“Ceritakan pada mereka tentang kisah kami”
Pesanan itu terngiang-ngiang di fikiranku – pesanan yang kubawa pulang dari seorang teman warga Syria bernama Khaled.
Dua bulan aku berada di Turki, menjadi seorang sukarelawan dalam sebuah misi dinamakan MyCorps Timur Tengah untuk membantu para pelarian Syria di 3 buah negara; Turki, Lubnan, dan Jordan.
MyCorps ialah sebuah program sukarelawan kelolaan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia untuk melahirkan anak muda yang bersifat altruistik dan berkepimpinan.
Takdir tuhan meletakkan aku di Turki bersama 10 rakan sukarelawan dan ternyata, indah sekali takdir ini. Banyak perkara yang aku pelajari sepanjang tempoh itu. Banyak kisah yang telah aku dengari sewaktu bergaul bersama pelarian.
Bersama kisah-kisah tersebut, terselit pesanan untuk menyampaikannya pada dunia tentang kehidupan mereka dahulunya sebelum perang dan bagaimana semuanya sudah berubah.
Petang itu aku duduk bersama Khaled dan Abu Muhammad sementara menunggu rakan-rakanku yang lain menyelesaikan kerja mereka.
Projek besar kami iaitu menambahbaik serta membaik pulih sebuah pusat penempatan sementara bagi warga Syria yang cedera, yang dinamakan Darul Istishfa, harus disiapkan dalam masa beberapa hari sahaja lagi untuk dirasmikan oleh pegawai dari Malaysia.
Masing-masing bertungkus-lumus berkerja. Aku yang sudah menyelesaikan bahagianku mengambil peluang untuk berehat dan berbual bual bersama Khaled dan Abu Muhammad.
Mereka berdua berasal dari Deir Ez-Zor, sebuah wilayah berhampiran dengan Iraq yang kini berada dalam penguasaan ‘daesh’ atau lebih dikenali sebagai ISIS.
Petang yang hening itu, mereka membuka kisah mereka, tentang perjuangan meneruskan hidup dan kerinduan pada kampung halaman.
Khaled berasal dari sebuah keluarga berada dan merupakan bekas mujahidin yang berjuang menentang rejim. Asalnya dia seorang ahli fisioterapi dan berkerja di hospital.
Semenjak perang, disamping berjuang di medan perang kadang-kala terpaksa juga dia bertindak sebagai doktor dan melakukan pembedahan pada mangsa yang tercedera walaupun tanpa kemahiran.
Semuanya gara-gara kekurangan doktor di hospital kerana doktor adalah sasaran utama dalam perang.
Khaled pernah koma dek terkena serangan bom di leher. Ketika itu doktor menyangka dia sudah mati kerana jantungnya tidak lagi berdegup, nadinya tidak dapat dikesan, dan nafasnya tidak dirasai.
Akhirnya Khaled muntah darah dan saat itu, tahulah mereka bahawa dia masih bernyawa. Khaled kemudiannya menetap di Turki, menjadi sukarelawan sambil dia sendiri menjalankan latihan fisioterapi buat dirinya.
Semua ahli keluarganya berhijrah ke Jerman melalui jalan air dan merekalah yang menampung kehidupan Khaled di Turki.
Abu Muhammad pula merupakan seorang guru bahasa Inggeris sebelum perang meletus. Setelah terjadinya perang, dia terpaksa berhenti kerja dan membantu di hospital seperti jua Khaled.
Dia yang memberi ubat-ubatan kepada pesakit walaupun itu di luar bidang penguasaannya. Keadaan yang darurat memaksa mereka melakukan apa saja demi menyelamatkan nyawa.
Abu Muhammad dan keluarga masih menetap di Syria, di dalam kem pelarian berdekatan sempadan Turki.
Dia di Turki cuma untuk mendapatkan rawatan untuk anaknya yang menghidap penyakit ‘autoimmune’ sejak kecil yang mengakibatkan kegagalan fungsi buah pinggang secara perlahan-lahan.
“Adakah kampung kamu cantik?” Tiba-tiba terpacul soalan itu dari mulutku.
Entah dari mana, perasaan ingin tahu itu timbul dan begitu mendalam. Aku ingin sekali mendengar mereka membayangkan kehidupan mereka sebelum ini kerana aku pasti mereka akan berbicara dengan emosi yang kerinduan, dan emosi itulah yang ingin aku selami.
“Deir Ez-Zor?” Tanya Khaled, mendapatkan kepastian.
“Iya. Ceritakan padaku,” balasku.
“Deir Ez-Zor sangat cantik. Ada sungai yang mengalir, yakni Sungai Euphrates. Kamu tahu sungai penting dalam tamaduan mesopotamia? Ya, sungai itulah yang menjadi asas tamadun itu. Di sana juga ada jambatan yang dibina merentangi sungai, dinamakan ”Suspension Bridge”. Jambatan itu sendiri mempunyai sejarah yang lama kerana dibina sejak penjajahan Perancis di Syria.”
Khaled mencapai telefon pintarnya dan membuka aplikasi Youtube, lantas menunjukkan padaku video pemandangan di sekitar Sungai Euphrates dan ‘Suspension Bridge”.
