,

Ibu Bapa Sanggup Berkorban Apa Saja (bahagian 2)

Angah telah hilang daripada penglihatanku. Aku melangkah menuju ke ruang menunggu. Nampaknya susunan kerusi-kerusi merah yang disediakan hampir penuh disisi oleh keluarga pelajar.

Nasib aku hanya berseorangan, tiada masalah untuk mendapatkan tempat duduk. Aku melabuhkan punggungku bersebelahan seorang wanita lingkungan 40-an dan sebelah kiriku pula seorang wanita yang lebih tua usianya. Mungkin dalam lingkungan umurnya sudah hampir 60-an.

Setelah membalas senyuman dengan kedua-dua wanita tadi, aku mengeluarkan ‘Versus’ daripada beg sandangku. Aku mengambil keputusan untuk mengkhatamkan hasil tulisan Hlovate itu sepanjang menunggu Angah.

Namun fokusku belum lagi terarah kepada bahan bacaanku kerana dihadapanku masih ada lagi suasana sibuk para petugas urus setia menguruskan sesi pendaftaran para pelajar.

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 8.20 pagi. ‘Macam mana budak-budak nie nak ber-inteview kalau datang pun dah lambat,’ ngomelku sendiri.

Aku masih asyik melihat suasana sibuk yang kini sudah menjadi semakin terkawal. Mungkin urusan pendaftaran sudah hampir tamat masanya.

Mataku kembali pada tulisan pada helaian muka surat yang sudahku tanda siap-siap. Tiba-tiba telingaku menangkap perbualan yang aku kira ada unsur-unsur perbincangan.

Seorang lelaki yang berumur awal 40-an sedang berdiri di hadapan kauter pendaftaran. Gayanya sekejap-sekejap menggaru kepalanya, sekejap- sekejap terdiam, sekejap-sekejap mengangguk-angguk kepala mendengar bicara para petugas di kaunter.

Kemudian, lelaki itu lalu di hadapan barisan kerusi di mana aku duduk. Jejak si ayah pada lantai meninggalkan kesan rumput-rumput kering.

Sisa rumput itu datangnya daripada lekatan rumput yang ada pada seluar dan kasut but getah yang dipakai. Dia terus berjalan ke hujung dinding ruangan ini.

Tangannya memegang telefon bimbit. Jarinya kelihatan laju menekan butang keypad pada telefon itu dan membuat panggilan.

Riak mukanya kelihatan risau, lagaknya seperti ada sedikit terdesak. Percakapannya agak rendah dan aku tidak dapat menangkap sebarang butir percakapananya. Setelah tamat perbualannya melalui telefon, lelaki itu menghampiri seorang lelaki di hadapanku.

“Bang, tumpang tanya. Pendaftaran hari ni kena bawa 180 USD ke?” Si Ayah yang memakai baju uniform majlis pembandaran berwarna oren memulakan perbualan sambil menghulurkan tangan bersalaman.

Dia merangkan bahawa dia merupakan bapa kepada salah seorang pelajar yang terlibat hari ini.

“Ya bang. Katanya tu syarat untuk ke temuduga hari ni,” balas lelaki itu sambal tangannya menyambut salam dihulur.

“Oh begitu. Saya ingat 180 USD tu dibayar bila dah dapat tawaran ke universiti kat Indonesia.” Terang Si Ayah.

“Duit 180USD tu sebenarnya nak digunakan untuk urusan hari ini bang.” Jawab lelaki itu.

“Bang, harga 180 USD dalam duit Malaysia berapa bang,” soal Si Ayah lagi. Namun lelaki itu kurang pasti nilai sebenarnya lalu dijawab oleh wanita yang duduk di sebelah kananku.

“Lebih kurang RM 588, encik.”

“Banyaknya. Mana nak dapat duit banyak tu sekarang ni,” balas sang ayah dengan nada yang seakan berbisik. Mukanya kelihatan susah hati namun tetap digagahkan dengan senyuman. Aku memandang saja.

“Memang banyak encik. Itu baru tukarnya. Belum lagi ‘charge’ tambahan daripada “money changer’.

Mau-mau naik ke RM 590 lebih.” Tambah wanita itu.

“Ye ke ? Kak, tau tak tempat tukar duit dekat-dekat sini?” Tanya Si Ayah lagi.

“Maaflah… akak tak tukar kat sini. Akak tukar kat rumah akak je. Akak duk Penang.” Balas wanita itu sambil bersulam senyuman.

“Dik… tau kat mana tempat tukar duit dekat-dekat sini?” Tanya sang ayah kepadaku.

“Tak tau la pulak saya area ni. Saya duduk Muar.” Balasku serba salah. Mak cik di sebelah kiriku juga turut menggangguk.

Mungkin sebagai memberikan jawapan awal. Malah tau kalau-kalau soalan yang sama turut diajukan kepadanaya.

“Tadi diorang cakap, kalau tak buat bayaran pada pendaftaran hari ni, anak saya tak boleh masuk interview. Saya suruh anak saya datang je interview. Nasib pegawai kasi juga anak saya masuk dewan taklimat. Tu yang anak saya call suruh saya datang. Saya berbincang dengan pegawai tadi. Mana tau kalau-kalau saya boleh bayar separuh masa interview dan separuh lagi bila dah dapat. Tapi tak boleh. Mesti bayar ‘full’. Bukan apa, duitnya besar sangat Nak bayar selepuk memang tak mampu. Gaji banyak mana la sangat. Anak saya ni anak sulung, dengan adik-adik dia lagi, rumah lagi, makan lagi. Nak pinjam orang, sampai bila hidup dengan bantuan orang. InsyaAllah saya masih kuat bekerja. Lagi-lagi untuk pelajaran anak-anak saya, InsyaAllah, Allah akan bantu saya. Tapi tu la, andai kata tak terpilih, duit tu ‘burn’ je. Kalau dah burn tu mesti rasa macam hangus macam tu je padahal duit tu boleh guna buat belanja barang rumah. Tak tau lah pihak bertugas nak buat macam mana. Katanya nak bincang dengan orang atas diorang dulu macam mana nak ‘settle’kan benda ni,” luah sang ayah.

Aku diam mendengar. Sekadar mampu mengangguk-angguk kepala tanda faham. Kedua-dua wanita di sebelahku hanya tunduk mendengar.

Kelihatan raut wajah mereka juga sayu. Mungkin saja lebih memahami isi tersirat luahan si ayah.

Seketika kemudian seorang lelaki berkot hitam menjemput sang ayah masuk ke dalam sebuah bilik. Berlalulah sang ayah dengan senyuman penuh harapan.

 

> bersambung Ibu Bapa Sanggup Berkorban Apa Saja (bahagian 3-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Hidayah Jamahiri (nama pena: Feb Ramadhan)

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%