, ,

Betapa Pentingnya Undang-undang Keterangan Dalam Sistem Kehakiman Islam

Dalam Islam, apabila membuat pertuduhan terhadap kesalahan atau jenayah yang dilakukan seseorang, kedua-dua pihak iaitu pihak yang menuduh dan pihak yang dituduh perlu mengemukakan bukti dan keterangan kerana ia akan memberi kesan dalam menentukan sesuatu keputusan yang bakal dibuat oleh hakim.

Tanpa keterangan atau bukti yang lengkap, ia pasti merumitkan hakim untuk membuat keputusan, malah boleh jadi hakim akan berlaku tidak adil kerana kurangnya bukti.

Berkaitan konsep keadilan, Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.

Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah an-Nisa 4:135)

Jadi, keadilan tidak dapat ditegakkan jika bukti atau keterangan yang diberi tidak menyeluruh.

Bahkan, bagi yang menjadi saksi, berkatalah benar walaupun pahit.

Jangan sesekali terfikir untuk berat sebelah kerana hakikatnya semua yang berlaku, jika terlepas di dunia, pasti tetap akan dibalas seadil-adilnya di akhirat kelak.

Wallahu’alam.