,

Islam Bukan Sekadar Agama

Sama ada kita sedar ataupun tidak, sesungguhnya Islam adalah way of life atau pun cara hidup yang syumul.

Seruan Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 208 menyatakan,

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

Ternyata Islam tidak memisahkan dunia daripada akhirat.

Dalam doa yang sering kita baca merujuk daripada surah Al-Baqarah ayat 201, kita diajar meminta pada Allah SWT agar dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat.

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Bukan hanya tertakluk demi kejayaan di daerah akhirat semata-mata.

Kerana itulah dalam Islam konsep ibadah itu cukup luas.

Selain mengutamakan Ibadat khusus berupa solat 5 waktu dan fardhu ‘ain sebagai ‘ubuddiyah pada Allah SWT.

Kita turut dituntut menjadikan tiap pekerjaan yang baik itu sebagai suatu ibadah umum dan tuntutan fardhu kifayah.

Dengan menetapkan nawaitu kita bekerja adalah kerana Allah demi menyumbang manfaat pada sekalian makhluk ciptaan-Nya di alam fana ini.

Sabda Nabi SAW cukup memotivasikan diri,

“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Hadith riwayat Ibnu Abi Dunya)

Malahan adik-adik dan anak-anak yang menuntut ‘ilmu di sekolah dan pengajian tinggi, ketahuilah anda sedang berjihad.

Kerana konsep jihad dalam Islam itu tidaklah sempit dengan hanya mengangkat senjata.

Dalam hadith riwayat Ibnu Majjah Nabi SAW menyatakan,

“Menuntut ‘ilmu adalah wajib.”

Cuma, dalam memburu kejayaan di dunia ini, pastikan tidak berciciran bekalan amal demi kejayaan di akhirat yang utama.

Dalam surah Al-A’la ayat 16-17, Allah SWT menegaskan,

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

“(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia;

وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ

Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

Sekian,

Wallahua’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Adli Abdullah yang merupakan seorang novelis OKU @TLiNGE. Antara karya beliau ialah Elektro Pengaman Sejagat (http://play.tlinge.com/audiobook/elektro-pengaman-sejagat/).

Ikuti perkembangan beliau di Facebook AdliPenulis, Facebook TLiNGEapp, Instagram AdliAbdullah.official, dan Twitter AdliAbdullah85.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.