,

Dunia Akan Selalu Memenatkan

Seharian hidup rasanya seperti robot ciptaan manusia. Kerja tanpa henti dari mula terbit matahari hingga kini sudah hampir terbenam. Namun andai saja kita seperti robot yang tak punya rasa. Penat mahupun lelah. Pasti mudah.

Namun kita cuma manusia yang terbatas kudratnya. Tidak mengapalah, mungkin atas usaha mencari rezeki yang halal kerana Allah, ada amal yang sedang dicatat.

Moga-moga menjadi penambah bekalan untuk di sana nanti, di akhirat yang abadi. Ayoh, tukar lelah ini jadi lillah.

Mata lama tertancap pada matahari yang kian menghilang. Memudar seriring berputarnya waktu. Subhanallah indahnya suasana matahari terbenam.

Benarlah setiap satu apa yang Allah cipta itu jelas cantik lagi menenangkan. Walau dibebankan oleh rutin seharian yang memenatkan namun hilang segala keletihan bila melihat hari ini masih berakhir dengan indah.

Terpikir seketika, tidak bosankah matahari yang setia terbit dan terbenam setiap hari, Yang tak pernah berhenti memancarkan sinarnya. Menjadi manfaat yang dapat dinikmati setiap manusia.

Bayangkan hidup ini tanpa sinar mentari, tak bercahaya gelap sentiasa. Segala rutin harian pasti jadi payah. Alhamdulillah, matahari itu nikmat terbesar yang Allah kurniakan untuk kita.

Bagaimana kita ingin sesetia itu? Tidak pernah bosan dan lelah untuk taat ibadah pada Pencipta. Mengeluh apatah lagi, dan setiap hari memberi manfaat untuk insan yang ada di sekeliling kita.

Harusnya kita muhasabah kembali tujuan kita tercipta. Moga kita tidak lupa. Seperti taatnya matahari pada perintah TuhanNya kita harus seperti itu juga.

Sedangkan matahari yang tidak akan dihisab pun masih gagah untuk patuh perintah, kenapa kita, sebagai khalifah yang kelak akan dihitung segala amalannya mudah jatuh rebah. Sedikit penat kita mula goyah.

Malu pada sang matahari mengenangkan kita yang terlalu lemah. Inikah jiwa yang berjanji untuk menegakkan Islam dan kalimah syahadah di bumi Allah.

Ingatlah, dunia ini memang tercipta untuk berpenat lelah, jika mahu rehat, nanti di sana di syurga. Moga Allah sudi memasukkan kita ke sana.

Sungguh Allah mencipta setiap yang ada di sekeliling kita dengan penuh hikmah. Setiap satunya ada ibrah.

Tinggal kita saja, memandang dengan mata yang celik tapi buta atau memilih untuk memandang dengan hati sambil berfikir dan mengingatkan diri akan kebesaran Ilahi.

Tanamkan pada diri untuk sentiasa melihat sesuatu itu jauh ke dasarnya. Selami maknanya. Bukan setakat memandang tanpa makna.

Biar apa yang kita lihat, yang kita dengar, yang kita lakukan semuanya dapat mengingatkan kita pada Allah hatta untuk sekecil perkara walau cuma sedang memandang terbenamnya sang Matahari.

Moga untuk setiap langkah kita dalam menjalani hidup ini. Sentiasa terarah pada Allah saja. Moga Allah menetapkan hati ini untuk terus istiqamah di jalanNya.

Walau sukar walau payah moga tabah untuk terus meredah. Kerana kita yakin pada setiap setiap satu kebaikan yang ditaburkan pada hari ini kelak akan dihitung di sana nanti.

Pasti setiap satunya hingga tiada apa yang tersisa. Allah, kuatkan kami dengan kekuatanMu.

“Life is hard.

So do not wish that it would be easier,

wish you were better.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.