,

Pintu Taubat Sentiasa Terbuka Untuk Pendosa Pulang Pada PenciptaNya

Aku duduk sendiri. Memandang keindahan tasik dengan pandangan yang kosong. Rasa ini muncul lagi… rasa sepi dan sendiri.

Ya, sendiri. Tak punya sesiapa.

“Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan tiada pula benci kepadamu…” (Surah Ad-Dhuha: 3)

Seolah ada bisikan yang menghembus lembut, memujuk hati dan mendamaikan jiwa. Tenang dan selesa mendengar bait kata daripadaNya.

Umpama air dingin yang sejuk mengalir di mana kedinginannya mampu membuat hati panas menjadi sejuk, dan hati lemah jadi tabah.

Allah… kalimah agung itu meniti di bibirku. Pandanganku mula kabur, ada butiran jernih yang mula jatuh membasahi pipi.

Allah, Allah, Allah. Semakin lantang alunan zikir yang terluah, makin deras mutiara jernih yang mengalir. Hangat menyentuh pipi yang dingin.

Aku… rasa berdosa pada Tuhan. Terlalu banyak salah aku kepadaNya. Apa masih punya keampunan daripada Dia buat aKU, hamba yang derhaka.

Aku sering lupa kepada Dia, sedang Dia tak pernah meninggalkan aku.

Apabila aku diuji, aku melenting dan mula mempersoalkan kasih sayangNya, hingga ia membutakan mata aku untuk melihat segala nikmat dan kasih sayangNya.

Sedangkan berapa besar sangat la ujianNya, jika nak dibandingkan dengan kenikmatan yang diberikan kepada aku.

Aku sewenangnya melanggar hukum Tuhan. Hidup di dunia seolah dunia ini milik aku. Rasa akan hidup selamanya, seperti tiada kematian yang menunggu.

Aku menyeka air mata di pipi. Puas rasanya bila menangis dan mengadu pada Rabbi.

Allah, air mata ini pun kurniaan Ilahi, sungguh aku tidak memiliki apa pun. Tanpa Dia, aku tak punya apa-apa.

Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Ada satu mesej daripada nombor yang tak dikenali.

“Air apakah yang lebih suci daripada air mata seorang hamba yang menangis lantaran dosanya pada Ilahi? Jangan ditahan ia mengalir, kerana deraian air mata itu mampu memadam api neraka yang ditakuti. Usah merasa hilang harapan, selagi adanya Tuhan, kau masih punya pergantungan. Bangun dan melangkahlah menuju Tuhan, kerana pada sisiNya masih ada pengampunan.”

Aku mula aneh, siapakah gerangan si penghantar mesej ini.

Bagaimana dia tahu aku menangis.

Aku melihat sekeliling, tiada siapa. Cuma aku sendiri. Aku tersenyum sendiri.

Allahu, siapa pun dia. Aku bersyukur kerana aku dinasihatinya. Aku teringat bisikan daripada seorang teman,” Apabila kau dinasihati, anggaplah Allah sedang menegurmu.”

Ya, Allah sedang menegurku.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%