, ,

Anak Tanpa Nikah?

Ibu Tanpa Nikah (bahagian 1)

Satu nama yang menjadi persoalan ramai.

“Kenapa tanpa nikah?”

“Eh, anak dia tu sah ke?”

“Ish, kenapa lah boleh dapat title tu?”

Rata-rata ia sudah menjadi makanan harian, menjadi perbualan orang yang kebanyakan tidak mengetahui punca sebenar masalah itu berlaku.

Menghukum? Ya, boleh dikatakan ramai di antara kita lebih suka menghukum sebelum mengetahui kisah sebenar. Manusia lebih suka mendengar cerita daripada mulut orang lain, jauh simpang untuk bertanyakan keadaan sebenar kepada tuan empunya badan.

Istilah ini sentiasa dipamerkan, dihidangkan seenaknya di mata seorang pelajar tahun akhir dan juga pelajar praktikal di salah sebuah hospital di Malaysia.

Nama diberi oleh ibu dan ayahnya, dahulu, kini dan insya Allah selamanya Fatayatus Sa’idah yang bermaksud remaja yang bahagia, diberi peluang keemasan menjalani latihan industri di hospital tersebut.

**********

Ditugaskan di bawah Unit Hal Ehwal Islam dan juga di bawah kelolaan Ustaz Hafiz yang memegang amanah sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29 di hospital tersebut.

Pengalaman menjalani latihan di bawah unit yang sangat penting ini, lebih banyak mengajar kepada penerimaan kita kepada salah dan silap manusia, melalui cara bagaimana kita berhadapan dengan mangsa-mangsa ‘ibu tanpa nikah’.

Kalimah ‘ibu tanpa nikah’ sentiasa menjadi santapan harian bagi pelajar praktikal di bawah Unit Hal Ehwal Islam untuk mengendalikan kes ini, mengisi borang, serta menulis laporan berkenaan hubungan terlarang di antara mangsa atau nama lain pesakit, sama ada ia dilakukan secara paksaan atau sukarela daripada pesakit sendiri.

Bagi Fatayatus Sa’idah, dia lebih banyak berhadapan dengan pesakit ‘ibu tanpa nikah’ yang majoritinya melakukan hubungan terlarang secara sukarela atau istilah lain suka sama suka tanpa sebarang paksaan.

**********

Seperti kebiasaan, buat pertama kalinya menghadiri sesi menemu bual pesakit, itulah saat yang sangat mendebarkan. Terdapat banyak spekulasi negatif datang menyapa untuk mengurangkan keyakinan dan keupayaan Fatayatus Sa’idah untuk berhadapan dengan pelbagai ragam pesakit.

Bagi dirinya sebagai seorang pelajar, sangat sukar untuk menerima setiap butiran maklumat mengenai pesakit dan juga sebab utama terjadinya kes tersebut.

Kebanyakan daripada mereka bercerita secara bersahaja seolah-olah bersembang bersama rakan sekerja di kedai kopi dan menganggap kes ini tidak serius, kes yang melibatkan maruah mereka, keluarga serta masyarakat sekeliling.

Sudah semestinya, jauh di sudut hati kecilnya sentiasa berbisik perlahan, “Mengapa sanggup memalukan diri sendiri serta keluarga?” Cetus hatinya seolah-olah keliru dan berasa sangat marah dengan perlakuan pesakit yang memandang remeh pada kes seperti ini.

Sangatlah mencabar emosi dan jua mental untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh penyelia industri mereka, Ustaz Hafiz.

Melalui tugas dan amanah ini, secara automatiknya, Fatayatus Sa’idah perlu belajar menjadi seseorang yang sentiasa memandang ke hadapan dan berfikiran ke arah yang positif serta mampu mengawal emosi seperti seorang kaunselor yang mampu menyentuh hati-hati insan yang sentiasa dahagakan motivasi dan semangat untuk menghadapi kehidupan seharian.

**********

Segala maklumat dan respon daripada pesakit sangatlah menguji hati seorang pemangkin semangat serta motivasi kepada insan lain. Antara respon pesakit,

“Sebenarnya, sudah lebih 10 kali saya berhubungan dengan lelaki dan kadang-kadang bertukar lelaki.”

“Saya mempunyai masalah keluarga yang sangat rumit sehingga saya rasa diabaikan keluarga, ibu dan ayah serta adik-beradik tidak mengendahkan apa yang saya lakukan seharian.”

“Saya pernah menjadi tempat pemuas nafsu abang angkat saya dan daripada kejadian itu saya merasa ketagihan akan layanan manja sehingga hari ini saya menjalinkan hubungan terlarang dengan teman lelaki.”

Remuk, sebak, sedih. Bercampur baur perasaan Fatayatus Sa’idah apabila mengetahui secara sendirinya punca utama yang kebanyakan daripada mereka berkelakuan seperti seseorang yang sangat pasrah terhadap apa yang terjadi pada kehidupan mereka, seolah-olah tiada lagi jalan cahaya untuk lebih berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Keluarga adalah aspek penting dalam pembinaan seorang insan. Baginya, manusia tersangatlah memerlukan sokongan dan dorongan daripada keluarga untuk menjalani kehidupan ini yang kadang-kala ujian hidup datang menyapa seolah-olah ingin menguji hati yang tidak mampu menghadapi ujian dunia dengan secekalnya.

Keluarga adalah kekuatan utama serta inspirasi bagi seseorang untuk meraih sesuatu kejayaan dalam arena kehidupan duniawi dan ukhrawi.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Siti Sarah Shamsuddin. Berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%