, ,

Bilangan-bilangan Saksi Dalam Setiap Kesalahan Mengikut Undang-undang Islam

Syahadah atau kesaksian merujuk kepada perkhabaran yang benar dalam majlis kehakiman dengan menggunakan lafaz asyhadu (aku naik saksi) bagi mensabitkan sesuatu.

Terdapat lima syarat untuk menjadi saksi dalam pelaksanaan undang-undang Islam, iaitu:

(a) Mukalaf, muslim dan merdeka (namun ada pandangan tidak semestinya Muslim).

(b) Bermaruah

(c) Adil

(d) Tidak ada tohmahan ke atas dirinya

(e) Tidak menjadi musuh terhadap orang yang didakwa

Kemudian, bagi kesalahan-kesalahan yang khusus, ada bilangan saksi yang berbeza.

Jom kita lihat satu persatu.

(a) Empat orang saksi

Semua mazhab bersepakat bahawa bilangan saksi dalam kes qazaf (menuduh orang zina) dan zina mestilah mempunyai empat orang saksi (lelaki).

Allah Subhanahu Wa  Ta’ala berfirman:

وَٱلَّذِينَ يَرۡمُونَ ٱلۡمُحۡصَنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَأۡتُواْ بِأَرۡبَعَةِ شُهَدَآءَ فَٱجۡلِدُوهُمۡ ثَمَٰنِينَ جَلۡدَةٗ وَلَا تَقۡبَلُواْ لَهُمۡ شَهَٰدَةً أَبَدٗاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.”

(Surah an-Nur 24:4)

(b) Tiga orang saksi

Imam Ahmad bin Hanbal berpandangan bahawa orang yang dianggap kaya tetapi mendakwa dirinya miskin, perlu dibuktikan melalui tiga orang saksi untuk mengesahkan dakwaannya.

(c) Dua orang saksi lelaki / Seorang lelaki dan dua orang perempuan

Semua mazhab bersepakat bahawa bilangan saksi bagi kes yang melibatkan harta mestilah mempunyai dua orang saksi lelaki, ataupun seorang lelaki dan dua orang perempuan.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

وَٱسۡتَشۡهِدُواْ شَهِيدَيۡنِ مِن رِّجَالِكُمۡۖ فَإِن لَّمۡ يَكُونَا رَجُلَيۡنِ فَرَجُلٞ وَٱمۡرَأَتَانِ مِمَّن تَرۡضَوۡنَ مِنَ ٱلشُّهَدَآءِ

“…dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi…”

(Surah al-Baqarah 2:282)

Wallahu’alam.