,

Al-Mathurat… Ramai Yang Tak Kenal Engkau….

Kedengaran suara anak aku riuh berkejaran dengan kawan-kawannya. Bagaikan tiga bulan tidak berjumpa. Sedang isteriku bidadariku asyik mengalunkan zikir al-Mathurat di kala gerimis senja.

Dan seseorang yang sesihat dan sesegar aku ini hanya menanti umpama peminat menagih belas kasihan menanti penyanyi kesayangan mendendangkan lagu kegemaran.

Aku lebih suka menghayati dan mendengar keindahan suara isteriku mengalunan zikir al-Mathurat. Aku hanya tersengih kepada isteriku yang menjeling tajam dengan kemalasanku berzikir bersama-samanya. “Abang, marilah kita bersama-sama baca al-Mathurat ini,” pinta isteriku dengan sungguh-sungguh.

Aku terkenang, aku pernah cuba mempromosikan al-Mathurat ini dengan sebahagian kenalan. Malangnya zikir al-Mathurat ini masih terasing di kaca mata kita semua.

Semasa aku ke MPH bersama kawan-kawan, aku berkata di dalam hatiku bersungguh-sungguh. “Aku pasti akan menarik minat kawanku menyukai al-Mathurat.”

“Jom kita beli al-Mathurat ini, bagus sekali zikir ini diamalkan pada pagi dan petang,” pinta aku pada kawanku.

“Hrmm… aku tak pernah dengar la al-Mathurat ini. Baik aku beli tafsir al-Quran ataupun buku hadis sahaja. Lagi bagus,” bantah kawanku.

Aku hanya menjawab di dalam hati, “Al-Mathurat ini dikarang oleh Imam Hassan al-Banna. Di dalam buku kecil ini terkumpulnya zikir dan doa yang sahih daripada Nabi Muhammad S.A.W untuk diamalkan di kala pagi dan petang.

Au terdiam daripada meneruskan bicara. Dalam menasihati kita tidak boleh berlebih-lebihan dan tidak boleh memaksa. Lagipun aku ini juga daif dan kerdil dari sudut keilmuan agama.

Aku mendoakan agar rakan aku ini akan terbuka dadanya untuk menelaah dan menelusuri keindahan alunan zikir-zikir al-Mathurat.

Aku teringat akan nasihat isteriku, “Amalkan al-Mathurat, ianya penawar duka lara dan ubat ketenangan di dalam jantung hati.”

Selepas isteriku selesai mengalunkan zikir al Mathurat, lantas aku memulakan pembacaan zikir al-Mathurat. Aku tersenyum sambil memandang wajah isteriku.

Isteriku tersenyum memanjang-manjang. Biasalah orang perempuan, wajib mahu menyaksikan sendiri suami-suami mereka melafazkan zikir.

Al-Mathurat sememangnya mengandungi seni makna dan lafaz yang indah sekali. Ayat pertama zikir al-Mathurat sahaja sudah mengajar kita untuk mendapatkan perlindungan daripada Syaitan.

“Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui daripada gangguan syaitan yang terkutuk.”

Begitulah tujuan hidup kita, agar kita tidak tergelincir di dalam belitan Iblis (talbis iblis). Kita ini insan yang lemah, memerlukan perlindungan daripada gangguan Syaitan dengan kuasa Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Begitu juga pembacaan al-Quran, dimulakan dengan perlindungan daripada gangguan syaitan dan diakhiri juga dengan perlindungan daripada gangguan syaitan (surah an-Naas).

Kita juga diajar mensyukuri nikmat Allah dengan lafaz indah daripada zikir ini:

“Allahumma, nikmat apa yang aku peroleh dan diperoleh seseorang di antara makhlukMu adalah daripadaMu, yang Esa dan tidak bersekutu, maka bagiMu segala puji dan syukur.”

Aku memandang ke luar jendela di kala gerimis senja. Ya, sudah banyak nikmat yang Engkau kurniakan dalam hidup aku. Engkau kurniakan nikmat isteriku kepadaku. Isteriku bidadariku.

Manakala anak sebagai penawar duka lara. Aku masih boleh bernafas nyaman dan penuh rasa kekenyangan.

Terdapat alunan mensucikan Allah S.W.T yang sangat indah. Allah S.W.T itu suci daripada kelemahan makhluk-makhluknya. Zikir di bawah ini merupakan pujian (tasbih):

Sebanyak mana makhluk ciptaannya
Sebanyak mana keredhaanNya
Seberat mana ArasyNya
dan sebanyak mana kalimatnya.

Cukuplah zikir di bawah yang merupakan shortcut kepada zikir beratus ribu kali. Teringat pesanan Dr Zaharuddin, “Zikir di bawah ini membezakan orang yang berilmu dengan orang yang beramal (tanpa ilmu).

“Maha suci Allah dan segala puji bagiNya, sebanyak bilangan ciptaanNya dan keredhaanNya, dan seberat timbangan ‘arasyNya dan sebanyak dakwat (yang terpakai untuk menuliskan) kalimatNya.”

Masih banyak ingin aku kongsikan kandungan al-Mathurat ini. Tapi cukuplah aku menutup perkongsian ini dengan Penghulu Istighfar yang terselit di dalam al-Mathurat ini.

Di dalam Penghulu Istighfar ini dihimpunkan seni makna dan lafaz doa yang indah yang seharusnya dihafal oleh setiap umat Islam. Semoga iman kita tidak berkurang umpama daun-duan hijau kekuningan, yang ditiup angin selepas dicakar-cakar atau dikoyak-koyak.

Tanyalah diri kita, Allah di mana di dalam jiwa kita? Siapakah yang dapat mencarikkan kota takdir kita (penutup kisah kita…sama ada bahagia atau derita?)

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. (Riwayat al-Bukhari (6306))

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia. Ikuti blog beliau, http://mridhuansulaiman.blogspot.my/

Ayah kepada penulis ada menjual madu tualang. Adik kepada penulis juga ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram bin Sulaiman di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.