, ,

Munakahat Cinta (bahagian 2-akhir)

“Buktinya pada zaman dahulu wanita tidak mendapat hak pendidikan. Mereka hanyalah hamba kepada rumah dan dapur. Wanita yang terjun dalam bidang pendidikan akan dihukum.”

“Awak kata wanita lemah sebab itu aja. Untuk pengetahuan awak, Universiti pertama yang mempunyai sistem pendidikan seperti zaman sekarang diasaskan oleh Fatimah Al-Fihri. Seorang wanita Maghribi tahu. Tanpa universiti ini, tiadalah perintis yang mengembangkan sistem universiti ini. Awak tahu apa?” Fakhitah melepaskan serangan terakhir.

Ayyash terdiam memanjang mendengar hujah itu. Serasa angin kekalahan bertiup kencang dan merasak sanubarinya.

Kesabarannya sudah hilang lantas dia bergerak ke belakang kerusi Fakhitah yang sedang duduk dan menikmati bekal ayam masak merah.

Kerusinya ditarik dari belakang sehingga Fakhitah terjatuh menelentang berserta bekal yang dibawanya. Pakaiannya kotor dengan minyak-minyak sambal ayam yang tumpah mengena baju birunya.

Fakhitah bangkit menyapu-nyapu kotoran yang melekit. Awan air matanya mulai bocor. Dia menangis kuat sehingga kelas menjadi riuh randah.

“Apa kau buat ini??”

Said yang tersedar akan perbuatan itu mencekik kolar Ayyash. Sedas tumbukan dihadiahkan tepat mengena tulang pipinya.

“Aduh.” Ayyash mengendus sakit.

“Tingg”

Aku tersedar lagi dari lamunan kerana terganggu oleh bunyi genta notifikasi muka buku. Memang aku ada membuat Lihat Dulu pada akaun Fakhitah. Apa sahaja yang dimuat-naik olehnya akan diberitahu.

‘Kali ini aku akan mesej Fakhitah tentang hal sebenar,’ getus hatiku.

Ini petanda baik bahawa dia masih wujud di alam maya. Dia menaik-muat satu gambarnya dan apabila aku menekan gambar tersebut, kelihatan gambar majlis pernikahannya bersama Said diadakan di Masjid Putrajaya.

Mataku bundar ke hadapan dan dadaku serasa berdegup kencang. Laksana gunung berapi yang ingin meletus.

‘Tidakkkkk.’

Hampir sebulan aku mengurung diri dalam bilik. Memunggah harapan palsuku yang berkecaian.

Apakah aku akan terus hidup membujang dan menua renta. Apakah separuh jiwaku terus menghilang dan tidak ada titik temunya.

“Sudahlah tu Ayyash. Move on sahajalah. Bunga bukan sekuntum,” nasihat Wafiyuddin yang terkuak di pintu bilik.

“Ana tahu. Tapi ana ini kumbang yang sudah hilang sayapnya.”

“Alahai, jiwangnya pulak enta nih. Sudahlah yang berlalu itu, biarkan berlalu. Lagi faktor umur ke tak penting. Yang penting adalah ilmu. Mesti ada perempuan lain yang akan jatuh hati nanti jika enta berilmu.”

Wafiyuddin melabuhkan punggungnya di atas katil sambil mengusap-ngusap bahu teman serumahnya. Ayyash yang kelihatan tidak bermaya hanya mengangguk-angguk tanda setuju.

“Selepas Maghrib ada kelas Munakahat. Ilmu tentang rumah tangga. Mari pergi,” tambah Wafiyuddin lagi.

“Nikah menjadi sunat untuk orang yang menginginkannya,” kata Syeikh Abi Syuja’ di dalam masjid.

“Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w berkata, “Wahai pemuda! Sesiapa berkemampuan, maka berkahwinlah. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menundukkan pandangan, dan memelihara kehormatan diri. Sesiapa yang tidak mampu, berpuasalah. Sesungguhnya puasa itu adalah pengikat nafsu.” (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Aku tahu jodoh itu rahsia Allah SWT. Bukan milikku lagi kini hatta dipaksa sekalipun. Mungkin Dia ingin memberikan aku jodoh yang lebih baik daripada Fakhitah.

Senja hampir berlabuh. Sesuai dengan nama negaranya, Maghribi yang bererti tempat terbenamnya Sang Matahari.

Seperti hidup ini, setiap yang fajar pasti ada senjanya. Sambil memeluk buku-buku rujukan tesis berkenaan Teknik Penerjemahan Bahasa Arab, aku berjalan landas menuju ke teratak.

Seorang perempuan yang turut mengendong buku jalan melawan arah di lorong yang kurang luwes.

Sebuah kereta kuda, dinaiki oleh sepasang suami isteri yang sedang angau bercinta, kebetulan melalui lorong kami dan hampir-hampir sahaja melanggari.

Kami mengelak ke bahu jalan sehingga buku-buku kami terjatuh berselerak di lantai. Kami berdua terpana dan kelam kabut mengutip buku masing-masing.

Tak kusedari, aku terambil buku milik gadis bertudung linen itu.

“Ini buku perempuan tadi.”

Di rumah, aku menyimak buku berupa novel itu. Setelahnya aku mengasyiki  butiran novelis.

     Sayyidah Al-Hurra. Seorang novelis muda yang sedang belajar di Universiti Tetouan, Mahgribi. Novel bertajuk ‘Munakahat Cinta’ ini adalah karya sulung beliau dengan harapan maknanya sampai tepat ke dalam hati pembaca.

Dalam satu hari aku menghabiskan bacaan dan lekas jua aku menangkap gambar butiran penulis tersebut dan menghantar mesej kepada ibuku.

Ayyash : Umi, Ayyash rasa sudah jumpa orangnya. Doakan Allah satukan hati kami berdua.

Selang beberapa minit ibuku membalas.

Umi : Umi doakan yang terbaik untuk Ayyash.

 

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.