, ,

Undang-Undang Jenayah Islam Masih Tidak Diamalkan Secara Menyeluruh

Undang-undang jenayah Islam terbahagi kepada tiga iaitu qisas, hudud dan takzir. Mahkamah di Malaysia pula terdiri daripada Mahkamah Awam dan Mahkamah Syariah. Bidang kuasa Mahkamah Awam lebih besar daripada Mahkamah Syariah.

Hal ini adalah kerana Mahkamah Awam merangkumi semua kesalahan jenayah atau sivil yang dilakukan orang Islam atau bukan Islam di Malaysia.

Sedangkan, Mahkamah Syariah hanya merangkumi orang Islam sahaja mengikut negeri masing-masing khususnya dari segi undang-undang kekeluargaan dan harta pusaka.

Jadi, berdasarkan sistem undang-undang di Malaysia, perlu difahami bahawa undang-undang jenayah Islam masih belum diamalkan secara menyeluruh kerana ada yang diuruskan di bawah Mahkamah Syariah tetapi ada juga yang diuruskan di bawah Mahkamah Awam.

Antara huraiannya adalah seperti berikut:

(a) Semua kesalahan qisas tidak dibicarakan di Mahkamah Syariah, contohnya:

– Kes pembunuhan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil (Awam) dan luar bidang kuasa Mahkamah Syariah.

(b) Tidak semua kesalahan hudud dan takzir dibicarakan di Mahkamah Syariah, contohnya:

– Kesalahan mencuri, menyamun dan memberontak di bawah kuasa Mahkamah Awam.

– Kesalahan zina, qazaf, minum arak dan murtad dibicarakan di Mahkamah Syariah tetapi tertakluk di bawah kuasa Mahkamah Awam.

Mahkamah Syariah juga lebih fokus kepada undang-undang seperti keluarga Islam, harta pusaka dan zakat.

Jadi, Mahkamah Syariah telah dikecilkan skopnya dan tidak mengikuti undang-undang Jenayah Islam yang sebenar.

Akta Mahkamah Syariah 1984 menyatakan bahawa Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau apa-apa denda sehingga RM5000 atau sebatan sebanyak enam rotan, atau gabungan semua hukuman itu.

Maka, mana-mana hukuman yang melebihi jumlah hukuman yang telah ditetapkan, maka ia di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia dan perlu dibicarakan di bawah Mahkamah Awam.