Peristiwa kebakaran pusat tahfiz yang berlaku beberapa minggu yang lalu membuatkan semua hati yang melihat dan mendengar berasa hiba dan pilu.
21 anak-anak tahfiz dan 2 orang warden terlebih dahulu dijemput Ilahi. Allah lebih sayangkan mereka. Damailah kamu anak-anak syurga kesayangan Allah. Al-Fatihah.
Setelah itu, kita mendengar berita yang mengesahkan bahawa kebakaran pusat tahfiz bukan kerana kecuaian tetapi adalah kerana perbuatan khianat.
Apa yang menyentap jantung hati kita adalah pelakunya adalah budak belasan tahun! Motifnya adalah dendam!
Kerana dendam ada nyawa yang terkorban! Kerana dendam, nyawa menjadi galang gantinya! Kerana dendam, anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa!
Susah untuk mempercayai bahawa mereka yang merancang kebakaran adalah budak-budak belasan tahun.
Umur yang masih hingusan namun sudah mampu untuk mengorbankan nyawa. Umur yang masih memerlukan bimbingan namun terlalu nekad untuk membalas dendam dengan cara yang kejam.
Susahnya untuk menerima mereka adalah pelakunya kerana mereka masih muda! Tergamak mereka!
Saya dan kawan saya ditakdirkan untuk melihat dengan mata kami sendiri generasi muda yang masih berumur belasan tahun, tetapi keadaan mereka amat menyedihkan.
Mereka berkumpul dan bercampur antara lelaki dan perempuan tanpa sebarang batas. Berjalan berdua-duaan dan bergelak ketawa tanpa segan silu.
Kebanyakan daripada mereka memegang rokok di tangan dan dengan bangga menghembuskan asap ke udara. Asap memenuhi tempat perkumpulan mereka.
Lelaki dan perempuan masing-masing berambut perang. Yang membuatkan hati kami menangis adalah mereka masih muda. Yes, malay and muslim of course!
Perjalanan hidup adik-adik masih jauh dan tolonglah jangan merosakkannnya dengan cara seperti ini. Sedihnya ya Allah!
Kami tidak mampu untuk berada lebih lama di situ kerana melihat mereka membuatkan hati kami menangis. Kasihan adik-adikku!
Mereka adalah generasi pelapis agama dan negara kita. Jika dibiarkan mereka berterusan begitu, apa akan berlaku nanti?
Kami sangat takut dan sedih untuk memikirkannya. Apakah kita ingin menuding jari sahaja siapa yang bersalah dalam hal ini?
Salah siapa? Ibu bapa? Anak-anak? Kawan-kawan? Guru? Pihak sekolah? Masyarakat?
Cukup-cukuplah saling menuduh antara satu sama lain kerana ia bukan menyelesaikan masalah namun tambah merumitkan keadaan.
Masing-masing tolonglah rendahkan ego dan saling bekerjasama untuk menyelamatkan anak-anak kita, adik-adik kita dan pelapis agama dan negara kita.
Mereka adalah aset negara pada masa akan datang.
Saya ingin tekankan bahawa institusi keluarga adalah priority. Secara automatik perkara pertama yang terdetik di hati saya dan kawan saya adalah, “Di mana ibu bapa mereka saat ini?”
“Adakah ibu bapa tahu apa yang anak mereka lakukan?”
“Adakah ibu bapa tahu dengan siapa anak mereka berkawan?”
Ibu bapa
Saya mohon kepada semua ibu bapa. Tolonglah bertegas dan pantau anak-anak anda. Ajari anak-anak supaya hormatkan ibu bapa dalam apa jua keadaan dan jadilah kawan mereka.
Keadaan generasi sekarang bergantung kepada institusi kekeluargaan.
Berilah kasih sayang dan perhatian yang sepatutnya kepada anak-anak dan maaf, tolong jangan terlalu memanjakan mereka dengan kebebasan dan kemewahan.
Keadaan sekarang adalah zaman fitnah dan penuh ujian! Tiada yang mampu menyelamatkan keluarga kita sekarang kecuali dengan nilai agama.
Ajarilah anak-anak dengan ilmu agama dan didiklah mereka sebaiknya. Kasihanilah anak-anak anda!
“Ayah, ayah perlu bertegas supaya anak-anak hormatkan ayah dan mendengar nasihat ayah. Jika dia tidak mendengar nasihat ayah, macam mana dia ingin mendengar nasihat orang lain yang bukan ibu bapanya?”
“Ibu, ibu perlu menjadi kawan dan mendengar luahan anak-anak kerana anak-anak biasanya suka bercerita dengan ibu segala masalah mereka dan hal kawan-kawan mereka. Jika tidak, mereka akan mencari kawan yang lain.”
Adik-beradik
Setiap antara kita mempunyai adik-adik yang semakin meningkat dewasa dan fasa sekarang adalah mereka sedang mencari identiti diri.
Sikap remaja yang unik adalah mereka inginkan kebebasan dan mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi. Mereka suka mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.
Oleh itu, sebagai seorang abang dan kakak yang budiman, yang menyayangi adiknya, tolonglah pantau adik-adik supaya mereka tidak tersilap langkah.
Biarkan mereka bersama hobi mereka tetapi kita tetap perlu membimbing mereka dan sentiasa ada untuk membantu adik-adik.
Tolonglah ambil peduli kawan-kawan adik kita dan tolong alert dengan setiap perubahan adik-adik dari segi sikap, perangai dan tabiat dia.
Marilah kita bersama-sama menolong ibu bapa kita untuk menjaga institusi keluarga kita supaya selamat di dunia dan akhirat. InshaAllah.
“Kakak dan abang, kamu adalah antara insan yang rapat dengan adik-adik dan tempat mereka meluahkan perasaan dan masalah tanpa menyusahkan ibu bapa. Jadilah kakak dan abang penyayang yang boleh menjadi tempat mereka berkongsi rahsia.”
Adik-adik berumur belasan tahun sebenarnya mempunyai semangat yang luar biasa hebat. Jika mereka berjuang untuk kebaikan maka mereka akan menjadi hebat dalam agama.
Jika mereka tersilap langkah dan bimbingan maka mereka akan menjadi rosak dan lupa diri seperti yang berlaku kepada remaja kita sekarang.
“Jika ingin melihat negara pada masa akan datang, lihatlah pemuda pada hari ini.”
Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya membuka konstantinopel pada umur 19 tahun dan tentera-tenteranya adalah mereka yang hafaz Al-Quran, sangat menjaga tahajjud dan menjaga solat berjemaah.
Ingatlah kita hanya akan berjaya dengan ISLAM!
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Bachok, Kelantan. Merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda farmasi di UKM.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.