,

CCTV Allah Sentiasa ‘ON’

KAMERA tersembunyi seringkali menyingkap rahsia-rahsia perbuatan buruk manusia.

Mana ada orang yang sanggup melakukan kejahatan di hadapan orang ramai atau di hadapan orang yang dikenali kecuali jika di dalam dirinya sudah tidak ada perasaan malu.

Contoh yang paling dekat untuk diperhatikan adalah camera AES. Sebaik sahaja memasuki kawasan tersebut, ramai yang memandu laju memotong tanpa ragu secara automatik berdisiplin bahkan memandu perlahan dan sangat berhati-hati.

Kerana apa?

Semestinya kerana tidak mahu disaman dalam kuantiti yang lumayan. Andai kata camera AES itu ada di sepanjang jalan, pasti kita akan dapat lihat betapa berhemahnya pemanduan rakyat Malaysia.

Begitu juga keadaannya dengan kehidupan manusia sebagai hamba. Andai kata manusia sedar bahawasanya Allah sentiasa memandang akan dirinya, pasti situasinya sama seperti situasi kamera AES tadi.

Umat Islam akan lebih berdisiplin kerana Allah sedang memandang saat dia melakukan dosa, saat dia membiarkan sahaja hatinya dibuai kelalaian, saat dia berhibur tanpa had dan panduan, saat dia berselindung di hadapan manusia dengan perwatakan yang sedap mata memandang.

Bahkan paling menakutkan saat dia menjadikan agama sebagai jalan menghalalkan kemungkaran.

Dalam satu hadis qudsi ada dinyatakan perihal perbualan sang hamba dengan Allah di saat amalan dihitung,

“Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”.

Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”.

Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”.

Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

(Hadith riwayat Muslim)

Berikut merupakan satu bentuk perbualan yang agak membimbangkan sebagai seorang yang bergelar muslim bahkan bagi yang Allah kurniakan kelebihan kepada mereka.

Niat melakukan sesuatu itu sangat perlu diperhalusi kerana hati manusia itu sentiasa berbolak balik.

Hari ini putih esok mungkin sedikit kotor, hari ini hitam esok mungkin sudah berkilau bersih.

Terdapat satu kata-kata hukama’ yang mengatakan, “Sembunyikan kebaikanmu sebagaimana engkau menyembunyikan keburukanmu.”

Sifat Allah Maha Melihat itu harus sentiasa menjadi perisai seorang muslim supaya tidak melakukan maksiat dan dosa sekalipun sedang berseorangan.

Jika CCTV mampu mengawal manusia daripada melakukan perkara terlarang, maka mengapa tidak ada rasa yang sama untuk mengawal diri kita melakukan maksiat kepada Allah?

Ini bukti manusia itu takut andai terbongkar bahawa dirinya melakukan kesalahan, manusia melakukan sesuka hati kerana dirinya lalai daripada meyakini bahawa Allah punya CCTV yang jauh lebih hebat.

Manusia melanggar arahan kerana tidak yakin Allah itu ada dan Maha Hebat.

Manusia takut polis kerana bimbang akan balasan penjara, tapi kenapa tidak takut kepada Allah yang menyediakan balasan dan azab neraka?

Ini satu perkara yang perlu kita ambil berat, jika kita dengan senang hati melakukan amal kebaikan di khalayak ramai atau di hadapan orang namun sangat berat untuk meneruskannya ketika bersendiri maka bedahlah hati dan cuba rawat ia dengan segera.

Semoga kelak ketika mana kita berada di hadapan Allah untuk dihitung segala amalan, kita mempersembahkan sebaik-baik amal, secantik-cantik amal tanpa satu pun yang sia-sia di dalam rekod catitan malaikat.

Dalam hadits qudsi, daripada Abu Hurairah, Rasul SAW bersabda: Allah SWT berfirman: “Aku ini menurut prasangka hambaKu, dan Aku menyertainya, di mana saja ia berdzikir pada-Ku. Jika ia mengingat-Ku dalam hatinya, maka Aku akan ingat pula padanya dalam hati-Ku, jika ia mengingat-Ku di depan umum, maka Aku akan mengingatnya pula di depan khalayak yang lebih baik. Dan seandainya ia mendekatkan dirinya kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekatkan diri-Ku padanya sehasta, jika ia mendekat pada-Ku sehasta, Aku akan mendekatkan diri-Ku padanya sedepa, dan jika ia datang kepada-Ku berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan berlari.” (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah dan Baihaqi)

Moga Allah redha.

Siiru ‘ala barakatillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syarifah Nurul Baiti binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%