Masalah kekeliruan gender semakin mendapat perhatian ramai masyarakat di Malaysia ketika ini.
Jika di luar negara, isu ini sudah menjadi kebiasaan dan golongan ini telah diangkat ke tahap yang perlu dihormati sehingga perkahwinan sesama jenis adalah dihalalkan di sana.
Berbeza dengan masyarakat di Malaysia, kerana di sini kita masih mempunyai agama dan adat resam yang perlu dipatuhi oleh setiap kaum di Malaysia.
Di Malaysia juga, golongan ini diselar, dipandang serong dan mendapat tentangan sepenuhnya oleh masyarakat sehingga pihak atasan seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.
Pelbagai gelaran diberikan kepada golongan manusia yang mempunyai kekeliruan gender ini dan golongan seperti ini dinamakan Lesbian Gay Biseksual Transgender (LGBT).
Sejak akhir-akhir ini, gejala berkaitan isu cinta dan hubungan sejenis menjadi semakin ketara dalam kelompok masyarakat di negara ini.
Ia sering menimbulkan pelbagai reaksi anggota masyarakat, malah menjadi punca kepada konflik sesama mereka.
Hakikatnya, telah wujud sekelompok anggota masyarakat yang secara terang-terangan telah menerima dan mengakui diri mereka sebagai pengamal kepada aktiviti ini yang lebih dikenali sebagai lesbian, gay, biseksual dan transgender atau LGBT.
Dalam menangani gejala ini, sudah pasti wujud dalam kalangan masyarakat yang membantah, mahupun yang menyokongnya, atau tidak berpihak kepada mana-mana pihak.
Namun bagi masyarakat yang berpegang kuat kepada ajaran agama, malah juga bagi kebanyakan mereka yang berpegang kepada nilai-nilai murni adat resam kehidupan, sudah pasti menolaknya dan melihat ia sebagai satu gejala yang tidak bermoral, menentang ajaran agama, dan menyalahi aturan fitrah dan tabi‟i.
Pada zaman globalisasi kini banyak faktor yang mampu meruntuhkan institusi sosial atau moral manusia dengan sekelip mata sahaja.
Pelbagai pendekatan yang digunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab yang mampu menyebabkan manusia terus hanyut di dalam dunia yang tidak bermoral demi keuntungan diri sendiri.
Banyak perkara yang dahulunya dianggap devian kerana melanggar norma masyarakat tetapi tidak lagi kini kerana menganggap ia perkara normal kerana arus modenisasi.
Tidak dapat dinafikan juga bahawa pengaruh budaya barat merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan terjadinya LGBT di Malaysia.
Budaya barat dianggap sebagai budaya yang berpengaruh dalam kehidupan masa kini. Bagi masyarakat Barat, LGBT bukan sesuatu tingkah laku luar biasa atau devian, malah beberapa negara Barat seperti Belanda dan Britain mengiktiraf kedudukan LGBT.
Ia semakin ketara apabila kajian mendapati 50% rakyat Amerika Syarikat menyatakan bahawa tingkah laku LGBT adalah sesuatu yang tabii dan bukan pilihan hidup mereka.
Dalam agama Islam, Allah Azza Wa Jalla sudah melarang keras hamba-Nya agar tidak masuk golongan orang-orang yang menyukai sesama jenis, seperti LGBT.
Al-Quran sebagai sumber ajaran agama Islam di dalamnya terdapat sejarah masa lampau yang pernah di alami oleh Nabi Luth dengan kaumnya.
Di mana kaum Luth sangat terkenal dengan saling menyukai sesama jenis dan akhirnya mendapatkan azab yang sangat pedih.
Ini pertanda bahwa Allah sangat tidak menyukai orang yang saling menyukai sesama jenis. Di dalam firman Nya bahwa:
“Maka tatkala datang azab kami, kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (kami balikkan dan kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh Tuhanmmu, dan siksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Hud: 82-83)
Dalam Al-Qur’an kita telah diberi amaran akan bahaya LGBT, sebelum LGBT di zaman sekarang, telah ada pada zaman Nabi Luth yang dihukumi oleh azab yang sangat pedih dan menakutkan.
Sesungguhnya, LGBT merupakan merupakan suatu perbuatan yang menyimpang dari fitrah manusia dan sesungguhnya di dalam Islam, hukum LGBT adalah haram.
LGBT dilihat sebagai antara simptom penyakit sosial yang jika tidak dibendung akan memporak-perandakan sistem budaya bangsa dan mengikis nilai sesebuah negara.
Isu LGBT ini harus dilihat dari sudut yang lebih besar iaitu nilai kenegaraan. Kita tidak mahu melihat negara mencapai kemajuan dengan mengorbankan nilai murni.
Maka, kita amat perlu memantau gejala ini dan dalam masa yang sama, satu proses penerangan perlu dipergiatkan untuk menyedarkan masyarakat terutamanya golongan muda mengenai kemudaratan gejala ini.
Kita merayu agar semua pihak untuk turut serta menggalakkan usaha dalam pemupukan nilai murni bagi mempromosikan kesedaran terhadap nilai-nilai murni kemanusiaan yang murid dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.