,

Adakah Kita Mencari Allah Di Saat Susah Sahaja?

Di mana Allah di hatimu?

Adakah kita mencari Allah saat kita benar-benar susah sahaja atau pun saat kita ditimpa musibah atau ujian?

Di mana kita letakkan Allah saat kita senang dan gembira?

Allah akan sentiasa menanti kehadiran kita, rintihan kita, doa daripada kita, malah Allah akan sentiasa rindu mendengar suara hamba-hambaNya.

“Kalau hambaKu mendekat kepada diriKu sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Kalau hambaKu mendatangiKu dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari.” (Hadith riwayat Bukhari)

Itulah manifestasi hubungan Sang Khaliq terhadap hambaNya yang berusaha untuk sentiasa mencari Allah.

Dalam Al-Quran juga sering menyatakan bahawa Allah itu sangat dekat dengan kita, cuma terkadang diri kita lalai dan leka dalam mengingatiNya.

Kita sering lupa kejayaan dan nikmat yang kita perolehi hari ini adalah di atas rahmat dan kasih sayang daripada Allah.

Kasih sayang Allah begitu terasa walau kita dalam keadaan sulit sekalipun, Allah tidak pernah sekali meninggalkan kita.

Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat 186,

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Allah dengan penuh sifat Ar-Rahim-Nya, penyayang terhadap hamba-hambanya.

Apabila kita melakukan dosa, Dia sudi memaafkan dan mengampuni segala dosa kita.

Hakikatnya dosa yang kita lakukan tak terkira banyaknya saban hari.

Malah diberikannya kita nikmat bernafas dengan percuma tanpa meminta sebarang bayaran, tetapi kita masih kufur nikmat dan menjadi hamba yang tidak pernah bersyukur.

Peluang umur yang panjang adalah jalan terbaik untuk kita sentiasa bertaubat dan kembali ke jalan yang Allah redha.

Selagi kita masih punya masa, dakaplah cinta Allah dengan sebaiknya.

Balaslah cinta Allah dengan penuh rasa kasih, bahawa Allah menyayangi kita lebih daripada segala-galanya.

Berlarilah menuju Allah dengan mengharapkan pertemuan denganNya adalah sesauatu yang dinantikan.

Berlarilah dengan meninggalkan segala jahiliah yang makin berkarat di dalam diri.

Berlarilah menuju Allah, dengan meninggalkan segala perbuatan keji yang Allah mungkar dan larang.

Janganlah kita begitu utamakan cinta dunia hingga kita ketepikan cinta yang paling agung,yakni cinta Allah.

Kerana redha Allah itu lebih kita dambakan daripada yang lain. Jika ditanyakan soal cinta, jawapan yang terbaik adalah cinta Allah, cinta yang benar-benar suci.

Semoga dengan mencintai Allah sepenuh hati, kelak kita akan bertemu denganNya dalam keadaan Dia tersenyum menyambut kehadiran kita.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.