,

Ilmu Itu Seperti Air, Jika Tidak Mengalir, Ia Rosak Lalu Membusuk

Ilmu tidak pernah terbatas. Maka kongsilah ilmu yang bermanfaat untuk kebaikan bersama.
Demikianlah pesan Imam Asy-Syafi’i R.A. betapa pentingnya ilmu itu digunakan untuk memberi manfaat.

Dengan ilmu yang bermanfaat, ia akan dipelajari oleh generasi terbanyak. Selain imam Asy-Syafi’i, ulama-ulama besar seperti imam Al-Bukhari dan imam An-Nawawi telah mewariskan ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada umat melalui kita-kitab yang dikarang oleh mereka seperti Sahih Al-Bukhari dan Riyadhus Salihin yang hingga kini masih dijadikan sebagai rujukan masyarakat kini .

Imam Asy-Syafi’I Contoh Pelajar Terbaik

Imam Asy-Syafi’I berasal daripada keluarga yang miskin. Ketika itu sukar untuk mendapatkan kertas kerana harga kertas yang sangat mahal.

Sebagai seorang pelajar, beliau memerlukan kelengkapan alat tulis dan kertas untuk kelancaran proses pembelajarannya.

Jangan katakan sebatang pena, sehelai kertas pun belum tentu beliau mampu membelinya. Namun beliau tidak patah semangat dan berputus asa.

Malah beliau semakin cekal bersemangat ingin terus menimba ilmu. Imam Asy-Syafi’i menggunakan pecahan-pecahan tembikar, mengambil pelepah-pelepah kurma, mengambil tulang belulang lalu kumpulkan dan dijadikan sebagai gantian kepada kertas.

Setiap majlis ilmu yang beliau hadir, akan beliau catatkan segalanya pada tulang belulang, di lembaran pelepah tamar, dan di kepingan pecahan tembikar.

Setelah itu beliau akan kumpulkan hasil tulisan beliau di satu ruangan khas di rumah beliau, hinggakan tiba satu masa ruangan itu juga tidak mampu menampung kepingan tembikar dan lembaran pelepah tamar yang mengandungi catatan beliau.

Jangan Hidup Jika Tak Memberi Manfaat

Rasulullah S.A.W bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

“Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain”. (Riwayat Ibn Hibban)

Dengan cara apa kita memberikan manfaat kepada orang lain? Sesungguhnya setiap manusia memiliki banyak potensi untuk itu.

Amalkan Dan Sampaikan Ilmu Yang Bermanfaat

Islam amat mengambil berat tentang keperluan menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dipelajari dan menyampaikan pula ilmu tersebut untuk di maanfaatkan oleh orang lain.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13)

Berdasarkan hadis di atas, setiap daripada kita yang memiliki ilmu, kemahiran dan pengetahuan yang baik, boleh kita ajarkan dan sampaikan kepada orang lain samaada berbentuk ilmu agama, ilmu akademik dan kemahiran, amalan kita adalah amalan yang amat terpuji.

Apabila ilmu itu disampaikan kepada orang lain dan diamalkan dan disampaikan semula secara berterusan hingga ke hari kiamat, maka kita tetap akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan.

MasyaAllah!! Mudah sungguh untuk menjana ganjaran akhirat.

Ilmu ini tidak terbatas pada ilmu agama, tetapi juga ilmu dunia baik berupa pengetahuan, keterampilan hidup, serta keahlian dan profesional.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

SETIAP manusia tentu akan bertemu dengan kematian. Di mana pada masa itu setiap amal perbuatan terputus.

Namun ada perkara yang tidak akan pernah putus.

Apakah itu? Salah satu daripada itu ialah ilmu yang bermanfaat yang ditinggalkan.

Pentingnya ilmu membawa manfaat, hidup indah terisi setiap saat.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Putera Edir. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook https://www.facebook.com/puteraedir.edir

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%