, ,

Kad Raya Dari Penjara (Bahagian 1)

Sekeping kad raya rona biru laut itu dikutipnya di atas lantai setelah terjatuh dari celahan timbunan kertas-kertas A4 terpakai di dalam stor rumahnya.

Habuk dan sawang lelabah yang mencemari permukaan kad itu ditiup sedikit lalu dibersihkan sisanya dengan tangan.

Kad raya yang diterimanya hampir lima tahun lepas, yang langsung belum pernah dibaca isi kandungannya malah hampir-hampir saja dilupakan itu dibuka lalu dibaca aksara-aksara bertulisan tangan itu.

Assalamu’alaikum.

Anakku Syahida,

Ini adalah kad raya ayah yang terakhir buatmu sepanjang ayah menjadi penghuni tirai besi ini. Alhamdulillah dengan izin Allah, hujung tahun ini ayah bakal meninggalkan tempat yang cukup mendidik ayah erti hidup menjadi hamba.

Ayah bersyukur kerana Allah masih berikan kesempatan buat ayah berubah dan bertaubat. Dunia gelap yang ayah jalani di luar sesungguhnya melorongkan ayah kepada sinar hidayah Ilahi di dalam tirai besi ini.

Sungguh ayah tak menyangka, di sini tempat ayah mengenal diri, mencari Tuhan dan akhirnya menjadi hamba yang mengenal Ilahi.

Ayah tahu sebesar mana pun kemaafan yang ayah pohon daripada Ida, belum tentu dapat menebus segala kesilapan yang ayah telah lakukan kepada keluarga kita 20 tahun lepas.

Ayah mengerti seberat mana pun hukuman dunia yang telah ayah jalani, tidak akan dapat mengembalikan lagi nyawa ibumu dan adikmu yang telah pergi. Ayah faham jika Syahida tidak dapat menerima ayah dan tidak dapat memaafkan segala kesilapan bodoh ayah yang jahil ini.

Anakku,

Andai saja ayah dapat putarkan waktu, ayah juga tidak mahu keluarga kita berantakan begini. Ketahuilah walaupun nyawa ibu dan adikmu terkorban berpunca dari ayah, namun ayah tiada sepicing niat pun untuk membunuh dengan sengaja.

Ayah akui semuanya kerana kejahilan ayah, ayah hilang dua nyawa yang ayah sayangi. Kesempitan hidup kita dahulu membuatkan ayah hilang pertimbangan akal. Kerana wang, ayah sanggup perjudikan nyawa keluarga kita sampaikan ayah tak terfikirkan baik buruk apa lagi dosa pahala.

Anakku Syahida,

Buat kesekian kalinya, ayah memohon maaf darimu kerana tidak dapat melaksanakan tanggungjawab selayaknya sebagai seorang ayah buat Syahida. Selama ayah masih hidup, InsyaAllah dari jauh ayah takkan berhenti mendoakan kebahagiaan Syahida, satu-satunya anak ayah dunia dan akhirat.

Selamanya mendoakanmu,

Ayah.

Air yang bergenang di pelupuk matanya gugur satu persatu persis butiran tasbih yang terputus tali. Antara hiba dan api amarah yang meluap. Benci bersulam dendam yang belum terpadam.

Semuanya bergabung mengasak-asak jiwa dan perasaannya. Masih segar lagi dalam putaran memorinya tragedi hitam hampir dua puluh lima tahun nan silam.

Imbas kembali (25 tahun silam)

Dia merayu-rayu namun tak diendahkan. Dia cuba menghalang namun apa sangatlah daya kekuatan kanak-kanak berusia lima tahun sepertinya.

Lelaki selayaknya bergelar ayah itu persis kerasukan – terus-terusan mengugut, menampar dan menyebat tubuh ibu yang sarat hamil dengan tali pinggang tanpa secuit pun rasa belas.

Dia melihat wajah bengis ayah merentap satu-satunya barang kemas milik ibu – rantai emas pusaka peninggalan arwah nenek sehingga tubuh ibu tertolak tanpa sengaja.

Dan dia hanya mampu menangis dan memanggil-manggil ibunya sambil menggerak-gerakkan tubuh lebam ibu yang longlai setelah terjatuh bergolek dari tangga rumahnya.

Ayah. Sejujurnya dia masih belum bersedia untuk menerima kehadiran lelaki itu semula. Lelaki yang bukan sahaja pernah menyebabkannya kehilangan teduhan kasih ibu tercinta, malah adik dalam rahim ibu turut terkorban sebelum sempat menjengah dunia.

Ayah cukup bernasib baik kerana tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati. Ayah cuma harus menjalani hukuman 20 tahun penjara kerana menyebabkan kematian dan baru dibebaskan lima tahun lalu.

Dia masih ingat lagi, walaupun ketika itu usianya hanya lima tahun. Ayah suatu ketika dahulu seorang yang baik dan penyayang. Keluarga mereka suatu ketika dahulu bahagia, hidup normal seperti keluarga lain. Malah, siapa pun tak menyangka ayah akan berubah sedrastik itu.

Titik perubahan dalam keluarga mereka berlaku saat ayah – seorang akauntan di sebuah syarikat pembinaan terpaksa diberhentikan kerana syarikat tersebut diisytiharkan muflis.

Saat itu segalanya berubah sedikit demi sedikit. Ayah mula tertekan kerana wang simpanannya semakin habis dalam keadaan dirinya belum mendapat pekerjaan baharu.

