,

Kerana Solat, Cintanya Kembali Berputik

“Mereka rakyat yang serba daif. Miskin harta dan perlu dibela. Jadi saya menyeru kepada semua untuk sama-sama kita menginfakkan wang dan berkongsi nikmat yang Tuhan berikan dengan mereka semua.”

Lantang Aisyah berpidato di hadapan khalayak ramai, selaku pengarah program “Bakti Budi” di Kuala Kangsar.

Nur Aisyah Humaira. Mahasiswi tahun akhir dalam jurusan psikologi yang giat berprogram. Di mana ada program-program yang berbentuk kebajikan, pasti akan terlihat kelibat Aisyah di situ.

Siapa sahaja yang tidak kenal Aisyah Humaira, seorang wanita ‘besi’ yang lantang bersuara membela masyarakat marhaen yang papa kedana. Namanya pasti berada dalam senarai yang paling atas dalam setiap aktiviti-aktiviti sukarelawan yang diadakan.

Dia gemar melakukan aktiviti-aktiviti yang berbentuk kebajikan. Membantu mereka yang perlu dibela.

Baginya, helaian wang ringgit seperti tiada nilai, andai tidak dikongsi bersama mereka yang lebih memerlukan.

“Aisyah dah azan tu, jom kita solat berjemaah,” sapa Asma’ dari belakang.

Aisyah yang sedang tekun mengemaskini tentatif program di notebook-nya seakan tidak perasan dengan kehadiran Asma’.

“Aisyah, dah azan ni, jom kita solat,” kali ini nada suara Asma’ sengaja ditinggikan sedikit.

“Ye, ye. Awak solat la dulu. Nanti saya ikut. Sorry la, busy sikit,” respon Aisyah.

“Kalau macam tu saya solat kat surau bawah la ye. Awak jangan lupa solat tau”.

“Ye, saya tahu,” dengus Aisyah.

Kerja-kerja persatuan yang berlambak, ditambah dengan timbunan assignment yang membukit tinggi, seringkali membuatkan Aisyah hampir tidak punya ruang untuk menarik nafas lega.

Kadangkala, dia terpaksa ‘stay up‘ sampai lewat pagi, hanya untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan. Bahananya, tanggungjawabnya sebagai seorang hambaNya seringkali diculaskan. Sudah berapa kali dia qada’ solat Subuh.

Bila ditegur, alasannya tetap sama,

“Semalam saya stay up sampai pukul 4 pagi, siapkan kerja persatuan dengan assignment,” ujar Aisyah dengan mimik muka yang tidak bersalah.

“ Aisyah, kerja-kerja juga, tanggungjawab dengan Allah jangan pernah lupa. Nanti bila Allah tarik nikmat, baru time tu kita nak insaf.”

Rileks lah, bukannya saya tak solat langsung,” spontan dia membalas takzirah temannya itu, seraya jari-jemarinya pantas menekan butang huruf pada papan kekunci notebook-nya.

******

Kaki yang terasa longlai itu tetap digagahkan jua. Aisyah menapak dengan langkah yang sedikit layu menuju pulang ke biliknya.

“Kalau macam ni la kerja awak Aisyah, baik awak tak payah submit projek ni. Saya tahu awak ni kuat berprogram sana sini, tapi kalau pretasi awak macam ni, jangan terkejutlah kalau awak kena repeat semester ni.”

Kata-kata pensyarahnya seringkali terngiang-ngiang di telinga. Dia jadi tak keruan. Dihimpit pula dengan bebanan kerja persatuan yang tidak putus-putus hinggap di kepalanya. Fikirannya bercelaru.

Wajahnya diselimuti mendung kesedihan dan kekecewaan persis langit petang itu.

“Arghh… stressnya!” Teriak hati kecilnya.

Dia memasang muzik dengan pilihan dendangan lagu yang sedikit damai. Dengan harapan dia mampu beroleh ketenangan pada petang itu.

Jasadnya direbahkan di atas katil. Lagu “Sebelum Cahaya” oleh Letto menghias sepi ruang biliknya.

