi permintaan, apa lagi memberikan satu kepuasan. Tetapi aku positif dan nekad meneruskannya.

Walaupun pada awalnya niatku adalah untuk mencari duit sampingan, tetapi itu sebenarnya bukanlah menjadi satu keutamaan.

Sebaliknya, aku ingin membantu mereka yang memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi membantu mereka yang kurang berkemahiran.

Pada masa sama turut mengembangkan potensi diriku dengan lebih drastik agar lebih kompeten dalam bidang ini.

Buktinya aku rela hati mengenakan caj perkhidmatan jauh lebih murah daripada harga kedai, atau istilah kebiasaannya “harga pelajar”.

Adakalanya aku hanya meminta bayaran ikut kemampuan dek memahami kapasiti hidup mahasiswa yang sentiasa bergelut dengan krisis kewangan. Adakalanya aku tidak mengenakan bayaran langsung.

Meskipun hakikat bayaran diterima jauh lebih rendah berbanding nilai harga perkhidmatan yang aku beri, namun ia langsung tidak menjadi masalah malah aku berbangga dapat membantu mereka yang memerlukan.

Walaupun sesekali pekerjaan ini sangat memenatkan lontaran perlu disiapkan dalam tempoh masa yang singkat, tetapi aku tetap berpuas hati dan gembira.

Konklusinya, atas segala usaha yang aku lakukan untuk memudahkan urusan orang, sedikit sebanyak terdetik dalam hati agar perkara ini menjadi asbab urusanku dipermudahkan kelak.

Aku percaya segala tindakan kita lakukan, sama ada perkara kebaikan atau sebaliknya pasti akan kembali kepada kita.

Jika kita memudahkan urusan orang lain, maka tidak mustahil urusan kita akan dipermudahkan.

Insya-Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Radjham Bin Abraham (Radejack).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%