Aku pernah tegap dan tegang,
Tika itu bersusun pagar putih tanpa ada satu pun tumbang.
Aku pernah lincah dan cergas,
Tika itu lompat jua gigal tiada sengal,
Tiada sukar kerna rakaat solat tiada raguan.
Kakiku mendaki ke puncak,
Kepuasan dan pangkat menjadi sasaran.
Sehingga aku lupa aku sedang mencipta sejarah,
Sejarah hidupku yang bakalku kenang,
Saat mata berkelabuan dan ingatan lama lebih kuat.
Kian jam dan saat berganti dan berulang,
Namun masa tidak pernah berpatah pulang.
Jiwaku kebal dari dimamah masa,
Namun tubuhku menjadi pak turut,
Pada lumrah fisiologi yang menyusut.
Ingatanku melekat pada satu jangka masa kenangan,
Segala yang kini makin pudar dan tidak kekal.
Mobiliti jasadku jua berasakan berat,
Dek sendi yang ketat bukan saja kehausan,
Namun aku gigih dengan kudrat yang tinggal.
Mereka makin jauh daripadaku,
Suara tinggi acap kali menyinggah.
Mungkin aku menjadi beban,
Mungkin aku jua menjadi penghalang,
Kepada kebebasan dan kejayaan mereka.
Hari-hariku kianku hitung,
Bukan menanti hari untuk pergi.
Namun hariku untuk kembali,
Dengan bekalan yang tidak seberapa,
Namun aku tahu aku akan tetap ke Sana.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nurul Husna Binti Baharin. Berasal dari Kepong, Kuala Lumpur.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.