Sebelum berangkat ke sini, aku pernah diberitahu bahawa negara Syria kaya dengan sejarah. Ia yang dahulunya dikenali sebagai Syams merupakan tanah para nabi sejak berkurun lamanya. Kita juga belajar di sekolah dahulu, bukan?
Tentang kisah Nabi Muhammad SAW berdagang ke negeri Syams sewaktu baginda remaja. Ah, sayang sekali semuanya telah musnah sebelum sempat aku menjejak kaki di sana dan menggali segala peninggalan sejarah yang ada.
Aku meneruskan perhatianku pada video tersebut. “Cantik! Sungai dan laut selalu memberi aku ketenangan,” kataku teruja.
“Dahulu aku selalu berjoging di jambatan ini,” tambah Khaled. Ada nada sendu pada suaranya.
“Masih adakah lagi jambatan ini sekarang?” Dengan naif aku bertanya.
Khaled memandangku seketika, kemudian matanya kembali pada telefon pintar. Video tadi masih bermain di skrin.
“Jambatan ini sudah dimusnahkan sejak tahun 2013,” bicara Khaled perlahan, dengan wajah tertunduk merenung seperti semua kenangan lampau yang indah terimbas kembali satu persatu dalam memori.
Semua kenangan yang tak mungkin lagi dapat diulang. Walaupun indah, datangnya tetap membawa kesedihan dalam jiwa.
“Hidup kami dahulunya walaupun sukar dan sempit, tetapi kami bahagia,” celah Abu Muhammad.
“Ya, gaji kami kecil. Hidup kami miskin. Korupsi berleluasa. Tetapi, kami dapat berjalan di lorong-lorong dengan aman, berbual di kedai-kedai, bermain di luar rumah bersama anak-anak tanpa perlu bimbang akan ditembak sniper atau terpijak periuk api.”
“Anak-anak boleh ke sekolah, mendapat pendidikan dan menjadi harapan untuk membangunkan negara kelak. Wanita-wanita kami terpelihara tanpa ancaman. Kami bahagia,” keras dia menekankan lagi perkataan bahagia.
“Perang memusnahkan segalanya. Kami lebih rela hidup miskin daripada hidup terasing dari tanah sendiri. Kami tidak pernah menyangka revolusi yang tercetus akan membawa kami ke pengakhiran sebegini,” sambung Abu Muhammad dengan nada kesal.
Suasana menjadi diam. Aku juga diam, tidak tahu hendak merespon bagaimana. Serasa ingin memberi harapan bahawa suatu hari nanti perang akan tamat.
Mereka akan dapat pulang ke tanah air tercinta. Semua kesusahan akan berakhir dan hidup akan kembali seperti biasa. Aman dan tenteram.
Namun pujukan itu semua terhenti sekadar di kotak minda. Tak terluahkan kerana aku sedar untuk berbicara itu mudah, namun realitinya perang berlanjutan seperti tidak menampakkan tanda-tanda akan aman dalam masa terdekat.
Akhirnya, kumatikan saja kata-kata di hujung lidah.
Kuasa-kuasa besar dunia seperti bermain tarik tali sesama sendiri dalam mengendalikan isu ini, dengan kepentingan masing-masing yang hendak dijaga.
Malahan, bangsa Arab di tanah-tanah Arab sendiri tidak bersatu dan menghulurkan tangan, sangat berbeza dengan bangsa Turki yang menerima pelarian Syria dengan tangan terbuka seperti mana golongan Ansar menerima golongan Muhajirin dalam peristiwa hijrah.
Pelarian Syria di Turki dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan. Mereka dibenarkan bekerja, bersekolah dan mendapat rawatan secara percuma.
Bukan itu sahaja, kem-kem pelarian yang disediakan oleh kerajaan Turki sangat baik kondisinya, lengkap dengan segala keperluan.
Sewaktu ziarah kami ke pejabat Kementerian Bencana dan Kecemasan Turki, kami difahamkan bahawa pada Turki, menolong warga Syria itu adalah kewajipan kerana Al-Quran menyatakan,
“Sesungguhnya mukmin itu bersaudara.” (Al-Hujurat, ayat 10).
Alangkah baiknya jika setiap umat Islam dapat menghayati ayat ini dan mencontohi kemurahan hati negara Turki.
“Apabila kamu pulang nanti, ceritakan pada mereka tentang kisah kami. Ceritakan hal yang sebenar pada dunia agar mereka sedar dan berbuat sesuatu!” Akhirnya suara Khaled memecah hening. Aku memandangnya sambil mengangguk.
“InsyaAllah akan aku ceritakan pada mereka, Khaled,” jawabku bernada lemah.
Lemah, kerana cuma sekadar itu yang dapatku bantu ketika ini. Namun aku percaya takdir Tuhan yang meletakkan aku di sini pasti ada hikmahnya.
Mungkin pengalaman pertama kali menjadi sukarelawan buat warga Syria yang memerlukan adalah pintu masuk kepada sebuah perjuangan kemanusiaan yang lebih besar kelak.
Tuhan, moga Kau mudahkan.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Siti Ruqaiyah Binti Mohd Ghazi. Berasal dari Kamunting, Perak. Merupakan pekerja sukarela sambilan dalam bidang kemanusiaan.
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.