Istiqomah.
Menurut Umar bin Khatab R.A, istiqomah bereti bertahan dalam satu perintah dan juga larangan dan tidak berpaling daripada yang lain layaknya seperti seekor musang.
Manakala dari Ali bin Abi Talib, istiqomah beerti melaksanakan kewajipan yang sudah ditentukan (Shahid Ulhaq, 2015).
Itulah yang aku cuba lakukan setiap hari, istiqomah dengan perubahan yang aku sendiri lakukan. Kerana ingin mencari redha-Nya, dan melupakan dia.
“Nur, atok ni dah bagi makan ke?” Suara maklong menyentak aku daripada lamunan.
“Dah. Tunggu atok tidur je ni.” Berbulan menjaga atok, ini adalah rutin biasa aku untuk memastikan atok terjaga dengan sempurna sejak dia diserang strok.
Keputusan yang aku ambil, tanpa fikir banyak. Menolak tawaran kerja yang gajinya lebih lumayan sesuai dengan kelayakan ijazah yang disandang. Memilih berkerja shift, gaji kecil dan terperap di sisi atok.
Kenapa? Soalan yang jawapannya akan aku simpan sehingga ke mati.
Cukuplah aku katakan, rezekiku Allah yang tentukan, dan menjaga atok adalah salah satu peluang rezeki untuk aku berbakti. Pengganti ibu dan ayah yang kini tidak berdaya untuk menguruskan orang tua mereka.
Tidak terfikir aku untuk pulang ke semenanjung setelah 3 tahun di bumi Borneo, bergelumang dosa.
Pulangnya aku dengan satu tekad. Iaitu, bertaubat. Berpegang pada ayat ‘Innasolati, wanusuki, wamahyaya wamamati lillahi rabbil alamin.’, ‘sesungguhnya, solatku, ibadahku hanya untuk Allah, tuhan seluruh alam.’
Jalan istiqomah aku tidak mudah. Bila mula menutur kata baik, sahabat terdekat menyuruh aku melihat cermin, untuk melihat ciri-ciri orang munafiq.
Munafiqkah aku jika berusaha untuk menutup aurat, menjaga perkataan, mengelakkan perbualan yang maksudnya tersasar dari landasan?
Selain itu, merindui dia adalah dugaan terbesar dalam hidup aku. Kerana dulu hidup ini hanya berpaksikan dia, sehingga aku lupa, Allah yang memegang hati manusia.
Aku kejar cinta manusia, keagungan dunia, sehingga hidup menumbangkan tiang yang selama ini di tanam sejak kecil. Solatku entah ke mana, puasa hanya sekdar menahan lapar, tudung cuma fesyen.
Akhirnya, aku hilang dia, hampir hilang maruah, hilang segalanya. Sedangkan wanita solehah adalah perhiasan dunia, dan aku pula sibuk mengejar dunia, tanpa sedar aku menuju neraka.
Dia lelaki yang baik. Taatnya pada ibu bapa, usahanya untuk beribadah walaupun kadang-kala terleka, sentiasa bersopan dengan sesiapa sahaja.
Jarang aku dengar dia mengeluarkan kata kesat walaupun ketika itu dia diuji dahysat. Tapi aku, demi mengejar dia, aku berubah konon menjadi wanita moden. Sedangkan itu fatamorgana dunia.
Kini aku sedar, cinta yang suci itu, bukan dengan mengejar orang yang kita suka, bukan dengan acah-acah setia menunggu.
Tapi dengan mencari cinta Allah. Letakkan cinta pada Allah dan rasul. Lalu, cinta manusia hanya akan menjadi satu mimpi yang aku tahu tidak perlu kugapai lagi.
Kasih sayang dan rahmat Allah cukup untuk aku. Mungkin langkahku masih panjang, iman aku masih di tahap awam.
Aku masih berusaha untuk mendapatkan darjat wanita solehah itu. Itulah impian yang dipasang sejak kembali ke jalan yang benar.
Dengan fitnah akhir zaman yang berleluasa, hanya iman yang teguh dan doa sahaja mampu menyelamatkan aku.
InsyaAllah, aku akan terus istiqomah, dan kalian di luar sana jangan mengalah. Pintu taubat itu sentiasa terbuka. Rahmat Allah itu luas dan ada hikmah di sebalik semua yang berlaku.
Aku masih merindui dia, tapi kini istighfar menjadi makananku setiap kali dia terlintas di minda.
Semoga istiqomahnya aku membawa pengakhiran yang gembira di hari muka.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Hidayatul Fitrah Binti Ishak.
Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini