, , ,

Cinta Jarak Jauh (Diari PJJ)

“Malam ni kita dating ye, sayang.” Mesej yang diterima daripada isteri membuat saya tersenyum bahagia.

Wahhh… berbunga hati menerima mesej daripada kekasih hati. Tak sabar menanti tiba saat itu, seminit terasa bagaikan sejam lamanya menunggu.

“Ok, jom dating.” Mesej yang diberikan isteri menandakan dia sudah bersedia.

“Ok, tapi boleh tunggu sekejap? Abang nak solat dulu, dah masuk waktu.” Jawabku meminta izin untuk menangguhkan seketika, bagi menyahut seruan yang Maha Esa.

Setelah selesai solat, kira-kira 15 minit masa diambil. Saya terus menghubungi isteri. Kami berhubung secara dalam talian melalui aplikasi Messenger.

Panggilan kali pertama tak berjawab.

“Tak dengar kot,” bisik hati saya. Saya cuba lagi hubungi kali kedua, juga tak berjawab.

“Pergi tandas agaknya,” pujuk hati saya.

Sekali lagi saya cuba hubungi kali ketiga, pun tak berjawab.

“Dah terlena rasanya ni,” saya cuba mengagak.

Saya hubungi adik ipar dan bertanyakan mengenai isteri. Ternyata, tekaan saya tepat. Dia dah terlena kepenatan. Saya faham keadaannya dan tak mahu mengganggu tidurnya.

Keesokan paginya, saya terjaga jam 3 pagi, perkara pertama yang saya lakukan adalah menghantar mesej kepada isteri ucapan selamat pagi serta memberikan kata-kata semangat kepadanya.

Setelah itu, saya bersiap ke kelas saya menanti mesej balas daripadanya. Pulang dari kelas jam 2 petang baru saya terima mesej balas selamat pagi pada waktu petang. Meskipun begitu, sudah membuat hati saya gembira.

“Boleh kita dating malam ni?” Tanya saya kepada isteri.

“Boleh,” jawab isteri sambil memberikan ikon smiley tanda setuju dengan permintaan saya.

Kali ini saya memilih waktu yang tepat untuk menghubunginya bagi memastikan perkara lalu tidak berulang.

Saya bertanya khabar dan bertanya mengenai kerjanya di hospital pada hari itu.

Lalu dia menceritakan pengalamannya bertemu dengan pesakit-pesakit yang bermacam ragam. Saya hanya mendengar sambil cuba memahami keadaan yang dilaluinya.

Setelah itu, dia mengadu betapa tertekan dan sibuknya suasana kerja di hospital sehinggakan hampir setiap hari tak sempat menjamah makanan.

Semasa bulan Ramadan, lewat malam baru sempat berbuka. Adakalanya terlepas solat kerana ada beberapa kes kecemasan yang melibatkan nyawa pesakit.

Perlahan-lahan air matanya mengalir meluahkan segala tekanan yang dihadapinya. Saya memujuk dan memberikan kata semangat dari kejauhan agar dia tidak patah semangat mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.

Di akhir perbualan, tiba-tiba isteri senyap tidak berkata apa. Saya memanggil namanya. Terus dia tersedar dan bertanya soalan pelik kepada saya.

“Awak dah buat CT scan?”

“Haaa… awak cakap apa ni?” Saya kehairanan dengan pertanyaan yang diajukan.

“Takpe, awak teruskan buat free flow dan aspirin ye,” katanya lagi.

Haha.

“Dah sah mengigau isteri aku ni,” tertawa kecil saya dalam hati.

Tergelak saya seorang melihat betapa dahsyatnya kerja seorang doktor sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Begitulah rutin kami sejak tinggal berjauhan selama setahun, dengan jarak masa berbeza 6 jam memerlukan kami memilih timing masa yang tepat untuk berhubung. Waktu saya berjaga, dia tidur. Waktu saya ke kelas, dia pula sedang bekerja.

Ditambah pula, sejak isteri mula bekerja, seawal 5-6 pagi sudah keluar rumah dan pulang adakalanya sehingga jam 8-9 malam. Jadi, pulang rumah sahaja memang perlukan rehat.

Realiti perkahwinan, tidak sama seperti dalam drama telenovela. Hakikatnya masing-masing harus berkorban dan saling percaya, sabar dan redha. Itulah resepi bahagia rumahtangga.

Lebih-lebih lagi, kepada yang berhajat untuk beristerikan seorang doktor, harus mempersiapkan diri mental dan fizikal serta memahami kerjaya mereka.

Usah bermimpi jika mahu isteri sentiasa melayani, menyediakan hidangan, memakaikan butang baju melayu di pagi raya semua bagai.

Sebaliknya, kita harus bertolak ansur dan perlu berlumba untuk saling memberi bukan hanya menerima sahaja.

Bersabar sayang, nantikan kepulangan abang!

 

 Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Zabidi Azhar. Merupakan mahasiswa tahun akhir Usuluddin di Universiti Al Al-Bayt, Jordan. Ikuti perkembangan beliau di blog www.zabidiazhar.wordpress.com dan juga Facebook Zabidi Hj Azhar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.