, ,

Apakah Cabaran Yang Dihadapi Untuk Melaksanakan Undang-undang Islam?

Sebelum kedatangan penjajah, negeri-negeri di Tanah Melayu melaksanakan undang-undang Islam.

Namun, apabila penjajah datang khususnya pihak Inggeris, mereka menghapuskan undang-undang Islam malah menggunakan pula undang-undang Inggeris.

Setelah beratus tahun lamanya undang-undang tersebut ‘sebati’ dengan masyarakat setempat, adakah mudah untuk mengubah perkara tersebut dan melaksanakan undang-undang Islam semula, seperti sebelum kedatangan penjajah?

Jom kita lihat tiga cabaran utama yang dihadapi untuk melaksanakan Undang-undang Islam.

1. KESEDIAAN MASYARAKAT

Tidak dinafikan, ada dalam kalangan masyarakat Islam sendiri yang merendah-rendahkan hukum Islam, mengatakan bahawa ia sudah ketinggalan zaman dan sebagainya.

Secara tidak langsung, di samping mereka menonjolkan kejahilan mereka, ia menjadi penghalang untuk terlaksananya undang-undang Islam.

Jadi, banyak usaha yang perlu dilakukan khususnya para alim ulama’ dan sarjana Islam yang berperanan untuk memberikan penerangan kepada masyarakat.

Jernihkan kembali segala pemikiran mereka mengenai undang-undang Islam, yang sepatutnya ia bukan menjadi alternatif kepada peraturan tetapi itulah yang sepatutnya dilaksanakan.

2. MASYARAKAT BERBILANG KAUM

Realitinya, masyarakat di negara kita berbilang bangsa dan agama, jadi pelaksanaan Undang-undang Islam sudah pastinya tidak semudah yang disangka. 

Sebagai orang Islam, kita sendiri perlu meyakinkan orang bukan Islam tentang kebaikan undang-undang Islam yang bukan hanya sekadar baik dari segi teori tetapi juga termasuklah praktikaliti.

Pihak berwajib juga berperanan untuk memperbanyakkan dialog dan memperbaiki kelemahan teknikal yang wujud dalam beberapa aspek undang-undang Islam.

3. POLITIK

Ketika penjajah membuat keputusan untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, adakah bermaksud mereka meninggalkan Tanah Melayu begitu sahaja?

Hakikatnya, tidak… kerana mereka sendiri telah mempersiapkan undang-undang Inggeris dan penyokong mereka di sini supaya hasrat mereka terlaksana.

Jadi, proses yang melibatkan perlembagaan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diubah begitu sahaja.