,

Ilmu Itu Cahaya, Jahil Itu Bahaya (bahagian 1)

Seseorang itu tidak akan tahu segala perkara, selagi tidak belajar. Ketidak tahuan atau kejahilan ini wujud atas pelbagai faktor.

Terkadang disebabkan perkara tersebut sememangnya sifatnya baharu. Adakalanya disebabkan keangkuhan kita untuk belajar, ambil tahu dan mungkin sahaja kerana kemalasan kita untuk meningkatkan tahap ilmu dan pengetahuan diri kita sendiri.

Sabda Nabi S.A.W : “Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit).” (Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)

Jangan Segan Bertanya.

Kebodohan adalah satu bentuk kejahilan. Kebodohan sebenarnya adalah penyakit dan penawarnya adalah bertanya ( belajar ). Tidak seorang pun di muka bumi ini pandai secara lahiriah.

Setiap manusia perlu melalui proses pembelajaran. Malu bertanya sesat jalan merupakan pepatah melayu yang relevan dalam konteks ini. Jadi kita harus rajin-rajinkan diri untuk merujuk kepada yang arif untuk belajar.

Bertanyalah kepada yang alim.

Islam adalah agama yang paling sempurna dalam memerhatikan seluruh sisi kehidupan manusia.

Oleh kerana itu, Allah memerintah kita agar bertanya kepada ahlinya apabila kita tidak tahu. Firman Allah S.W.T ;

فَسۡ‍َٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

“… maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl: 43)

Kepada siapa kita harus bertanya?

Ayat di atas sudah menjawab pertanyaan tersebut.

Dalam konteks ayat ini , ahl-zikr (orang yang ahli dalam ilmunya) merujuk kepada umum dalam segala urusan, baik urusan dunia mahu pun urusan agama.

Urusan agama ditanyakan kepada ulama (orang yang berilmu dalam hal agama), dan urusan dunia ditanyakan kepada ahlinya.

Sebagai contoh , sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dalam soal agama, carilah orang yang lebih berilmu dalam bidang agama.

Sekiranya terdapat kemusykilan dalam soal hal keduniaan , misalnya tentang bahagian teknikal pada kereta, maka bertanyalah pada mekanik atau jurutera yang berkaitan . Begitulah perumpamaannya.

Bodoh Seketika dan Bodoh Selamanya

Biarlah bodoh itu hanya seketika kerana bertanya , daripada bodoh selamanya kerana sombong tidak bertanya.

Kebodohan bukanlah sesuatu aib yang perlu ditutup dan disembunyikan. Sebaliknya yang tidak tahu, tapi berlagak tahu itulah yang patut malu.

Asal usul kelahiran manusia juga dalam keadaan tidak tahu apa-apa , hatta siapa ibu dan bapanya pun tidak dikenalinya.

Ini jelas di dalam al-quran Allah S.W.T berfirman :

وَاللّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُوْنِ اُمَّهاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَشَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَمْعَ وَالاَبْصَارَ وَالاَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْتَشْكُرُوْنَ.

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keada’an tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati (akal pikiran), agar kamu bersyukur”. (Surah An-Nahl: 78).

Ilmu itu Cahaya, Jahil itu Bahaya.

ILMU itu cahaya yang menerangi kegelapan hidup. Tanpanya manusia ibarat berjalan tanpa arah panduan.

Agama Islam sendiri amat menekankan kepentingan ilmu dan perkara itu ada dinyatakan menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu diwajibkan bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Ibnu Adi)

Kejahilan terhadap agama adalah ibarat suatu penyakit berbahaya yang perlu dirawat dengan kadar segera.

Orang yang jahil agama amat mudah sekali dihasut dan menghasut orang lain untuk melakukan sesuatu perkara yang boleh membinasakan dirinya dan turut mengheret orang lain ke lembah kesesatan.

 

> bersambung Ilmu Itu Cahaya, Jahil Itu Bahaya (bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Puter Edir. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Putera Edir.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%