Renjuna Di Sini Bermula
Sabtu, pagi mencarang dan menggeridipkan cahaya. Adik lelaki dan saya telah sampai di Kepulauan Teluk Renjuna, Tumpat, Kelantan. Benar ini baru kali pertama saya mendengar nama pulau di Negeri Che Siti Wan Kembang.
Pulau yang berpecah-pecah ini dihuni segelintir warga kampung dan kekurangan bermacam hal terutamanya dari segi sumber bekalan air bersih, elektrik dan pendidikan. Sudah jatuh ditimpa tangga pula, itulah yang berlaku di Pulau Renjuna yang baru dilandai banjir berparas lutut.
Selaku seorang jurnalis wanita, saya ditugaskan untuk merakam setiap lembaran kisah untuk dikongsikan ke dunia luar. Turut bersama kami, tim dari platform dakwah Takzirah.net dan sekelompok sukarelawan dari Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Kelantan.
Sebelum memulakan misi, ketua rombongan bernama yang dipanggil Nik memberi kami nasi lemak Kelantan yang dibalut daun pisang memanjang berbentuk kon silinder. Turut disertakan baju persalinan tertulis Jejak Renjuna.
Warga Emas Yang Lumpuh Dan Ditinggalkan Anak
“Baiklah ini adalah rumah pertama yang akan kita kunjungi,” kata Nik.
Lumut-lumut yang penuh di tangga kayu yang agak usang begitu merisaukan saya. Rumah itu gelap dan dipenuhi balang-balang berisi air. Di sekitarnya disidai kain-kain batik lusuh. Seorang wanita tua renta mengengsot keluar dengan berjilbabkan tuala.
“Nenek sudah lama tinggal di sini?” Soal saya sambil menggosok-gosok erat bahunya.
“Iya. Daripada anak masih kecil sampai sudah besar.”
“Jadi nenek tinggal dengan anaklah ni?”
“ Tidak, anak nenek sudah lama tak pulang ke rumah.” Nenek yang sadis itu melimpahkan kata yang tersimpan.
Bibit-bibit simpati mula membuncah di saat saya melihat kecekalan nenek tua itu. Bayangkan ibu tua yang tidak dapat berjalan ditinggalkan sebegitu rupa.
“Minta maaf nenek kerana hanya ini sahaja yang dapat kami tolong,” lafazku sambil meluruskan bibir.
“Tak mengapa, orang kampung yang banyak membantu mak cik.”
Saya tersenyum pahit mengenangkan nasib nenek itu. Setelah itu kami memberikan sumbangan ikhlas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan beberapa uang saku hasil daripada dermawan yang murah hati.
Ziarah Adik Yang Menderita Hiperhidrosis
Rumah seterusnya yang dikunjungi adalah rumah seorang adik yang mengidap Autisme. Nama adik itu Marsha dan mempunyai adik kembarnya. Kalbu saya diserbu pilu saat mengecam keadaan Marsha yang terkulai di pembaringan itu.
Kata ayahnya yang sedang menggonyel-ngoyel jambangnya itu, anaknya menderita Hiperhidrosis sejak tiga bulan lalu. Hiperhidrosis atau peluh berlebihan adalah keadaan di mana terdapat peluh di luar keperluan fisiologi badan.
Marsha tiba-tiba meronta-ronta histeris. Saya cuba menenangkannya dengan memeluk tubuh sambil mengusap-ngusap rambutnya yang kerinting. Pipinya saya cuit-cuit.
Kening Marsha kelihatan terangkat-rangkat dan badanya bergigil-gigil menahan keringat yang menjujuh keluar kerana penyakit yang dihadapi.
Di ruang tamu itu, sukarelawan yang bertandang memeriahkan suasana. Adik saya hanya terpacak di belakang kerana dia itu memang pendiam. Tapi tetap saya tugaskannya untuk merakam setiap foto-foto agar dapat kumasukkan dalam jurnal nanti.
Sumbangan Ikhlas Kepada Janda Yang Kematian Suami
Misi seterusnya, kami melawat rumah seorang janda yang baru kematian suami. Perempuan bertudung bawal itu menyingit langsir dan menjemput kami masuk. Dengan disulami senyuman jernih, janda yang saya panggil Kak Yati itu tak pernah mengeluh atau kesal dengan takdir yang menimpa.
“Mana anak-anak Kak Yati ya?” Soalku bersahaja.
“Oh, yang sulung belajar di MRSM dan adik perempuan yang bongsu tidak bersekolah.”
Kata Kak Yati, punca anaknya tidak bersekolah adalah kerana sekolah begitu jauh, perlu menaiki sampan dan menyeberang ke daratan. Jenuh pula ingin mengantar tambahan masalah pengangkutan di sini agak rumit.
Ketika menuruni tangga, saya berdoa agar kerajaan memberikan peruntukan pengakutan kepada pulau kecil ini.
Sumbangan Ikhlas Kepada 110 Keluarga
Terik suria menyimbah tapi semangat kami yang melubu-lubu tidak luntur dan punah. Acara kemuncak telah tiba. Khemah yang dipasang di balai raya atau tempat berkumpulnya masyarakat di sini dipenuhi oleh wakil dari setiap keluarga.
Bunyi sorak-sorai anak-anak bergemaan saat nama ibu-bapanya dipanggil untuk mengambil barang sumbangan.
“Saya sebagai ketua kampung Pulau Renjuna ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada tim sukarelawan yang bertungkus lumus memberikan sumbangan kepada kami. Semoga usaha yang dilakukan diberkati Allah SWT.” Ketua kampung memberikan ucapan terakhir sebagai penutup majlis.
Seluhur rasa muncul mengajari saya untuk mensyukuri setiap pemberian hidup. Meskipun saya lahir dalam keadaan miskin bandar yang berumahkan batu-bata, tetapi itu sudah memadai berbanding mereka yang tinggal serba-dhaif di sini.
Jumpa Lagi Di Misi Seterusnya
Hari ini cukup mengujakan, penuh nilai dan akan saya titipkan dalam jurnal surat khabar nanti. Sebelum pulang, Nik memberi tazkirah kepada kami di warung yang terkenal dengan teh tarik madu bedekatan Pasar Siti Khadijah.
Petang itu juga Nik membawa kami meronda-ronda di sekitar kawasan tarikan pelancong sambil menceritakan latar masyarakat Kelantan. Kami turut merasa ais krim yang ditabur bermacam aneka manisan dan cukup menggiurkan.
“InsyaAllah, misi seterusnya kami akan adakan acara korban hari raya Aidil Adha di Pulau Renjuna,” kata Nik di perhentian bas. Bauran asap menyengat rongga hidung.
“Saya tidak pasti dapat pergi atau tak, tambahan adik saya seorang ini ketika itu akan sambung belajar di Mesir. Tapi jangan risau kami akan maklumkan semula jika kelapangan.”
Nik mengangguk.
Misi di Renjuna mengajari saya untuk menjadi lebih berani untuk menyahut cabaran seterusnya.
Atas tambahan selaku sekreteriat kesukarelawan di universiti, atas nama kemanusiaan, saya akan teruskan perjuangan untuk membantu rakyat-rakyat miskin, marhaen yang terperangkap di medan perang mahupun mangsa-mangsa bencana.
Jumpa lagi di misi seterusnya.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.