, ,

Kegigihan Ayah Ini Menjaga Anak Down Syndrome Patut Dipuji (bahagian 2 – akhir)

Tiap hari pembantu rumah dan aku harus bergantian merangsang otaknya dengan mainan warna-warna dan kerincingan yang bingar. Khalid baru menunjukkan reaksi ketika usianya hampir lapan bulan.

Khalid baru belajar berjalan pada usia dua tahun. Bicaranya tidak pernah selancar kanak-kanak lain dan kosa katanya sangat terbatas.

Dia tidak mampu mandi dan berpakaian sendiri hingga usianya hampir sembilan tahun. Dia harus disuapi tiap waktu makan sehingga dia mampu makan sendiri beberapa bulan terakhir ini.

Yang paling menjengkelkan, sukar sekali membiasakannya buang air di bilik mandi walaupun aku dan pembantu rumah sudah mengajarnya selama lapan tahun.

Mengajar Khalid solat dan mengaji hampir tidak mungkin. Khalid hanya mampu mengikuti gerakan-gerakan solat tanpa mampu menghafal bacaannya.

Setelah beberapa lama, aku menyedari kekhilafan dan mulai dari awal semula. Mengakrabkan Khalid dengan Allah SWT dan Islam. Sesuatu yang lebih mudah dilakukan dan difahami Khalid.

“Di belakang rumah ada pohon mempelam!!!” Suara lantang kanak-kanak berseragam taman kanak-kanak itu mematikan ngeluyur benakku pada anakku Khalid. Tetapi kali ini aku tidak mampu menikmatinya tanpa merasa iri.

Iri pada ibu yang tidak menyedari besarnya nikmat Allah yang dimilikinya. Ada kegeraman dan rasa kasihan pada diri sendiri yang tiba-tiba bergolak dan menenggelamkanku. Membuat dadaku sesak dan leherku tercekik.

Aku tidak tahu apakah aku harus menyesal atau gembira ketika kanak-kanak itu akhirnya turun bersama ibunya dari bas sekolah.

Di bangku yang mereka tinggalkan kulihat burung kertas itu terpenyek. Kupungut dan kuperbaiki.

Tiba-tiba mataku kabur oleh air mata. Khalid tidak mampu melukis dengan krayon atau membuat origami. Koordinasi tangannya lemah sekali.

Dalam kepalaku yang yongyat libang-libu, burung kertas itu kuramas menjadi gumpalan.

Aku tidak sanggup lagi menahan tangis. Dengan suara tercekat kusuruh pemandu berhenti. Kusodorkan wang tambang dan turun, walaupun rumahku masih jauh.

Aku duduk di hentian yang sepi. Menarik nafas dalam-dalam dan mengeringkan air mata. Ketika aku menengadah, mataku tertambat pada papan tanda putih di seberang jalan. Sebuah masjid.

Ya Allah, inikah teguran-Mu? Aku gesit menyeberang. Segera kuambil wuduk dan solat dua rakaat. Air mataku menitis ketika kubaca ayat kedua belas dari surah LukmanSyukriminallah….

Usai mengucap salam aku tercenung. Kekalutan yang sempat menguasai sudah berjaya kukendalikan. Aku merasa kosong, tetapi damai.

Lalu satu-satu fragmen kehidupan Khalid mulai kembali ke dalam benakku. Bukan gambaran muram tentang kekurangannya, tetapi keistimewaan-keistimewaan kecil yang mengimbangi dan melengkapi hidupnya.

Khalid suka sekali pada muzik. Dia sukar menangkap dan menghafal lirik, tetapi kenikmatan yang terlukis di wajahnya ketika mendengar muzik adalah keindahan tersendiri.

Dia juga tidak pernah nakal dan usil, selalu mesra dan murah senyum. Dia tidak pernah marah dan merajuk, dan jika dimarahi, cepat kembali ceria.

Dia sangat menyayangi adik tirinya Aisyah, yang lahir empat tahun lalu. Aku dan isteri baruku bimbang juga takut kalau-kalau Khalid akan cemburu dengan kehadiran adik tirinya itu.

