‘KEYBOARD WARRIOR‘. Satu terma istilah yang sudah sebati dalam masyarakat pada hari ini. Ia melibatkan insan-insan yang hanya mampu sembang kencang di belakang tabir walhal realitinya dia sendiri sedang bergelut dengan masalah sendiri.
Acapkali kuperhatikan satu persatu komentar warga ‘muka buku’ (Facebook) terutamanya setiap kali wujud sesuatu isu. Ada yang positif bahkan ada yang tak kurang hebatnya berunsur negatif.
Banyak sekali isu yang seringkali meruntun jiwa. Sayu melihat keadaan anak-anak muda yang semakin jauh daripada agama.
Hakikatnya saya bukan sesiapa, hanya seorang manusia yang suka memerhati dan semestinya turut diperhatikan.
Dari dulu sehingga kini saya percaya akan satu perkara, segala apa yang berlaku bilamana berkaitan dengan tingkah laku manusia maka ianya adalah berpunca dari hati.
Sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud :
Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika segumpal daging itu baik, maka akan baik seluruh tubuh manusia, dan jika segumpal daging itu buruk, maka akan buruk seluruh tubuh manusia, ketahuilah bahwa segumpal daging itu adalah hati manusia.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Setiap kali saya berbicara tentang hati, teringat akan input yang dikarang oleh Ustaz Hafez Sabri di dalam bukunya yang berjudul ‘Tarbiyah Ruhiyah’. Katanya, hati itu umpama rumah yang punya 6 pintu. Pintu tersebut adalah mata, mulut, telinga, hidung, tangan serta kaki.
Secara logiknya, mana mungkin orang yang berhati-hati akan membiarkan saja pintu rumahnya terbuka tanpa kawalan. Begitu juga hati, kesemua 6 pintu tadi perlu punya kawalan. Bukan sesuka hati saja kamu biarkan ia berfungsi mengikut kehendak sendiri.
Permainan syaitan itu licik, boleh jadi hari ini hatimu terjaga merendah diri, kelak mungkin saja sikap merendah diri itu bertukar menjadi satu kebanggaan yang ditayang-tayang sedang hakikatnya kita sedang mendustai diri sendiri.
Meskipun kita punya peluang pendidikan untuk segenap umur, dari mula bertutur sehingga habis kudrat untuk bergerak ke sana ke mari, namun berapa ramai dalam kalangan ahli masyarakat yang cemerlang tahap pendidikan namun akhlaknya entah kemana.
Berbalik kepada apa yang disampaikan di sini, realitinya masyarakat lebih suka menghukum dan mengkritik apa yang bukan dalam bidangnya. Sedangkan setiap ilmu itu memerlukan ahlinya untuk tujuan memperbaiki. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 42:
“Maka bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan (ulama’) jika kamu tidak mengetahuinya.”
Sebagaimana secara logiknya jarang sekali kita jumpa doktor yang membaiki kereta, atau arkitek yang merawat gigi ataupun guru yang menukang perabot.
Setiap bidang ada orang yang pakar di dalamnya, jika yang tidak berkaitan cuba masuk campur, ia boleh dikatakan umpama tikus membaiki labu.
Hari ini realitinya masyarakat lebih suka untuk berpegang kepada sangkaannya sendiri tanpa menitik beratkan prinsip sebenar yang dianjurkan Islam. Firman Allah dalam surah Hujurat ayat 12 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah daripada banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengunjing sebahagian yang lain.
Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Berbalik kepada diri sendiri, apa yang kita bina untuk peribadi kita. Apa yang kita salur masuk ke dalam hati kita.
Bila berhadapan dengan masyarakat apatah lagi berkaitan dengan apa yang bukan urusan kita, seharusnya kita tidak terlalu lantang seolah-olah kita tidak pernah melakukan dosa.
Kadang tanpa kita sedari, kita merupakan asbab jauhnya hati orang-orang yang masih belum sebati nilai-nilai Islam dalam jiwanya.
Saat kita menghukum orang lain, kita bukan sahaja sedang menguji dan mengubah hati serta akhlaknya, bahkan juga hati dan akhlak kita. Umpama membaling batu ke arah binatang liar, binatang itu sakit, tangan kita juga turut terasa kesannya.
Kalau dahulu, orang yang menayangkan kesenangan atau melakukan khilaf itu hanya jadi bualan di bibir saja, kutukannya hanya berlegar sekitar kampung tanpa melibatkan masyarakat dari kampung lain.
Tapi hari ini, sebarang isu yang pada pandangan masyarakat itu salah hatta pada perkara yang tidak langsung terlintas di hati seseorang, dicanang-canang dalam sekelip mata ke seluruh pelusuk negara.
Bukan sekadar itu sahaja, umpama telah bersepakat pula bala tentera Keyboard Warrior ini datang menyerang tanpa usul periksa. Menilai isu daripada tajuk serta komentar isu bukan pada kronologi isu itu sudah menjadi norma kebanyakan manusia barangkali.
Mengapa tajuk ini diberi nama ‘Zaman Ini Zaman Persepsi’?
Kerana hakikatnya begitu, orang bertudung dituduh hipokrit, orang berniaga dikatakan berlagak, orang menasihati dianggap riak. Ini yang paling ketara, budaya melemparkan persepsi sesedap hati tanpa mengambil kira soal salah atau benar.
Didik hati untuk tidak terlalu cepat menghukum, cuba untuk bina persepsi yang baik hatta pada sang gelandangan.
Jalan hidup kita tak serupa, mungkin kita lahir saja sudah kenal alif ba ta sedangkan ada antara saudara-saudara kita usia senja baru mengenal buku iqro’.
Teringat pada satu kata-kata daripada orang hebat di tempat pengajian saya,
“The heart of education is education of the heart.”
Kata-kata ini sangat cantik pada pandangan saya, apa guna berbangga punya sijil satu kotak andai hati itu merasakan diri mulia dan tidak berdosa. Walau naik pangkat bertingkat-tingkat, kelak di penghujung usia Allah jualah tempat bergantung harap.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Syarifah Nurul Baiti Binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan dan merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.