Perempuan Pertama Menangis Di Bumi Syria
Buku ‘Lelaki Terakhir Menangis di bumi Syria’ itu saya baringkan di atas meja. Kini saya sudah pun bergelar graduan ijazah pertama dalam jurusan komunikasi.
Usai menjalani latihan industri di bawah naungan Majlis Setiausaha Negeri Perak – membuat liputan di program Sultan Perak, membentangkan usul di Dewan Undangan Negeri tentang mahasiswa miskin bandar yang memerlukan bantuan komputer riba, membentangkan teori dakwah dalam karya HAMKA di Indonesia.
Akhirnya tiba masanya untuk saya mengikat diri dalam lapangan misi kemanusiaan secara total.
Saya masih ingat kuntuman doa yang mercup subur tujuh tahun yang lalu, untuk membantu rakyat yang terkandas dalam debu perang di Syria. Kala saya masih menggeluti Sijil Tinggi Agama Malaysia.
Kebetulan sekolah kami menganjurkan ‘Malam Cinta Syria 1.0’ dan saya ditugaskan mengutip dana di bazaar yang dibuka.
“Masih mahu teruskan kutip duit sumbangan? Kasut awak sudah tercabut Mar,” soal Syafinaz sambil mengurut muka.
“Tak mengapa, saya boleh berkaki ayam selagi tabung kita belum penuh,” balas Mar yang terenjut-enjut dengan baju kurung yang selekeh dan bercemamai.
Dalam kalbunya menyangkutkan harapan, ‘ Ya Allah, mudahan suatu hari saya dapat menjejakkan kaki ke sana untuk menyalurkan sumbangan kepada rakyat yang tertindas dengan tangan sendiri.’
Konsert HM : RM 3,524.85
Tabung Konsert Kemanusiaan : RM 5,800.20
Sumbangan Awam : RM 3,633.85
Abstrax : RM 35,820
Tabung Talk Sek. KKB: 2,909.60
JUMLAH TERKUMPUL = 607,825.57
Mar mengejip-ngejip tabir matanya yang berair, ditusuk kenangan lalu. Tidak sangka Allah telah memakbulkannya setelah tujuh tahun menunggu.
Setelah berhempas pulas menyiapkan kertas kerja, membuat konsert dan sebagainya, akhirnya terkumpul sudah jumlah sasaran untuk bantuan musim sejuk.
Tiket menuju Gaziantep, sempadan Turki-Syria sudah berada di tangan. Dengan kerjasama NGO Syrian We Care, Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) beberapa personaliti tempatan dan aktivis kemanusiaan juga turut menyumbangkan tenaga.
Saya membawa nama universiti. Bersama Prof. Dr. Halimah sebagai ketua rombongan kami semua.
Kedinginan Yang Membunuh
Hari pertama di kem pelarian, kami berganding bersama Bonyan Organization untuk mengagih-agihkan bekalan ubat-ubatan, pakaian tebal, dan makanan keperluan.
Pandangan kota Gazientep tidak beranekarona- bangunan yang berkotak-kotak dan tidak tersusun rapi, sampah merata-rata dan khemah-khemah yang separa runtuh.
Tak dapat saya gambarkan kesejukan yang dialami mereka yang tinggal di khemah-khemah dengan suhu di paras 7 darjah selsius.
Kami melawat sepasang suami isteri dan bayinya yang mengerekot kesakitan. Dalam keadaan tersedu-sedan dan sejuta keruh di wajah, bayi itu menahan luka di kakinya yang berdarah.
Tambahan keperluan ubat-ubatan tidak mencukupi. Keadaan itu cukup mengail perasaan saya dan cuba saya tahankan air mata ini yang hampir tenggelam.
Seterusnya kami bergerak ke penempatan anak-anak yatim piatu yang mana ibu-bapa mereka terbunuh dalam demberangan bom yang dilemparkan rejim pengganas. Mereka kelihatan riang di sofa sambil menikmati buah epal yang tersedia di atas pinggan.
