, ,

Tetamu Juga Ada Adab Yang Perlu Dipraktikkan

Musim cuti tiba lagi! Bila sebut tentang cuti sekolah, pasti terbayang lambakan jemputan walimah, nasi minyak, bunga telur dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi jika terlibat dengan kerja kenduri di kampung, meriahnya tak terbayangkan!

Sampaikan tak menang tangan untuk memenuhi kesemuanya, tak kira di bandar atau di desa.

Dalam suasana keterujaan maksima memenuhi jemputan walimah, jangan lupa – kita sebagai tetamu undangan walimah juga ada tanggungjawab yang harus dipraktik.

Yakni, dalam apa jua perkara yang kita lakukan sekalipun, jangan lupa untuk mengutamakan adab.

Begitu juga ketika menghadiri undangan walimah, ada adab-adab yang kita harus perhalusi agar kemurnian syariat bersulam budaya timur di kalangan generasi kita terjaga sebaiknya.

Adab #1

Apa saja yang kita buat, kita harus tetapkan niat dan matlamat. Dalam soal memenuhi undangan walimah, jangan lupa untuk pastikan niat kita lurus dan tulus.

Jika sebelum ini niat kita lebih kepada mengisi perut, sibuk berswafoto dengan pengantin atau melaram dengan fesyen terkini, apa kata jika selepas ini kita tajdid niat.

Memenuhi undangan sebenarnya lebih dari sekadar makan free, bahkan sebagai tanda kita memenuhi hak sesama Muslim khususnya.

Ia juga sebagai tanda memuliakan tuan rumah untuk turut berkongsi kegembiraan yang sedang diraikan mereka.

Adab #2

Bila kenduri, kita akan lihat 1001 warna-warni tetamu yang hadir dari hujung rambut atau hujung benang tudung hinggalah ke hujung kasut.

Tak salah melaram, namun ada had-had yang perlu kita patuhi sebagai Muslim.

Buat lelaki mahupun perempuan, berfesyen retro atau millennium sekalipun, dengan segala hormatnya sila pastikan busana yang dikenakan itu sopan, longgar dan menutup aurat.

Dalam erti kata lain, pilihlah busana yang patuh syariah kerana itu anjuran yang sebaiknya dalam Islam.

Adab #3

Sebaik sahaja sepasang kaki kita menjejak tempat kenduri, INGAT – jangan gopoh lagi gelojoh mengaut nasi minyak lauk ayam masak merah bagai esok tiada lagi untukmu.

Sebaiknya, cuba jejaki di mana tuan rumah untuk bersalaman, lalu bermesra seadanya.

Jika tetamu ramai berbaris untuk bersalaman dengan tuan rumah, kita pula tak perlu berlama-lama. Cukup sekadar berbasa-basi seketika.

Adab #4

Makan. Ini merupakan acara yang paling ditunggu-tunggu oleh para hadirin. Tak sah datang tanpa menjamah juadah.

Namun agak menyedihkan apabila berkilo-kilo saki-baki makanan yang tak habis dimakan terbuang sia-sia sebaik selesai kenduri.

Ini bukan baru berlaku malah tabiat buruk ini seakan diwarisi zaman-berzaman di ceruk rantau mana sekalipun.

Maka, tanggungjawab kita sebagai tetamu yang budiman untuk mengambil lauk-pauk sekadar perlu dan mampu dikunyah.

Jangan bila tengok 10 jenis lauk terhidang, 10 jenis juga kita rembat.

Fikirkanlah ramai lagi tetamu beratur mengambil juadah, alih-alih lauk lesap sekelip mata akibat nafsu tamak sebahagian daripada kita.

Cubalah untuk bersederhana. Jangan biarkan syaitan bersorak sambil berzumba melihat pembaziran demi pembaziran.

Kita datang sebagai tetamu untuk menjamu selera bukan melahap dan akhirnya tersandar bagai ular sawa kekenyangan.

Membazir itu amalan syaitan. Kita bukan kawan syaitan kan?