Tetapi dia gembira sekali membantu ibu tirinya mengurus Aisyah. Sering kudapati Khalid duduk menatap adik tirinya yang tertidur dengan ekspresi terpesona yang tidak terlukiskan.

Aisyah normal dan cerdas sekali tetapi dia menerima abang tirinya itu tanpa syarat. Kemesraan di antara kedua-duanya selalu menerbitkan rasa syukur di hatiku.

Mengurus Khalid oleh seorang bapa sepertiku memang menuntut kesabaran dan kegigihan tambahan dibandingkan mengasuh anak biasa. Tetapi Khalid memang bukan anak biasa.

Dia telah mengajarkanku makna mencintai tanpa pasrah yang hakiki. Pada zaman ketika orang memburu segala yang superlatif; tercantik, terpandai, tergesit, anakku tidak akan mampu bersaing.

Dia tidak mungkin menjadi teknologi, ekonomi atau da’i tersohor.

Tetapi apakah itu akan mengurangi cintaku kepadanya? Mengurangi kegembiraan melihat prestasi-prestasi kecilnya yang dianggap remeh dan tidak seperti orang lain yang mampu berpakaian dan makan sendiri?

Aku dan ibu tirinya tidak akan memperoleh apa-apa darinya. Kemungkinan besar Khalid akan terus bergantung pada kami. Dan setelah kami sudah tiada lagi, mungkin pada Aisyah. Tetapi kami memang tidak lagi mengharapkan apapun darinya. Kami hanya menyayanginya.

Kurapati gerbang rumah dan kuserukan salam. Sahutan riang menyambutku.

Pintu terkuak. Aisyah menghambur memelukku sementara abangnya tersenyum lebar sambil berjalan goyah di belakangnya.

“Ayah bawa apa, bawa apa?” Tanya Aisyah.

Dia menjerit kegembiraan ketika kukeluarkan sekantung mempelam ranum dari beg plastik belanjaku. Khalid tersenyum. Matanya yang kosong mulai berbinar. Mempelam adalah buah kesukaannya.

Aku masuk ke kamar untuk berganti baju setelah berpesan pada pembantu rumah supaya mencuci dan mengupaskan mempelam buat anak-anakku.

Ketika aku keluar, mereka tidak berada di meja makan. Kupanggil mereka dan kudengar sahutan dari halaman belakang.

Di hadapan sangkar besar burung serindit, Aisyah melonjak-lonjak dan tertawa melihat abangnya dengan sabar menghulurkan potongan mempelam melalui jeruji besi.

“Ayuh hijau! Jangan diam saja! Huh, ambil buah ni!” Ujar Aisyah.

Satu demi satu burung-burung serindit dalam sangkar terbang menyambar potongan mempelam dari tangan Khalid.

Aku bertasbih. Mataku pedih. Sudah lama aku mengamati keistimewaan Khalid untuk mencintai dengan keikhlasan yang bersih dari egoisme anak seusianya.

Cintanya sangat tulus pada burung-burung kesayanganku, pada ikan hiasan dan ayam serama yang aku pelihara untuk mengajar anak-anak bertanggungjawab.

Bahkan pada bunga-bunga isteriku di halaman rumah. Dia gembira mengurus semua itu, walaupun tidak pernah mendapat imbalan apapun dari kami.

Kelembutannya terhulur bahkan pada kucing-kucing liar yang sering diberinya makan atau anak-anak jiran yang kerap mendapat bahagian dari jatah kuih dan buahnya tanpa menuntut balasan apa-apa.

Aku memang tidak ada alasan untuk bersedih dan kecewa. Khalid mungkin tidak mampu membaca dan mengaji.

Tetapi perasaannya halus dan penuh kasih sayang. Dan aku sangat bersyukur atas kelebihannya.

 

> baca Kegigihan Ayah Ini Menjaga Anak Down Syndrome Patut Dipuji (bahagian 1) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syed Mahadzir Syed Ibrahim. Berasal dari Banting, Selangor. Beliau telah menghasilkan berpuluh-puluh karya dari segi cerpen, esei, puisi, skrip drama radio, skrip drama pentas dan novel.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.