Ujian merupakan dugaan yang Allah S.W.T turunkan untuk menguji sejauh mana kekuatan iman hamba-hambaNya.
Ujian diturunkan dalam dua jenis sama ada kesusahan ataupun kesenangan.
Contoh bagi kesusahan adalah seperti sakit, ditimpa musibah dan sebagainya manakala bagi bentuk kesenangan pula seperti kekayaan, dikurniakan anak yang cerdik dan lain-lain.
Sememangnya dugaan berbentuk kesenangan adalah untuk melihat sejauh mana manusia bersyukur dengan nikmat Allah S.W.T yang tidak terhingga. Nikmat kesusahan pula diberikan untuk Allah meninggikan darjat iman seseorang itu.
Allah S.W.T. menurunkan dugaan kesusahan kerana merindui seseorang itu. Mungkin kerana faktor kesibukan kerja, seseorang itu telah terkurang ibadatnya. Jadi, Allah S.W.T. merinduinya untuk beribadat.
Atas dasar itulah Allah S.W.T. menurunkan ujian kepadanya supaya dia berdoa dan merayu kepada Allah agar dipermudahkan jalan penyelesaian buat ujian yang dihadapinya.
Hanya orang kuat akan diduga oleh Allah S.W.T. Harus juga diingat bahawa segala ujian yang Allah S.W.T. berikan juga hanyalah mengikut kemampuan seseorang itu.
Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 mafhumnya: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan apa yang terdaya olehnya, dia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…”
Melalui ayat ini, jelaslah kepada kita bahawa ujian yang diturunkan kepada kita itu tidaklah terlalu berat sehingga kita tidak mampu untuk memikulnya. Allah Maha adil. Allah sesekali tidak akan membebankan hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka hadapi.
Namun, realitinya pada hari ini amat menyedihkan. Tidak ramai dalam kalangan umat Islam yang benar-benar memahami konsep ujian yang Allah S.W.T. turunkan ini. Kebanyakannya berpendapat ujian Allah ini sebagai satu seksaan kepada mereka.
Ini jelas sekali bertentangan dengan konsep ujian daripada Allah. Ujian sebenarnya merupakan satu peluang kepada kita untuk ditingkatkan darjat di sisi Allah.
Ramai juga yang mengeluh setiap kali ditimpa ujian. Malah, lebih teruk ada yang sehingga mencaci-maki tatkala merasakan bebanan ujian itu terlalu berat untuk dihadapi.
Kadangkala, ujian itu tidak seberat mana. Namun, oleh kerana terlalu banyak mengeluh, jalan penyelesaian untuk sesuatu ujian itu menjadi kabur.
Sewajarnya sebagai seorang yang beriman, kita bertenang dan berdoa kepada Allah supaya ujian yang diberikan kepada kita itu mudah.
Di sini saya akan kongsikan beberapa langkah yang boleh kita ambil ketika menghadapi ujian Allah. Hal ini demi memastikan kita dapat menerima ujian itu sebagai sesuatu yang positif dan bukannya mengeluh serta mengaku kalah.
Antara langkah tersebut ialah:
Sabar
Sabar itu separuh daripada iman. Terdapat satu kata pujangga yang sangat menarik untuk didengari berkaitan dengan sabar iaitu ’orang yang kuat adalah orang yang mampu sabar dan menahan marahnya.’
Ini sememangnya benar. Tidak semua manusia mampu bersabar. Apabila mendapat sesuatu masalah atau musibah, kita lebih suka mengeluh daripada bersabar.
Sifat sabar itu sememangnya nampak mudah tetapi amat sukar untuk kita milikinya. Sebagai contoh, kita dibuli oleh seseorang. Adakah kita ingin bersabar ataupun membalas perbuatannya itu?
Apabila datangnya situasi begini, amat sukarlah untuk kita menguasai sifat sabar itu. Oleh yang demikian, kuasailah sifat sabar ini dalam diri. Sentiasalah bersabar apabila diduga oleh Allah.
Nescaya Allah akan memberikan lebih ganjaran kepada kita berkat kesabaran yang dimiliki itu.
Berfikiran Positif
Perkara penting yang menguasai perlakuan kita adalah pemikiran kita sendiri ataupun dipanggil mindset. Tetapkanlah di dalam minda bahawa setiap ujian yang Allah timpakan itu adalah untuk meningkatkan darjat kita di sisiNya.
Yakinlah juga bahawa setiap dugaan yang didatangkan itu akan ada bersamanya suatu hikmah. Sentiasalah berfikiran positif ketika menghadapi ujian Allah.
Sebagai contoh, jika kita diuji dengan kesakitan sehingga menyebabkan kita tidak dapat pergi ke tempat kerja. Hikmahnya ialah mungkin diri kita perlukan rehat setelah terlalu sibuk bekerja. Masa ini juga boleh kita gunakan untuk beribadat kepada Allah S.W.T.
Terdapat juga tanggapan tentang konsep ujian di mana ada yang menyatakan bahawa ujian ini merupakan kifarah dosa ataupun balasan atas dosa-dosa yang kita lakukan sebelum ini. Hal ini betul, tetapi tidak semestinya.
Jika diteliti pada sirah Nabi Muhammad S.A.W., Baginda turut diturunkan dengan pelbagai ujian malah lebih berat daripada ujian yang ditimpakan kepada kita pada hari ini. Adakah kerana Baginda berdosa? Tidak sama sekali.
Rasulullah S.A.W. adalah maksum, iaitu terpelihara daripada dosa dan telah dijanjikan syurga kepadanya.
Beristighfar
Sebaik sahaja sedar kita ditimpa ujian, beristighfarlah dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya dengan beristighfar dapat menenangkan sedikit hati yang sedang lara.
Tidak dinafikan, berat sekali mulut kita untuk beristighfar ketika ditimpa ujian, malah mulut kita lebih ringan untuk mengungkap kata-kata kesat bagi melepaskan tekanan yang dihadapi.
Cubalah yang terbaik untuk beristighfar. Andai kata terlalu sukar, mulakanlah dengan menyebut nama Allah setiap kali kita ditimpa masalah.
Biasakan diri berbuat begitu sehinggalah diri kita sudah terbiasa. Yakinlah bahawa setiap masalah yang kita hadapi itu ada penyelesaiannya.
Allah inginkan kita untuk berusaha demi menyelesaikan permasalahan tersebut. Setiap usaha yang kita jalankan juga telah dijanjikan pahala oleh Allah.
******
Kesimpulannya, Allah S.W.T. menurunkan ujian bukanlah untuk membebankan manusia tetapi untuk meningkatkan darjat mereka.
Setinggi mana pun tahap ujian yang kita terima sememangnya ada hikmah yang terlindung di sebaliknya.
Jangan sesekali berputus asa atas dugaan yang diterima.
Sebaliknya, tanamkanlah dalam fikiran bahawa ujian yang diterima itu hanyalah sekadar kemampuan diri dan bertujuan meninggikan lagi darjat kita di sisi Allah S.W.T.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis K.Z. Iskandar Zulfaqar. Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.