Matanya dilirikkan ke atas dan ke bawah. Sekadar mengisi bosan dirinya yang keseorangan.

“Peningnya kepala. Nak fikir program minggu ni lagi. Nak baiki projek Puan Farah lagi. Dahlah free-free je kena reject. Serabut!”

Tanpa sedar dirinya dihanyut arus deras mimpi. Aisyah terlena di waktu azan Asar mula bergema yang mengisi ruang langit mendung di Universiti Islam Al-Falah Malaysia (UIAM).

“Astaghfirullah Aisyah, kenapa tak buka lampu bilik lagi ni. Dah pukul 8 dah ni. Ya Allah, awak dah solat Maghrib ke belum? Aisyah bangun… dah malam dah ni,” leter Asma yang baru sahaja pulang dari kuliah.

“Hah? Erm… tahu. Belum… saya belum solat lagi,” bicaranya tak tersusun. Mungkin kerana dia masih mamai daripada lenanya.

Usai mengerjakan solat Maghrib dan solat qada’ Asar, dia terus duduk di atas kerusi. Duduk bersahaja sambil merenung ke luar jendela. Sekadar menyaksikan langit malam yang sedang lebat memuntahkan hujan.

Tanpa diduga, kolam air matanya yang bertakung sudah tidak dapat dibendung lagi. Terasa seperti air mata sedang mengalir basah di pipinya.

******

“Awak ok tak ni, Aisyah?”

“Oh, Asma, saya ok je,” dia mengesat air matanya. Namun bicaranya yang seakan teresak itu, tidak dapat menipu Asma.

“Kenapa awak menangis, kongsilah dengan saya. Jangan simpan sendiri, tak elok tau,” pujuk Asma lembut.

“Entahlah Asma… sejak kebelakangan ni, ada je benda tak kena. Nak buat program tak cukup dana, ahli tak bagi komitmen dan yang paling terbaru, petang tadi projek untuk semester saya kena reject bulat-bulat. Saya pun tak tahu. Hati ni resah je.”

“Aisyah, saya minta maaf kalau saya cakap ni. Aisyah jangan terasa hati ye?”

“Terasa hati. Kenapa Asma?” Tanya Aisyah, polos serta jujur dengan sorotan mata yang bening.

“Aisyah jaga tak hubungan Aisyah dengan Allah?” Balas Asma ringkas.

Terpaku seketika Aisyah. Dia membisu. Dunia terasa seperti sedang berputar laju.

“Solat… Aisyah malu Asma, Aisyah malu,” mutiara-mutiara jernih menitis jatuh ke bumi. Hati Aisyah bagi dipanah halilintar. Mengingatkan kembali kepada kealpaannya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba Muslim.

“Aisyah, dunia ni sebenarnya menjanjikan kita dengan begitu banyak penipuan. Ramai manusia yang kecundang hanya kerana asyik mengejar dunia sehingga lupa hakikat penciptaan kita yang sebenarnya. Tuhan jadikan manusia dekat dunia ni hanya untuk beribadah kepadaNya. Dan ibadah yang paling utama sebagai Muslim, adalah solat.”

“Selama ni, saya terlalu pentingkan program-program saya. Yang saya tahu, pergi buat amal kebajikan, tolong orang sana-sini, sampai kadang saya terlewat solat. Selalu qada’ solat fardhu. Apatah lagi baca Al-Quran, memang jauh sekali,” luah Aisyah, sayu.

“Tak salah kita nak buat amal kebajikan Aisyah, bantu orang susah, sebab itu pun dikira ibadah. Tapi kalau kita meletakkan keutamaan pada perkara-perkara lain melebihi ibadah solat, itu yang salah.”

“Saya rasa berdosa sangat Asma.” Sekali lagi Aisyah merintih. Kali ini air matanya mengalir deras.

“Tak apa, Aisyah jangan risau. Allah sentiasa ada untuk mereka yang nak berubah. Allah sentiasa menanti kemaafan daripada setiap hambaNya. Dah… jangan menangis lagi. Tak comel nanti,” pujuk Asma sambil mendakap erat tubuh Aisyah, cuba untuk menenangkan sahabatnya itu.

