, ,

Kegigihan Ayah Ini Menjaga Anak Down Syndrome Patut Dipuji (bahagian 1)

INI ada sebuah cerita. Ada seorang kanak-kanak lelaki berumur lima atau enam tahun. Dia memakai kemeja putih dan pullover kotak-kotak hijau dengan logo taman kanak-kanak di dada kiri.

Di bahunya tersandang sebuah beg merah dan di dadanya tersilang tali botol minuman. Kanak-kanak itu kelihatan comel dan manis sekali.

Sebaik masuk ke dalam bas, kanak-kanak itu terus menunjukkan hasil kerjanya kepada seorang wanita yang mungkin ibunya.

Kerjanya itu merupakan seekor burung yang sedikit kusut dan penyok.

Kanak-kanak itu juga menyanyikan sebuah lagu. Katanya lagu baru yang dipelajari di sekolah tadi.

Lihat ini keretaku yang baru,
 Cukup besar untuk ayah dan ibu,
 Beroda empat hasil buatanku,
Kita ke pekan membeli buku.

Aku yang kebetulan berada tidak jauh dari kanak-kanak tersebut tersenyum mendengar suaranya yang agak sumbang tetapi penuh semangat.

Kanak-kanak itu tersenyum padaku, kemudian kembali asyik berbual dengan ibunya dengan berbagai cerita.

Sambil itu mulutnya tidak henti-henti mengunyah donat yang barangkali dibelikan ibunya di sebuah warung di hadapan sekolah.

Ibunya menyahut sesekali dengan anggukan atau gumaman separuh tidak peduli, sementara tangannya mengibaskan lukisan krayon anaknya untuk menghalau panas.

Aku tidak menyalahkannya. Cuaca siang itu memang panas dan kesendatan jalan membuatkan udara pengap.

Melihat bungkusan yang terserak di kakinya, aku yakin dia telah menghabiskan paginya untuk berbelanja keperluan dapur. Tidak hairan dia kelihatan sangat letih, mengantuk namun begitu bersemangat mendengar cerita anaknya di sekolah hari itu.

Udara yang menyengat tidak mengalihkan perhatianku dari kanak-kanak itu. Kureguk tiap kata dan lagu yang dinyanyikannya seperti pengembara kehausan yang menemui oasis di tengah gurun.

Alangkah rindunya aku akan semua itu. Aku tidak ingin membandingkan anakku dengan kanak-kanak comel di dalam bas itu, tetapi mahu tidak mahu Khalid singgah juga ke dalam benakku dan mengganggu keselesaanku.

Aku masih ingat, setiap kali arwah isteriku membuat pemeriksaan selama mengandungkan Khalid, bidan selalu mengatakan kehamilannya normal dan bayi kami sihat.

Kerana itu aku dan arwah isteriku sama sekali tidak dapat menerima hakikat sewaktu doktor memberitahu bahawa Khalid tidak normal. Dia lahir dalam keadaan down syndrome.

Menyakitkan. Masa hadapan anakku sudah ditentukan oleh doktor hanya beberapa minit selepas kelahirannya.

Khalid tidak akan membesar seperti kanak-kanak normal yang lain dan dia tidak akan menjadi orang dewasa normal yang mampu mengurus dirinya sendiri.

Selain itu doktor juga menemui kelainan pada jantungnya yang harus diperbaiki dengan pembedahan. Ada juga gangguan mata dan tonsil. Hal yang menurut doktor biasa menimpa anak down syndrome.

Tekanan yang kualami selepas Khalid dilahirkan ditambah dengan kematian isteriku, cukup berat hingga aku harus dirawat agak lama di hospital.

Aku sangat tertekan hingga tidak mampu menjaga Khalid. Tugas menjaganya kuserahkan kepada seorang pembantu rumah sehingga aku keluar dari hospital.

Doktor memperkenalkan aku dengan seorang doktor wanita pakar rawatan anak down syndrome. Doktor wanita itu memberikan buku-buku dan brosur kepadaku.

Tetapi, semua yang kubaca semakin membuatkan aku tertekan.

Sejak doktor menyatakan bahawa isteriku positif mengandung, aku selalu berdoa dan bermimpi tentang seorang anak yang cerdas dan lincah.

Anak yang akan aku bimbing mengenal Allah dan Rasul-Nya. Yang akan aku ajari mengaji dan solat agar dia mampu mendoakan kedua-dua orang tuanya.

Dia akan kubawa menikmati keindahan alam semula jadi yang damai agar pandai bersyukur dan memiliki sifat tawaduk kepada Yang Maha Esa.

Aku akan memperkenalkannya kepada saudara-saudaranya yang yatim dan piatu agar hatinya lembut dan peka. Yang akan mencintai buku-buku seperti aku dan arwah ibunya.

Anak yang akan menjadi seorang pejuang di jalan Allah, demi kebangkitan dan kejayaan Islam seperti panglima gagah itu, Khalid bin Walid.

Kubayangkan jari mungil anakku menyusuri huruf-huruf dalam helaian mushaf al-Quran. Jika lelaki, dia pasti comel dalam jubah coklat dan ketayap mungilnya dan jika perempuan, dia pasti manis dalam jilbab kecilnya yang berbunga dan berenda.

Rasanya aku bahkan sudah mampu mendengar suaranya yang bening melantunkan ayat-ayat suci itu. Suara terindah yang pernah kudengar.

Lalu ke mana mampu kukuburkan rasa kecewaku ketika mendapati Khalid tidak mungkin mewujudkan semua impianku.

Aku hanya mampu berdoa siang dan malam memohon kekuatan.

Aku bermuhasabah diri, mengingati kembali apa yang telah aku lakukan sehingga Allah menghukumku dengan menganugerahkan aku Khalid.

Hingga suatu hari kalimat itu menohokku. Anakku adalah amanat-Nya, bukan hukuman, bukan aib. Hanya pinjaman, bukan milikku.

Apakah aku berhak menyesal jika pinjaman-Nya ternyata tidak seperti kanak-kanak lain?

Aku hanya ditugaskan menjaga dan mengasuhnya dengan cinta, kerana dia dipinjamkan Allah yang rahman dan rahim-Nya tidak pernah surut dari sisiku.

Bukan tugasku menilai apakah Khalid layak jadi anakku atau tidak. Selepas itu aku kembali menemui ketenangan.

Tetapi tidak kurang kesedihan itu kerap benar merasuk hatiku. Sangat menyakitkan.

Tiap kali kukeseorangan membawa Khalid bertemu dengan doktor dan melihat ibu dan bapa lain dengan bayi seumur Khalid, aku kembali terbenam dalam kepiluan. Entah untuk Khalid atau untuk diriku sendiri.

Bulan demi bulan berlalu. Sementara bayi lain mulai tertawa dan mengeluarkan suara-suara lucu, Khalid hanya diam. Dia memandang kosong ke hadapan.

 

> bersambung Kegigihan Ayah Ini Menjaga Anak Down Syndrome Patut Dipuji (bahagian 2 – akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syed Mahadzir Syed Ibrahim. Berasal dari Banting, Selangor. Beliau telah menghasilkan berpuluh-puluh karya dari segi cerpen, esei, puisi, skrip drama radio, skrip drama pentas dan novel.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 60.000000%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 40.000000%