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Israa : 27)

Adab #5

Terkadang mata kita terdorong untuk mencari cacat cela majlis. Lisan pula terlepas cerita kekurangan dan keburukan majlis.

Terkadang lauk-pauk terkurang rasa, tak kena selera. Terkadang kita condemn warna pelamin tak sepadan busana pengantin, terkadang tuan rumah tak sediakan goodies – kita label kedekut haji bakhil.

Ada saja yang tak kena di mata. Siap pakat bergosip dengan ‘geng bawang’, kemudian tularkan pula di media sosial.

Kalau diikutkan, tuan rumah mana yang tidak impikan perjalanan majlisnya lancar lagi sempurna sesuai dengan perancangan.

Namun, sehebat dan seteliti mana pun strategi, yang menentukan ‘kemenjadiannya’ tetap Allah juga.

Jadi, tak perlulah mengata majlis orang. Tak perlu susah-susah lakar carta banding beza majlis A dan majlis B. Tak perlu tularkan di media sosial segala cela itu ini.

Beruntung dan bersyukurlah tuan rumah masih ingat kita dan jemput ke majlisnya.

What goes around will comes around. Hari ini kita mengutuk majlis orang, majlis kita esok lusa belum tentu lagi.

Adab #6

Selalunya kita menerima undangan, namun kita tak tahu suasana dan atur cara majlis tersebut. Bila sudah tiba di majlis, baru kita sedari banyak perkara mungkar berlaku di dalamnya.

Tak perlulah kita curi-curi ambil gambar kemungkaran itu, tularkan di media sosial sambil berlagak holier-than-thou. Tak perlu itu semua.

Cara terbaik, minta izinlah untuk berundur diri daripada tuan rumah dan berikan alasan berhemah tanpa mengecilkan hati mereka.

Adab #7

Bila sudah habis makan sehingga menjilat jari, dan kau lihat para tetamu terkial-kial mencari seat kosong sambil memimpin anak, sebelah tangan pula memegang pinggan nasi – apakah maksudnya?

Tak lain tak bukan, kau harus segerakan urusan, tak perlu berlama-lamaan sampai dua tiga kali sendawa.

Jangan buat-buat tak faham, para tetamu datang berpusu-pusu, maka kita seharusnya peka dengan situasi itu.

Lebih molek lagi jika kita tolong buang sisa makanan di tempat pembuangan, kemudian susun ke tepi.

Petugas kenduri memang ada, tapi tak salah kalau kita ringankan tulang mempercepatkan dan mempermudahkan urusan semua pihak.

Siapa tahu di suatu masa lain urusan kita pula dipermudahkan dengan izin Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim, lihat juga hadis ke-36, Hadis Arba’in An-Nawawi)

Adab #8

Memberi hadiah perkahwinan buat pasangan mempelai sudah lama menjadi tradisi di kalangan masyarakat kita.

Malah jika tiada hadiah, tradisi ‘salam-kaut’ juga menjadi amalan biasa di kalangan kita. Kedua-dua tradisi ini tiada kaitan langsung dalam tuntutan agama Islam namun ia sudah menjadi budaya zaman berzaman.

Meski tuan rumah tidak pernah meminta hadiah, apa lagi menetapkan jumlah, anggaplah ianya sebagai sagu hati seikhlas kita tanda meraikan kegembiraan dan penghargaan di hari bahagia mereka.

Jika tiada, cukuplah doa buat pasangan pengantin dan ucapan terima kasih buat tuan rumah.

Bukankah menggembirakan orang lain juga termasuk satu sunnah?

Sabda Rasulullah s.a.w., “Pekerjaan yang paling dicintai Allah adalah menggembirakan seorang Muslim.” (Hadis Riwayat Thabrani, Mu’jam al-Kabir (no. 13646))

Penutup

Ini hanya merupakan sebahagian kecil adab-adab menghadiri undangan yang terkadang terlepas pandang.

Banyak aspek lagi yang harus dititikberatkan, bukan untuk menyusahkan bahkan ia mencerminkan keperibadian sejati seorang Muslim beridentitikan budaya timur.

Apa yang biasa, betulkan. Apa yang betul, biasakan.

 

 Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.