Ilmu sangat penting dalam kehidupan setiap hamba. Tanpa ilmu, ibarat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat tidak dapat diperolehi.
Ilmu umpama kunci kepada kebahagiaan itu. Walaupun sebuah bangsa itu memiliki jumlah penduduk yang ramai, tetapi tanpa ilmu dalam diri, mereka mudah dihancurkan dalam sekelip mata.
Kedudukan ilmu agama adalah lebih tinggi dan lebih utama berbanding ilmu dunia.
Melalui ilmu agama, seseorang dapat mengecapi kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Ilmu dunia hanya untuk dunia sahaja. Ilmu akhirat? Tepuk dada, tanya iman kita.
Melalui ilmu, kita dapat berdakwah. Dakwah adalah satu tugas yang mulia kerana ia merupakan misi yang menyambung risalah dakwah para rasul.
Tanpa dakwah, agama Islam tidak akan tersebar ke seluruh dunia. Dakwah adalah tunjang kepada penyebaran Islam.
Namun begitu, dakwah bukanlah jalan yang ditaburi bunga-bunga indah untuk kaki melangkah kerana dipenuhi onak duri kehidupan.
Tetapi, percayalah bahawa penghujungnya adalah sebuah kemanisan yang indah. Kita perlu merasai pahitnya hempedu sebelum merasai kemanisan madu itu.
Seseorang yang berniat untuk berdakwah perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan semangat yang tinggi.
Tanpa kedua-duanya, pendakwah pasti kecundang dalam kesesatan. Maka, carilah bekalan ilmu untuk kesejahteraan hidup kita.
Apabila berilmu, kita boleh membezakan perkara bidaah, khurafat dan hadith palsu yang mengundang kepada pencemaran terhadap agama kita sendiri.
Cuba tanya diri, apa tujuan kita diciptakan? Tentu kita pernah tertanya pada diri kita, mengapa aku dicipta?
“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.”
Surah Az-Zhariyat, ayat 56 itulah jawapannya!
Matlamat hidup kita adalah untuk menyembah dan beribadat kepada Allah. Itulah matlamat sebenar kita diciptakan!
Sesungguhnya manusia yang baik itu bukanlah manusia yang tidak pernah melakukan dosa.
Tetapi manusia yang baik adalah manusia yang apabila dirinya melakukan sesuatu dosa, sama ada sengaja atau tidak sengaja, sama ada diketahuinya ataupun tanpa pengetahuannya, dia segera bertaubat kepada Allah.
Pesanan buat diri, jangan terleka dengan kehidupan dunia fana yang penuh fatarmorgana.
Kehidupan dunia hanyalah persinggahan sementara menanti destinasi sebenar… akhirat!
Justeru, jadilah orang yang berilmu, orang yang mengamalkan ilmu dan orang yang menyampaikan ilmu.
Semoga Allah SWT sentiasa memudahkan urusan menuntut ilmu kita semua.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.