“Allahuakbar… Allahuakabar…” gema azan Isya’ berkumandang, menerobos ruangan langit malam di mahallah Fatimah.

“Dah azan Isyak tu Aisyah, jom kita pergi solat sama-sama. Dah, jangan menangis lagi. Lap air mata tu,” dia menghulurkan helaian tisu kepada Aisyah bersama sekuntum senyuman pada ulas bibirnya.

“Terima kasih Asma’. Terima kasih sebab ingatkan saya.”

******

Benarlah kata Asma. Ketenangan yang hakiki itu terbit daripada ibadah solat yang benar-benar ikhlas kerana Allah. Selama ini, dia tidak pernah merasakan nikmat ketenangan seperti itu. Mungkin kerana dia hanya solat ala kadar, sekadar memenuhi syarat solat 5 waktu sehari.

Alasan sibuk berprogram dan belajar seringkali dia gunakan sebagai tiket untuk solat di saat-saat akhir waktu. Yang lebih menyedihkan, solat Zohor dan Asar itu pernah dia kerjakan pada waktu Maghrib!

Mungkin selama ini, dia hanya tahu mengadakan program-program kebajikan, membantu nasib mereka yang fakir miskin, sedang dia lupa pada hatinya yang bahkan sedang fakir daripada redha yang Maha Esa.

Selama ini, dia sering menyangka, perkara-perkara kebajikan yang dia lakukan sudah cukup untuk menampung neraca kebaikan saat dihadapkan di hadapan Tuhan kelak. Ternyata… dia salah!

Dalam satu kuliah yang pernah dihadirinya, dia tertangkap pada satu ucapan yang memberi kesan yang cukup mendalam buatnya.

“Ada suatu kisah ketika Jibril turun dan menyampaikan berita kepada Nabi Muhammad SAW. Ia berkata, ‘Wahai Muhammad, Allah tidak akan menerima puasa, zakat, haji, sedekah, dan amal soleh seseorang yang meninggalkan solat. Ia dilaknat di dalam Taurat, Injil, Zabur, dan Al-Quran.'”

Aisyah masih lagi bertatih mengejar kebaikan. Terlalu banyak yang harus dia perbaiki dalam hidupnya. Solat adalah kekuatan utama dalam episod permusafirannya yang baharu. Dia ingin lebih mendekatkan dirinya dengan Sang Pencipta.

Biarlah solat menjadi penghubung teralirnya cinta makhluk buat Sang Khaliq.

“Banyaknya kebaikan yang kita lakukan tidak menjamin pada beratnya neraca amalan, tetapi solat yang benar tulus kepada Tuhan, menjanjikan kita dengan sejuta kebahagiaan.”

Sempat dia membelek helaian episod silam dalam kanvas ingatannya.

Tangisan pada waktu dulu tidak merubah apa-apa. Memilihlah untuk terus menapak kehidupan bersama kekuatan yang terbina daripada kejatuhan yang semalam. Ya, aku ingin berubah keranaNya. Kerana cintaNya.”

“Bismillahirrahmanirrahim… moga aku kekal kuat dengan kekuatan daripadaNya.” Aisyah memulakan langkah pertamanya menuju episod permusafiran diri yang baharu. Allahu musta’an.

Aku ingin terus tunduk kepadaMu,
dalam setiap gerak langkahku.
Aku biarkan hina terpalit pada wajah yang penuh dosa,
demi cinta dan redhaMu yang mengurniakan aku bahagia.

Aku sang pendosa yang ingin jua ke syurga,
yang sering aku pasakkan pada citraku yang tertinggi,
menjadi azimat sakti pada setiap permusafiran diri,
yang aku ingin selamanya hidup dalam pelukan kasihMu, yang Maha Esa.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Sabirrin bin Md Zahar. Berasal dari Tanjung Malim, Perak. Sedang melanjutkan pengajian dalam bidang bioperubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

14 points
Upvote Downvote

Total votes: 24

Upvotes: 19

Upvotes percentage: 79.166667%

Downvotes: 5

Downvotes percentage: 20.833333%