,

Aku Memandang Dengan Pandangan Yang Sia-sia!

Aku menghela nafas. Penat berlari mengejar masa. Aku menelek jam di tangan. Tepat pukul 5.00 petang. Tangan kugenggam bersedia untuk mengetuk pintu di hadapan. Belum sempat tangan ini mencecah daun pintu. Pintunya telah dibuka dari dalam.

Aku lihat murabbiku berdiri tegak sambil tersenyum.

“Tepat waktu kamu sampai kemari,” bicaranya.

Aku tersengeh sahaja. Nasib sempat, jika lambat pasti aku akan dimarahi kerana murabbiku sangat mementingkan penjagaan waktu.

Katanya, masa itu umpama mata pedang. Jika kau tidak menggunakannya sebaik mungkin maka ia akan melukakanmu.

“Jom ikut saya keluar,” bicaranya lalu mendahului aku berjalan ke hadapan. Aku yang belum sempat berkata apa-apa hanya menurut sahaja.

Cuaca pada petang ini agak dingin kerana baru sahaja lepas hujan. Aku menarik nafas dalam-dalam menghirup udara yang segar. Subhanallah.

Tiba-tiba aku lihat murabbi berhenti melihat sesuatu, ada yang menarik perhatiannya. Aku turut sama menghentikan langkahku.

Aku lihat ada pelukis jalanan yang sedang mempamerkan bakat melukisnya. Dari kanvas putih yang kosong, dia mencorakkannya dengan sebuah lukisan pemandangan yang sangat cantik.

Lukisan yang begitu menarik dengan pemilihan warna dan contengan yang sangat teliti. Berbakat sungguh! Aku jadi teruja melihatnya.

Inilah kehidupan…” bicara murabbiku secara tiba-tiba lalu meneruskan perjalanan.

Aku terpinga-pinga. Apa maksudnya? Aku berlari anak mengejar dia yang sudah agak jauh meninggalkan aku.

Lama berjalan seperti tanpa tujuan. Mataku melilau memandang sekeliling. Tiba-tiba aku lihat ada pelangi di dada langit. Cantik, aku terleka seketika.

Tanpa ku sedari, sekali lagi aku sudah jauh ditinggalkan murabbi. Aku penat dan bosan.

Katanya tadi ingin mengajakku usrah bersama. Tapi sudah hampir setengah jam dia hanya membawa aku berjalan-jalan tanpa berbicara sepatah pun. Ingin bertanya aku agak takut dimarahi.

Sebenarnya walau sudah dua tahun aku menjadi anak muridnya, sehingga kini hubungan antara kami tidak begitu mesra.

Entah, mungkin kerana perwatakannya yang sedikit tegas. Dia jarang ingin bergurau dan bercanda. Setiap butir kata yang keluar dari mulutnya sentiasa bermanfaat.

Bicaranya, “Jika tidak ada kata-kata baik yang ingin dituturkan, maka lebih baik diam.”

Aku memandang kembali langit biru di atas sambil menghela nafas. Aku lihat pelangi tadi sudah memudar hilang.

“Inilah kehidupan…” katanya. Terkejut aku disapa suara yang sangat aku kenali.

Aku memandangnya dengan muka yang penuh tanda tanya. Dua kali dia menuturkan kata-kata yang sama. Namun hampa, pandanganku hanya dibalas senyuman.

Dia meneruskan perjalanan. Hinggalah kami tiba di suatu sudut. Aku lihat dia berjalan menuju ke bangku kosong yang elok terletak di bawah pokok yang rendang lalu dia mengambil tempat di situ.

“Kemari, duduk di sini.” Dia memanggilku untuk duduk di sisinya.

Aku menuruti arahannya. Di tangannya aku lihat ada sehelai daun kering. Lama dia menilik daun kering itu.

“Inilah kehidupan…” tuturnya lagi untuk kali yang ketiga.

“Apa maksud ustaz? Sejak dari tadi ustaz bercakap perkataan yang sama. Inilah kehidupan? Saya tidak faham. Boleh ustaz jelaskan?” Akhirnya aku menyoalnya juga. Tidak betah untuk terus berada dalam kekeliruan yang menggasak minda.

Murabbi menghela nafas. Lama dia berdiam sebelum memulakan bicaranya.

“Anakku, fitrah manusiawi ini, pada awalnya suci. Sesuci kanvas putih yang kamu lihat tadi. Lalu bergantunglah pada kita untuk mencorakkannya.

Andai kehidupan ini diisi dengan agama dan keimanan yang kukuh pada Pencipta, pasti lukisan yang dihasilkan adalah lakaran kehidupan paling indah dan sempurna. Lebih cantik daripada hasil nukilan si pelukis handalan.

Begitulah sebaliknya andai kehidupan ini diisi dengan kemaksiatan dan dosa. Maka hasilnya pasti seperti sebuah lukisan yang tiada harga.

Semuanya terserah pada kita.” Dia berhenti bicara, kemudian menyambungnya lagi,

“Kita sedih melihat langit mendung yang menurunkan hujan. Kerana aktiviti yang dirancang terpaksa dibatalkan. Namun tidak lama kemudian hujan pun berhenti , dan mentari pun muncul bersama pelangi. Kita teruja.

Namun keterujaan yang sebentar kerana pelangi yang indah itu tidak kekal dan pasti akan luput. Begitulah kehidupan ini silih berganti antara duka dan suka. Duka itu hadir bukan untuk kekal selamanya, ia akan pergi seperti berakhirnya titisan hujan, maka bersabarlah.

Diganti pula duka dengan bahagia lalu kegembiraan menghuni jiwa. Namun harus diingat seindah mana pun kebahagiaan yang dikecapi ia pasti pergi persis sang pelangi yang hadir sekadar sebentar cuma. Kerana sunnatullah menetapkan hidup ini sentiasa akan silih berganti antara tangis dan tawa, gembira dan derita.”

“Lalu seberapa lama pun kita menjalani kehidupan di dunia ini, pada akhirnya takdir akan tetap membawa kita kepada kematian persis daun kering yang layu dan gugur, bukankah dahulu ia adalah daun yang hijau, segar dan muda? Tiada apa yang kekal di dunia ini selain Allah. Maka ingatlah hidup ini cuma sementara. Bekalan apa yang akan kita bawa untuk menuju ke sana?”

Aku tertunduk malu. Betapa alpanya aku, langsung tidak terlintas di fikiranku untuk mentadabbur alam ini seperti murabbi.

“Kita ini sebenarnya jarang menggunakan nikmat yang Allah beri dengan sebaiknya. Kita memandang, tapi dengan pandangan yang kosong. Memandang tanpa berfikir, dapatkah kau kecapi sebarang manfaat darinya?

Harusnya, dengan mata ini kita melihat kebesaran Ilahi, dengan mata ini kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan, dan dengan pandangan mata inilah sepatutnya kita guna untuk mencari Tuhan. Tidakkah kau mengambil sebarang pengajaran daripada apa yang kau lihat?” Soalnya lagi kepadaku.

Aku hanya mendiamkan diri. Mengakui kesilapanku, ternyata aku selama ini buta walau mampu melihat, kerana aku memandang dengan pandangan yang sia-sia bukan dengan pandangan yang membuahkan keinsafan. Allahu!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.