,

Buku Sahabat Baik

Musibah akan menimpa diri manusia jika akal dan hatinya tidak diaktifkan dengan membaca. Kejumudan akan berlaku dan akibatnya diri akan sibuk dengan kejahilan yang diciptakan sendiri.

Suka berhibur, panjang angan-angan, malas berusaha, hati dan fikiran kosong dan matlamat hidup menjadi kabur. Miskin ilmu, namun kaya nafsu menyebabkan manusia melarat jiwa dan raga.

Buku adalah harta yang tak pernah habis. Ia ibarat kunci untuk membuka otak dan memandunya ke arah nasihat. Banyak membaca membuat lidah petah, hati lapang dan fikiran terang.

Buku adalah hiburan ketika kita bersendirian, teman berdialog dan penawar hati yang sedih.

Semakin sering membaca, mengulang, mengkaji dan menghafal, maka semakin berbuahlah ilmu, ranum dan manis terasa manfaatnya untuk manusia.

Syaitan yang menebarkan racun kepada ahli ibadat dengan mudah akan merosakkan amal yang mereka lakukan kerana amal tanpa ilmu menjadi sia-sia.

Sedangkan ahli ilmu yang mengamalkan ilmunya menjadi musuh syaitan yang terlalu kuat kerana ilmu ibarat benteng yang terbuat dari besi waja yang kukuh.

Antara faedah ilmu ialah menghindarkan bisikan syaitan dan menghilangkan kesedihan. Kesedihan itu bersarang di dalam hati yang gelap, iaitu hati yang tiada cahaya ilmu.

Jika hati ditimpa kesusahan, ambillah ubat penawar daripada lautan ilmu, kitab yang mengandungi khazanah langit dan bumi, dunia dan akhirat.

Mengapa membawa diri ke tempat yang jauh, jika di dalam sebuah buku kita boleh menikmati perjalanan seluas mata memandang.

Kesusahan yang diderita oleh Abu Hurairah RA ketika menuntut ilmu tidak menyurutkan semangatnya untuk mendampingi Rasulullah SAW.

Suatu hari beliau menderita kelaparan yang amat sangat sehingga orang yang melihatnya menyangka beliau mempunyai penyakit sawan. Keadaan umat Islam saat itu terlalu daif, ramai yang menahan lapar selama berhari-hari.

Abu Hurairah Ra adalah antara sahabat yang miskin namun dia sentiasa bersama Rasulullah SAW untuk menghafal Hadis.

Walaupun hanya empat tahun bergaul dengan baginda SAW namun tiada seorangpun daripada kalangan sahabat yang mampu menandingi banyaknya hafalan Abu Hurairah.

Sesungguhnya kesedihan dan kemiskinan itu ada penawarnya. Ilmu yang bermanfaat membawa kebahagiaan yang hakiki.

Teringat saya akan kisah perjalanan mencari ilmu oleh ulama hadis yang paling ulung, al-Imam al-Bukhari. Walau dalam keadaan daif yang dideritai, pada usia 11 tahun beliau telah mula mempelajari hadis.

Setelah menghafal hadis dari ulama yang tinggal di kotanya, beliau mengembara ke negeri-negeri yang jauh bersama ibunya kerana sang ayah telahpun meninggal dunia.

Walaupun hidup dalam keadaan yatim, beliau terus mencari ilmu hadis hingga ke Balkh, Baghdad, Makkah, Kufah, ‘Asqalan dan Damsyik.

Beliau berkata: “Ketika aku berumur lapan belas tahun, aku telah menghafal fatwa-fatwa daripada para sahabat dan tabiin.”

Seorang sahabat beliau pernah berkata: “Al-Bukhari pergi bersama-sama kami belajar kepada seorang guru. Kami semua mencatat hadis-hadis yang kami pelajari namun dia hanya duduk berdiam diri sahaja.”

Salah seorang menegurnya: “Kamu hanya membuang masamu.”

Datang lagi sahabat yang lain menegurnya, hingga beliau marah dan berkata: “Kamu semua telah mengganggu, mari bawakan kesemua catatan kamu.”

Sungguh, kami telah mendengar dia menghafal sebanyak 15,000 hadis persis sama banyaknya seperti catatan kami.

Pada masa ini, sumber rujukan ilmu bertambah luas. Buku-buku yang berada di pasaran terlalu banyak, amat senang diperolehi. Tamadun manusia bertambah maju, hanya yang rajin membaca dan sayangkan buku dapat mengejar segala ketinggalan dalam kemajuan ilmu.

Membaca adalah ibadat, jika ia boleh menerangi hati dan menundukkan jiwa ke jalan Allah. Dialah Pemilik segala ilmu dan atas setiap mereka yang berilmu itu ada Yang Maha Berilmu.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.