,

Kejayaan Pasti Datang, Tetapi Jika Gagal…

Setiap kita inginkan kejayaan. Namun di sebalik sebuah kejayaan, pasti perlu dahulu melalui kepayahan dan banyak cabaran.

Seperti kata-kata popular, sebuah kejayaan bermula dengan langkah pertama.

Namun bagaimana untuk kita menjadi orang yang berjaya dalam apa yang kita juangkan?

Tetapkan niat dan matlamat

Daripada Umar bin al-Khattab RA, aku mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”. (Hadith riwayat al-Bukhari)

Niat itu sangat penting. Menjadi kayu ukur dan matlamat untuk tindakan kita seterusnya.

Malahan niat itu juga yang akan menentukan sama ada amalan kita diterima Allah atau tidak.

Kita perlu memperbetulkan serta memperbaiki niat dalam setiap amalan.

Antara tips untuk berjaya:

  • Jaga hubungan dengan Tuhan dan jaga hubungan dengan manusia.
  • Tahu kelebihan dan potensi diri. Gunakan dengan baik.
  • Susun perancangan. Tetapkan matlamat dan misi dalam hidup. Dapat membezakan antara keperluan dan kehendak.
  • Rajin dan jangan ambil mudah dengan setiap peluang.
  • Fokus dan jangan bimbang pandangan negatif orang lain.
  • Kuatkan hati. Bukan senang nak senang.
  • Tambah ilmu untuk tambah keyakinan diri kita. Cari juga ilmu baru.
  • Berkongsi ilmu dan idea dengan orang lain.
  • Menghormati orang lain dengan menghormati masa (berdisplin).
  • Selalu mendampingi mereka yang positif, kekalkan motivasi dalam diri.
  • Kemudian berserah dan berdoalah selalu.

Tawakal

Beranilah untuk menghadapi hari depan. Berserah itu perintah Allah. Berusaha juga perintah Allah.

Dia memang telah menyediakan rezeki untuk kita semua, namun kita semua perlu berusaha untuk mendapatkannya.

“Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali-‘Imran Ayat 159)

Jika gagal

Kuatkanlah diri ketika dalam keadaan susah dan senang. Allah akan sentiasa membantu. Asalkan kita tidak berputus asa.

Kita bukan gagal, kita cuba belum berjaya.

Teruskan usaha, mungkin jika bukan sekarang, akan datang tetap menjadi milik kita.

Sabarlah, kerana kemenangan akan menjadi milik mereka yang bersabar.

“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.” (Surah Az Zumar: ayat 53)

Teruskan berusaha dan berdoa

“Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah Al-Baqarah: ayat 214)

Doa dijawab dengan tiga cara, sama ada waktu sekarang, akan datang atau dengan perkara lebih baik.

Namun sesuatu yang kita suka, tak semestinya baik untuk kita.

Dia lebih Maha Mengetahui. Apapun, usaha dan doa tetap perlu diteruskan.

Buat yang sudah berjaya, itu adalah rezeki dan amanah yang harus dijaga. Lagi besar kelebihan yang kita ada, lagi besar tanggungjawab yang dibawa.

Jadi pelihara baik-baik.

Untuk yang sedang mengejar cita-cita, teruskan perjuangan! Jangan cepat mengaku kalah, dan jangan pula terlalu menekan diri.

Bersederhana. Teruskan usaha di samping menjaga ibadah. Seimbangkan antara dunia dan akhirat.

Moga terus istiqamah. Yakinlah, kejayaan tetap akan datang untuk mereka yang berusaha.

Jadi jom, kita doakan agar kejayaan menjadi milik kita bersama!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.