Peluang merupakan suatu situasi yang akan dapat memberikan satu keuntungan kepada diri.
Keuntungan pada diri yang dimaksudkan adalah seperti peningkatan sesuatu kemahiran atau bakat, percambahan minda yang lebih terbuka dan pelbagai lagi yang mampu memberikan sesuatu impak positif kepada diri.
Jika dikaitkan dengan perniagaan iaitu dalam analisis SWOT, salah seorang tokoh utamanya iaitu Albert Humphrey S. Menariknya tentang analisis ini ialah satu daripada perbahasan analisis tersebut ialah peluang (Opportunity).
Peluang ini diibaratkan sebagai faktor luar yang akan memberikan impak positif terhadap hasil perniagaan sama ada daripada segi pemasaran kawasan produk baharu mahupun peningkatan keuntungan. Hal-hal inilah yang dikaitkan dengan peluang.
Meskipun demikian, ramai dalam kalangan kita yang melepaskan peluang-peluang tersebut. Perkara yang lebih menyedihkan ketika mereka mula meratapi peluang itu seolah-olah peluang itu hanya sekali seumur hidup.
Memang benar ada dalam kalangan kita yang sering dimomokkan dengan kata-kata peluang hanya sekali, ambil dan jadikannya yang terbaik.
Bagi mereka yang sering dimotivasikan dengan kata-kata ini memang akan mengambilnya sebagai satu perkara keemasan kerana bagi mereka setiap peluang itulah perkara yang mampu meningkatkan kualiti yang mereka inginkan sama ada dalam aspek kehidupan atau pengasahan bakat.
Namun, bagi mereka yang menyesali peluang tersebut janganlah terus diratapi tanpa sebarang tindakan. Hal ini kerana bagi saya terlepas peluang bukan bermakna gagal. Namun ambil iktibar untuk cipta peluang baharu.
Sedikit perkongsian daripada rakan satu universiti saya. Dia merupakan pelajar tahun satu sama seperti saya. Berbekalkan harapan daripada ibu bapanya untuk melihat anaknya mencipta nama dengan melangkahkan kaki ke universiti akhirnya menjadi realiti.
Walaubagaimanpun, selepas hampir 2 bulan dia di universiti, satu perkara mengejutkan terjadi. Impiannya untuk menjadi penguasa penjara selangkah kehadapan apabila dia ditawarkan oleh SPA 8 dengan tiga tawaran dan salah satunya ialah penguasa penjara.
Hatinya gembira namun bercampur hiba kerana diminta untuk melaporkan diri pada bulan tersebut juga sedangkan dia sudah berada di universiti dan sudah membuat perjanjian dengan biasiswa negeri asalnya untuk menghabiskan pengajiannya.
Namun, selepas bermuhasabah diri, kawan saya itu memilih untuk meneruskan pengajiannya.
Ramai dalam kalangan kita pasti akan mengatakan bahawa, “Aik, apa tidak bijaknya kawan kamu itu tidak mengambil peluang keemasan. Ramai dalam kalangan kita sekarang ni menganggur. Masuk universiti tapi akhirnya menganggur. Sudah dapat tawaran kerja lebih baik ambil daripada tolak tawaran itu.”
Meskipun ramai dalam kalangan masyarakat hari ini beranggapan demikian walaupun baginya memang peluang mendapat tawaran kerja tersebut bukan mudah untuk terjadi dua kali dan bukan mudah untuk diperolehi lagi.
Namun, bagi dirinya tanggungjawab sebagai seorang muslim untuk mengembangkan pengetahuan tentang rahsia-rahsia ciptaan Allah lebih diutamakan.
Hal ini kerana bagi beliau, ilmu yang dia ada sekarang belum cukup untuk berkongsi dengan yang orang lain.
Dia memilih untuk melanjutkan pelajaran secara tidak langsung membolehkan dia membantu umat Islam pada masa akan datang dengan input tambahan yang diperolehinya daripada universiti.
Akhirnya dia mencipta peluang untuk dirinya melalui penyertaan program-program sebagai ahli jawatankuasa tertinggi di universiti dan penyertaan dalam pelbagai aktiviti sukan.
Hal ini secara tidak langsung menambahkan kemahirannya dalam bidang pengurusan dan meningkatkan kemahiran bakatnya yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada dirinya kelak setelah menamatkan pengajiannya.
Itulah sedikit perkongsian yang dapat diutarakan. Jika diperhatikan peluang yang diambil sahabat muda ini yang lebih mengutamakan ilmu terlebih dahulu barulah kerjaya adalah satu risiko yang sangat berat.
Namun, jika diperhatikan semula tindakan pemilihan sahabat muda ini dengan menolak peluang kerjaya itu adalah kerana bagi dirinya masih belum bersedia menempuhi alam kerjaya tersebut. Hal ini disebabkan halangan-halangan lain seperti yang telah dinyatakan.
Namun, mungkinkah peluang ini hanya akan muncul sekali sahaja? Mungkin benar mungkin juga tidak. Apa yang pasti berani mengambil risiko terhadap pilihan kamu sendiri.
Kalau dinilai melalui golongan yang berjaya di dunia misalnya Thomas Alva Edison yang dahulunya gagal mengambil peluang sebaiknya ketika belajar di sekolah disebabkan kekurangan pada dirinya iaitu pekak dan dungu namun akhirnya mencipta peluang baharu dalam hidupnya secara keseluruhan dengan penciptaan mentol.
Begitu juga dengan kisah para sahabat seperti Umar Al-Khattab dan Bilal bin Rabah yang melepaskan peluang untuk berhibur di dunia semata-mata dengan mengambil inisiatif untuk mengabdikan diri secara total kepada yang Maha Esa dan melaksanakan tanggungjawab muslim kepada pembangunan masyarakat semata-mata untuk mendapat redha daripada Allah SWT.
Oleh itu, percayalah bahawa peluang sentiasa hadir dalam hidup kita. Namun untuk menjadi manusia berjaya usah ditunggu peluang itu tetapi mulakan langkah untuk menciptanya.
Setiap kesilapan melepaskan peluang-peluang yang pernah dihidangkan kepada anda suatu ketika dahulu jadikan ia sebagai satu pengajaran untuk dimuhasabah.
Namun usahlah diratapi terus menerus. Ambil itu sebagai satu kekuatan untuk membangunkan diri yang lebih baik di masa hadapan. Peluang-peluang yang dilepaskan ingat sebagai kekuatan supaya tidak diulangi pada masa hadapan.
Fikirkan iktibar tersebut untuk cipta peluang pada masa hadapan kerana peluang sentiasa ada dan hanya kita yang perlu mulakannya.
Konklusinya, jadilah manusia yang sentiasa mencipta peluang bukan meratapi sahaja pemergian peluang itu tanpa melakukan tindakan pembetulan.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Muhammad Nur Firdaus bin Mohd Zin dan berasal dari Johor Bahru Johor. Sedang menuntut di Universiti Malaysia Sabah jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Sejarah) tahun 1. Ikuti perkembangan beliau melalui https://www.facebook.com/Projek-Teluk-Layang-1302260656495481/.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.