,

Realiti Anak Muda Dan Institusi Keluarga Yang Pahit Untuk Ditelan

Sejak akhir-akhir ini, kita digemparkan dengan pelbagai isu yang menyayat hati. Lebih meruntun jiwa bilamana ia melibatkan jiwa-jiwa muda yang masih gagah dan sempurna tubuh badannya.

Tahun 2017 digemparkan dengan kes buli adik Zulfarhan yang merupakan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan yang terdekat kes dendam remaja yang terlibat dengan syabu sehingga menyebabkan kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah mengorbankan 23 orang pelajar termasuk warden asrama.

Ini bukan calang-calang jenayah, satu perkara yang tidak tercapai dek akal penulis bagaimana dengan usia yang sebegitu mereka mampu melakukan perbuatan kejam yang mengancam nyawa.

Di sebalik runsingnya kita melihat anak muda pada hari ini, apa yang kita mampu lakukan?

Jika sekadar menjadi ‘keyboard warrior’ yang melontarkan kata cacian dan hinaan atau menjadi agen ‘copy & paste’ semata-mata maka tidak usahlah kamu berbicara seolah-olah kita adalah ahli syurga dan pesalah itu seolah-olah wajib masuk neraka.

Terlebih dahulu, cuba perhatikan suasana rumah kita, tenung wajah anak-anak, ibu bapa, adik-beradik, saudara mara, sahabat, jiran tetangga dan orang sekeliling.

Wujudkah satu suasana selamat untuk pembangunan jiwa anak-anak yang diharapkan menjadi penghuni syurga ?

Bukankah manusia itu dilahirkan secara fitrah? Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam), maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebelum si anak mengenal dunia yang pelbagai warna ini, ibu bapalah yang terlebih dahulu memperkenalkan warna-warna tersebut.

Ibu bapa yang membentuk sudut pandangan anak-anak dalam menafsirkan warna-warna yang ada. Ibu bapa yang memainkan peranan menjadikan si anak itu pemikir yang bagaimana.

Tidak dinafikan, ada anak yang sejak dilahirkan tidak berkesempatan mendapat didikan ibu ayah. Ada yang ditakdirkan Allah kehilangan ayah dan ibunya dan ada yang sememangnya disisihkan.

Itu adalah sisi lain yang perlu diperhalusi, berbeza dengan anak-anak yang sememangnya tinggal dan mendapat didikan terus daripada ibu dan bapa mereka.

Segelintir ibu bapa meletakkan tugas mendidik anak itu di bahu guru, baik buruk anaknya semua di atas tanggungjawab guru.

Sedangkan yang menguruskan anak itu sejak dari kecil adalah mereka, yang mencorakkan sepatutnya mereka. Guru hanya penggilap bentuk yang dicorakkan oleh ibu dan bapa.

Namun, ada juga segelintir orang yang Allah uji dengan pemberontakan anak sekalipun dia sudah berusaha mendidik anaknya mengikut acuan yang dirasakan terbaik.

Kerana iman itu tidak dapat diwarisi maka sepatutnya tidak ada istilah, “Ayah dia ustaz kenapa anak jadi penyamun?”, “Mak dia mengajar al-Quran tapi kenapa anaknya menagih dadah?”

Mungkin ada yang berkata, “Dah itu bapak dia, mesti la kena ikut perangai bapak dia” atau “Dah tu? Takkan nak salahkan jiran dia pulak anak dia jadi penagih.”

Ini masalah kita, terlalu gemar menyuluh aib orang lain berbanding memperbaiki dan menjaga aib sendiri.

Apa ukuran guru yang mengajar untuk mengiktiraf seorang murid itu benar-benar faham apa yang dipelajarinya?

Jika dengan lulus peperiksaan seseorang itu dianggap faham, maka mengapa ada kes pelajar pintar ditangkap akibat menyimpan koleksi pornografi melibatkan kanak-kanak?

Hidayah Allah itu sangat mahal, hanya yang terpilih diberi kelebihan untuk memahami agama ini dengan sebenar-benar kefahaman.

Lihat sendiri bagaimana bapa saudara Nabi, Abi Talib yang akhirnya meninggal dunia sebelum bibir dan hatinya mengakui bahawa tiada Tuhan selain Allah, sekalipun beliau adalah orang yang paling nekad untuk melindungi Baginda Nabi bilamana ahli keluarga yang lain memulaukan bahkan menghina baginda S.A.W.

Firman Allah di dalam surah Al-Qasas ayat 56 yang bermaksud: “Sesungguhnya kau takkan dapat memberi hidayah pada orang yang kau sayangi, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.”

Serta sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadanya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman agama.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini hakikat yang perlu kita telan, jangan buat kerja Tuhan. Berapa ramai manusia yang sejak dari kecil mengikuti kelas agama namun akhlaknya masih saja mengecewakan?

Kita akan diuji dengan apa yang kita ucapkan, bila mendepani sesuatu perkara, jangan terlalu lantang bersuara. Dahulukan akal sebelum mengeluarkan suara, dahulukan fikir sebelum menulis kata-kata nista.

Hidup ini bergantung kepada kehendak Tuhan, namun itu bukan tiket untuk tidak melakukan apa-apa sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.”

Serta satu lagi peringatan Allah dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Semoga penulis dan sekalian pembaca sama-sama menjaga institusi keluarga kita, supaya kelak usaha yang bermula dari rumah masing-masing ini semakin subur dan seterusnya melahirkan satu kumpulan masyarakat yang berfikiran matang dan tidak melulu dalam melontarkan pandangan.

Kalau faham boleh dibeli, maka tidak perlu lagi wujudkan institusi pengajian, tidak perlu mengerah keringat membangunkan jiwa manusia dengan mengorbankan masa dan harta.

Tapi sebaliknya faham itu tidak datang tanpa usaha, tidak datang tanpa adanya kemahuan.

Semoga kita adalah insan terpilih, yang sentiasa di bawah bimbingan Allah sehingga ke hembusan nafas terakhir. Siiru ‘ala barakatillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syarifah Nurul Baiti binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%