,

Hidup Ini Tumpang-Menumpang

Sejak kali pertama saya baca tajuk buku karya Allayarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini, saya memang tertarik.

Walaupun belum berkesempatan untuk membeli buku tersebut, sebaris tajuk ini berbekas dalam hati. Kalimahnya buat saya berfikir panjang.

Benar, hidup kita ini tumpang-menumpang.

Siapalah di antara kita semua yang berani mengaku malah bersumpah, dia boleh buat dan dapat segalanya tanpa menumpang sesiapa dan apa-apa?

Sejak lahir, kita menumpang ihsan orang tua kita. Memberi makan, membesarkan dan melindung.

Hatta kepada makhluk selain manusia, kita tetap menumpang. Makan kita menumpang pada selemah-lemah ibu ayam. Tidur kita menumpang rumah daripada kayu pokok.

Kita sentiasa menumpang, tidak terhenti pada perkara lahiriah.

Setiap yang kita dapatkan hari ini, hasil ‘tumpangan’ doa-doa yang Allah makbulkan.

Terselamatnya kita daripada kemalangan di taman sebelah, menumpang doa ibu kita subuh tadi.

Allah telah menetapkan, bahawa doa seorang ibu kepada anaknya itu amat mustajab.

“Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan, tanpa diragui lagi iaitu doa orang dizalimi, doa orang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Boleh jadi kita selamat bergraduasi, juga hasil doa sahabat-sahabat kita yang ikhlas mahu melihat kita berjaya.

Bukankah doa seorang saudara untuk saudaranya yang lain tanpa pengetahuannya itu tiada hijab?

Daripada Ibnu Umar RA, Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud: “Doa yang paling segera dimakbulkan ialah doa secara ghaib (tanpa pengetahuan orang yang didoakan itu).” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).

Bahkan hari ini, ketika kita sedang berbuat dosa tetapi kita masih belum diazab, kerana menumpang rahmat sebagai umat Nabi Muhammad, yang ditangguhkan azab dunia.

Nanti setelah mati, akan kita tumpang dan berharap pada doa anak-anak yang soleh.

“Apabila manusia mati, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang mendoakan orang tuanya”. ​(Hadis Riwayat Muslim)

Pokoknya, tumpang.

Ketika kereta rosak tiba-tiba, kita memarahi takdir. Tanpa kita sedar, mungkin itulah mustajabnya doa pemiutang yang kita lambatkan haknya menerima bayaran padahal kita mampu.

Ketika jatuh sakit, kita terlupa mungkin itulah getus hati kucing kurap yang kita sepak di jalanan, atau tangisan anak haiwan yang kelaparan tetapi kita tidak hiraukan.

Ketika rezeki sempit, kita terlupa boleh jadi semalam, ada fakir miskin yang terasa hati sewaktu kita pandang dia dengan pandangan rendah dan salah.

Takutlah dengan doa orang yang teraniaya kerana tidak ada hijab antara doa orang teraniaya dengan Allah. (​Hadis Riwayat Bukhari)

Ketika kita gagal, kita kesalkan usaha kita yang belum berhasil sedangkan boleh jadi itulah hasil ‘tumpangan’ kita daripada doa orang yang kita aniaya.

Tumpang.

Maka, beringatlah. Hargai dan santunilah mereka di sekeliling kita. Habluminannas… kerana kita tidak pernah mengetahui doa siapa yang kita tumpang saban hari.

Benar, tidak seharusnya kita mendoakan yang buruk-buruk untuk orang lain. Namun ingatlah tidak akan makbul sesuatu doa tanpa izin Allah.

Boleh jadi Allah memakbulkan, kerana datangnya sebagai suatu pengajaran kepada kita.

Awaslah doa apa yang kita tumpang, dan doa apa yang kita tumpangkan.

Wallahu’alam bisawab.

Sampai hari ini, tajuk buku itu masih melekat.

Semoga Allah merahmati pengarangnya.

 

AL-FATIHAH.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Rashidah Roseli.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

10 points
Upvote Downvote

Total votes: 14

Upvotes: 12

Upvotes percentage: 85.714286%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 14.285714%