Kerana termakan dengan ajakan teman, ayah mula berjinak-jinak dengan judi. Semakin lama, ayah semakin ketagih berjudi sehingga habis wang simpanan dan hartanya. Lama-kelamaan ayah semakin berani naik tangan dan kaki terhadap ibu jika ibu tidak menghulur wang yang diminta ayah.

Begitulah bagaimana sikap ketagihan judi ayah menghancurkan kebahagiaan keluarga mereka dalam sekerdip mata.

Dendam yang terpendam

Dia renung lagi sekeping kad raya dari balik tirai besi itu. Jijik. Dengan penuh rasa kesumat yang bergumpal dalam dada, tangannya baru sahaja ingin merenyuk-renyukkan kad raya itu namun tiba-tiba Samsung S5nya berbunyi nada dering menerima panggilan dari seseorang.

Retinanya menangkap nama ‘Mak Long’ yang tertera di skrin, lantas panggilan dari desa itu segera disantuni untuk beberapa ketika.

“Raya ni Ida balik ya, nak. Tahun ni kita sambut raya sama-sama dengan ayah Ida..” Setelah beberapa tika berbual, akhirnya Mak Long tiba ke topik utamanya. Syahida sudah menjangkakan perkara itu akan dibangkitkan lagi.

Bukan dia tidak mahu balik kampung, bukan dia tidak rindu kemeriahan suasana menyambut Syawal bersama sanak-saudara. Bukan juga kerana dia sudah lupa siapa yang menyaranya selama ini kalau bukan Mak Long dan Pak Long.

Ya, kerana ayah sudah kembali – satu-satunya alasan mengapa sejak lima tahun lalu yang membuatkan dia tawar hati untuk kembali ke desa kelahirannya.

“Ida? Ida ok ke nak?” Soal Mak Long setelah beberapa jeda Syahida diam membungkam.

“Ida ok je Mak Long.. Nanti kalau Ida nak balik, Ida call Mak Long ya?”

“Ida masih marahkan ayah?” Diam lagi. Mak Long sememangnya sudah dapat membaca isi hati Syahida, anak saudara yang sudah dianggap bagai anak kandung sendiri.

Syahida pendiam, namun tidak sukar untuknya menelah apa yang tersirat. Dua puluh lima tahun bukanlah jangka waktu yang pendek untuknya memahami segala tingkah laku anak gadis kepada arwah adik perempuannya itu.

“Dah lebih dua puluh tahun, Ida.. Pasir di pantai lagikan berubah, inikan pula manusia. Ayah Ida tak macam dulu lagi.. Dia dah banyak berubah, Ida..”  Kesempatan itu Mak Long manfaatkan sebaiknya untuk melunakkan hati Syahida. Harapannya tidak pernah kunjung padam agar Tuhan menyembuhkan hati anak gadis yang sudah terjeruk lama dalam kelukaan itu.

“Ida tak harapkan kehadiran ayah lagi. Ida boleh hidup tanpa lelaki tak berguna tu. Ayah yang sepatutnya jadi pelindung keluarga. Ayah yang sepatutnya jadi orang yang paling Ida percayai. Tapi ayah sendiri yang dah membunuh kepercayaan tu.”

“Astaghfirullah al-adziim Ida.. Istighfar, nak.. Buruk macam mana sekalipun, darah yang mengalir dalam tubuh Ida adalah darah ayah juga. Kita sama-sama rasa sakitnya kehilangan, sebab yang dah pergi tu adik kandung Mak Long sendiri, nak. Tapi jangan biarkan dendam tu butakan mata hati kita..” Panjang lebar Mak Long menasihati Syahida. Syahida harus disedarkan sebelum jiwanya tenggelam dalam lautan dendam yang tak bertepi. Sebelum sesal datang tiada berguna.

“Entahlah Mak Long. Ida dah penat paksa hati Ida untuk terima ayah. Ida dah muak fikir fasal benda ni. Apa pun akan terjadi biarlah waktu yang tentukan,” datar suara tawar Syahida membuatkan Mak Long di hujung talian mengeluh kecil. Entah bilalah hati aisberg Syahida akan melebur bagai api yang mencairkan lilin.

“Mak Long tahu, Mak Long tak layak nak nasihatkan Ida. Mak Long tak belajar tinggi pun macam Ida. Tapi satu yang Mak Long nak pesan. Hidup ni singkat. Jangan sampai satu hari nanti kita menyesal sebab ada hak yang belum kita tunaikan. Fikir-fikirkanlah. Assalamualaikum.”

Talian diputuskan. Sejenak sanubarinya terjentik dengan omel bebel Mak Long yang tak pernah berputus asa menjadi penasihat tak rasmi buatnya.

Jiwanya masih bersimpang siur, memilih untuk kekal tegar bersama sekeping hatinya yang konkrit atau membuang duri-duri ego yang tumbuh melata dalam hatinya lalu melutut memohon keampunan daripada seorang ayah yang kian tua dimamah usia.

‘Aku takkan mengalah. Biar dia rasakan sakit yang pernah aku dan ibu rasa,’ getus hati Syahida, sekaligus mematikan bunga-bunga insaf yang baru bertunas di sanubari.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 9

Upvotes: 6

Upvotes percentage: 66.666667%

Downvotes: 3

Downvotes percentage: 33.333333%