,

Ramadan – CahayaMu Ku Harapkan

Kedengaran gelak tawa anak kecil yang comel seolah-olah menikmati keberkahan malam Ramadhan. Hembusan angin malam mendinginkan perasaanku. Mataku terkedip-kedip merenung kosong ke arah langit.

Langit dihijab kepekatan malam. Hanya disinari oleh cahaya bulan. Semoga Ramadhan menjadi cahaya kepada jiwaku mendekati Allah S.W.T.

Pandanganku ke arah bulan mengingatkanku akan hadis terakhir yang dicatatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitab hadith terkenal iaitu Riyadhus Shalihin.

Hadith ini seolah-olah mengisyaratkan bahawa perjalanan hidup ini adalah menuju nikmat paling abadi iaitu ‘nikmat melihat Allah S.W.T’.

Tidak dapatku gambarkan betapa nikmat di kala wajah disingkap hijab dapat menatap wajah yang Maha Esa.

Daripada Suhaib, Rasulullah menerangkan, “Apabila ahli syurga sudah masuk ke dalam syurga, Allah bertanya, “Adakah kamu mahu aku tambahkan apa-apa?” Mereka menjawab, “Bukankah Engkau memutihkan wajah kami, memasukkan kami ke dalam syurga dan melepaskan kami daripada ahli neraka?” Kemudian Allah membuka tabir hijab antara Dia dengan hamba-Nya. Tidak ada sesuatu yang lebih mereka sukai selain daripada memandang Tuhan mereka.” (Hadith riwayat Muslim – Hadis Terakhir di dalam Kitab Riyadhus Shalihin)

Hadis yang terakhir ini membuat perasaanku sendu. Sedang nikmat terbesar adalah melihat Allah S.W.T. Namun hitam dan kelabu mewarnai perjalanan hidupku ini.

Adakah bulan Ramadhan ini memupuk jiwa insaf di kalbuku ini? Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W yang mulia pun memohon ampun 70 hari sekali.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. (Hadith riwayat al-Bukhari)

Aku teringat penghulu istighfar (Sayyid al-Istighfar) yang amat penting dihayati umat Islam. Di dalam penghulu istighfar ini dihimpunkan seni makna dan lafaz doa yang indah yang seharusnya dihafal oleh setiap umat Islam terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.” (hadith riwayat al-Bukhari (6306))

Ku sedar, rasa kecintaan padaNya perlu dipupuk melalui ibadat yang wajib. Rasa rindu padanya perlu disemai melalui zikrullah setiap hari. Rasa pilu dan sendu kepadanya perlu diiringi melalui rintihan doa dan tangisan air mata.

Tipu daya iblis (talbis iblis) perlu diberi suntikan nurbisa (penawar bisa) melalui solat malam dan pengajian majlis ilmu.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa hambaMu ini yang sangat lalai. Sesungguhnya aku ini fakir terhadap apa sahaja kebaikan yang Engkau kurniakan kepadaku.

Perasaan senduku hanya berputik apabila menghayati lagu-lagu nasyid yang penuh sayu.

Namun apabila aku berdiri menghadap yang Maha Esa, hatiku keras umpama batu yang tidak terkesan dengan deras air sungai.

Aku memerlukan pelita cahaya yang mampu menerangi hatiku, memimpin perjalananku yang penuh dengan dosa.

Aku yakin jalan pulang ke pangkuan Tuhanku amat luas, seluas-luas pintu di dalam dunia ini adalah pintu Taubat. Allah S.W.T akan mengampuni dosa selagi mana nyawa belum sampai ke halkumnya.

Di dalam hadis qudsi, Allah berfirman: “Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan.” (Hadith riwayat al-Tirmizi)

“Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar ayat 53)

Semoga Ramadhan ini menjadi sebab musabab untukku dapat melihat wajah Tuhan Yang Maha Esa tanpa sebarang hijab.

Hadis terakhir di dalam kitab Riyadhus Shalihin memberi inspirasi kepadaku dalam memburu keberkahan bulan Ramadhan.

Ku sedar, aku tidak layak untuk ke SyurgaMu, namun hambaMu ini sangat lemah menghadapi azab seksaan api nerakaMu. Ramadhan, cahayaMu ku harapkan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia. Ikuti blog beliau http://mridhuansulaiman.blogspot.my/

Adik penulis ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.