Di Balik Debu-Debu Perang
Hawa hujan merintik perlahan. Kami menyinggah ke sebuah masjid di Killis berdekatan sempadan Syria-Turki yang teruk musnah dibom hingga mengorbankan empat rakyat Syria. Dapat saya dengari sendiri dari jauh bunyi-bunyi bom mengamuk bergentayangan.
Seterusnya kami berangkat ke Sani Urfa setelah melepasi beberapa sekatan polis. Saya berdiri mengangkat bendera Malaysia untuk bergambar di tepi landasan rel kereta api itu. Dari situ saya dapat lihat sebahagian bangunan di Negara Syria yang dihenyak gergasi.
Kami berbual-bual dengan anak-anak Syria dalam bahasa Arab dialek. Tidak sia-sia kami belajar bahasa itu sebelum bertolak.
“Apa nama kamu?” Soal saya.
“Amira,” balas gadis kecil itu mengengdong adiknya.
“Amira tinggal di sini ya.Bagaimana belajar?”
“Alhamdulillah, Alhamdulillah.”
Sesekali ketabahan mereka menjadi azimat buat kami. Tambahan dengan berwajah pucat lesi, kulit yang kering, dan pakaian yang tak terurus itu cukup membuktikan mereka bukan dalam kesihatan yang baik. ‘Ya Allah, semoga perang ini akan berakhir dengan aman.’
Melawat Sekolah Anak-Anak Syria
Hari ketiga, kami melawat sekolah yang menempatkan anak-anak Syria. Difahamkan sepatutnya hari itu cuti tetapi anak-anak Syria datang untuk memeriahkan kami.
Antara yang terbaik saat kami menanyakan siapa yang mahu membaca al-Quran, hampir saja seluruh kelas dan seisinya mengangkat tangan. Hampir setiap kelas membuat persembahan kepada kami.
Di sini diajar pelbagai subjek termasuklah Sains, Matematik, Hafazan, Feqah dan sebagainya. Kami juga menyampaikan hadiah sumbangan berupa edutoys kepada mereka.
NGO kami juga turut melawat ke majlis pelancaran dan perasmian Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia iaitu sekolah yang menempatkan anak-anak Syria. Supaya mereka membesar, gigih menuntut ilmu dan memperoleh pendidikan sempurna.
Ku Temukan Diriku
Sebelum kembali ke tanah air, saya mengelamun kembali kenangan-kenangan di bumi Gaziantep ini. Menyediakan makanan, menggagih-agihkan barang sumbangan dan menceriakan anak-anak yatim piatu.
Kami rasa terharu dan gembira dapat mencari sumbangan serta menghulurkan dana yang terkumpul kepada mangsa pelarian dengan tangan sendiri.
Sebelum pulang juga kami melancong ke tempat-tempat bersejarah di Sanli Urfa yang jauh lebih cantik daripada kota Istanbul.
Kerana menurut catatan sejarah, di tempat ini dikatakan Nabi Ibrahim dilahirkan dan dibesarkan selama 15 tahun di dalam gua persembunyian dan kini dibangunkan sebuah masjid. Di sini juga menampung kisah Nabi Ibrahim dibakar oleh Raja Namrud yang kejam.
Rindu
Jika kamu bertanya mengapa aku sampai sejauh ini
Jawabku
Aku terlalu jauh seperti ini
Kerana aku sudah terlanjur bahagia dalam kejauhan ini
Kerana aku bisa menemukan siapa diriku
dan untuk apa aku di sini
Terima kasih inspirasiku
Senyumanmu adalah pelangi
Moga kita dipertemukan lagi.
-Mar
-Gaziantep
***
Sebulan setelah itu, saya mendapat khabar di Whatsapp kawasan pelarian yang dikunjungi kami dibom teruk.
Keadaan itu membuatkan saya sebak menerima berita itu. Cukuplah Allah sebagai pelindung saudara-saudaraku di sana.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.