,

Jangan Berputus Asa!

“Katakanlah: Wahai hamba-hambaKU yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya . Sungguh, Dialah yang Maha Pengampun, Maha Penyayang” (Surah Az-Zumar: 53)

Sungguh lembut dan indah cara Allah memberi harapan dan motivasi kepada kita hamba yang lemah lagi hina ini.

Dalam ayat yang tersebut di atas sudah cukup untuk membuat kita tetap bangkit walau sering terjatuh pada lubang dosa yang sama.

“La Ta’ natu”- jangan berputus asa!

Itulah suatu sifat yang Allah ajarkan kepada kita mengenai harapanNya kepada kita.

Allah sendiri yang memujuk kita agar kita tidak mudah berputus asa dari rahmatNya.

Kita boleh belajar dari syaitan yang sifatnya tidak berputus asa dalam menyesatkan manusia dari jalan Allah.

Nah! Kalau syaitan juga yang jahat itu tidak berputus asa, apatah lagi kita manusia yang hebat ini pula mudah terasa jauh dan berputus asa dengan rahmat Allah.

Kita manusia dididik oleh Allah agar selalu kuat dan tidak mudah menyerah kerana Allah adalah sebaik-baik penolong.

Walaupun kita sering berbuat dosa, zina atau maksiat, pintu rahmat Allah itu luas dan tidak pernah tertutup melainkan apabila kiamat tiba.

“Aku buat lagi! Aku tau Allah tak akan maafkan aku!” Mungkin kita pernah atau sering terpikir seperti ini, nah, inilah titik punca syaitan itu menyesatkan kita agar kita bersangka buruk dengan Allah.

Sedangkan kita sebagai hamba perlu tahu sifat Allah itu Ar-Rahman dan Ghafur (Maha Pengasih dan Pengampun).

Tidak kira berapa ribu kali pun kita jatuh pada lubang dosa yang sama, kita perlu bangkit dan memotivasikan iman kita untuk selalu bertaubat.

Allah itu suka kepada hamba-hambaNya yang suka membersihkan diri dari dosa.

Apabila kita telah berbuat dosa kita hendaklah bersegera melakukan taubat, bukankah Allah telah berfirman: “dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, bersegera ingat kepada Allah lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah?” (Surah Al-Baqarah: ayat 135)

Di sini saya kongsikan sedikit cara atau tips yang dapat memotivasikan iman kita agar tidak berputus asa dari rahmat Allah:

1. Lawan bagi sifat berputus asa adalah YAKIN. Kita kena tanamkan dalam diri kita dengan sifat YAKIN; yakin bahawa Allah tidak akan menzalimi kita dan Dia pasti akan sentiasa menerima taubat kita.

2. OFFLINE dengan syaitan- kita perlu bina firewall dari syaitan dengan menjauhkan perkara-perkara yang mendekatkan kita kepada maksiat, contohnya hiburan yang lagha dan melalaikan kerana syaitan mudah menggoda manusia yang sering melakukan perkara-perkara lagha.

3. ONLINE dengan Quran- kita hidupkan semula jiwa kita dengan beramal dan menghayati kalam Allah. Quran itu ubat bagi jiwa yang lalai dan hati yang resah.

4. Istiqamah dalam melakukan kebaikan- konsisten dalam melakukan apa jua amalan kebaikan yang boleh menjauhkan kita dari dosa dan kelalaian. Sebagai contoh istiqamah pergi majlis-majlis ilmu, menjaga solat dan amalan yang membawa kepada kebaikan.

5. Doa- doa adalah kekuatan kita dan kekuatan kita adalah Allah. Mintalah pertolongan dengan Allah melalui solat dan sabar. Itulah kunci kita agar kita sentiasa kuat dan dijauhkan dari sifat berputus asa.

Akhir kata, saya ingin memetik kata-kata penulis kegemaran saya, “Manusia yang jauh dari rahmat Allah itu adalah mereka yang lemah.”– Hilal Asyraff, Langit Ilahi.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Najibah binti Mohd Ridhwan @Stefphine Foo May Ling. Berasal dari Brunei Darussalam.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.