,

Dihantui Bayangan Silam

Tatkala ditariknya nikmat, tiada siapa pun bisa melawan. Kerana itu kehendak Sang Pemilik Nikmat. Segala-galanya telah tertulis di Luh Mahfuz.

Namun, lazimnya di kala sesuatu nikmat ditarik pasti berganti. Sungguh, kasih Sang Maha Rahim tidak bisa dihitung walau tinta selautan. Singkaplah tirai hati. Memupuk syukur, melenyap kufur.

Renung dalam-dalam, mengimbau kisah silam. Bayi gebu, putih melepak, berambut lebat. Dilahirkan dari rahim emaknya. Sperma terhasil dari mani, bercantum padu dengan ovum membentuk benih insan.

Daripada segumpal darah berubah kepada janin. Roh pula ditiupkan dan dikurniakan pancaindera. Maha Suci Allah punya kuasa dan segala cipta.

Emak bertarung nyawa berpantang ajal. Perjuangan kasih emak cukup sakti. Dengan izin Tuhan, munculnya bayi comel itu ke dunia pada tanggal 9hb Mac 1985.

Cukup sifat tiada cacat tiada cela. Sihat tubuh badan, lincah seperti anak-anak lain di muka bumi. Tiada keganjilan tiada keanehan kerana bukan anak makhluk asing.

Membesar dengan penuh kasih sayang serta menjadi tumpuan abang long, kak ngah, abang lang, kak uda, nenek, atuk, tok (nenek menurut sebutan utara).

Namun, sinarnya hanya seketika. Mulai malap menggamit duka. TakdirNya telah menentukan. Bayi comel itu jatuh sakit di kala usianya mencecah sekitar 5-6 tahun. Suhu panas membahang tubuhnya. Tiada terduga tiada amaran. Benar-benar menduga kecekalan emak dan ayahnya.

Perubahan fisiologinya semakin goyah. Mulai merosot perlahan-lahan.

Saban hari, saban tahun, beransur-ansur lemah seluruh anggota tubuh. Kecuali otak dan pemikiran tidak terencat tidak terjejas.

Malahan terus berkembang pesat. Bersekolah dan berkawan seperti kanak-kanak lain.

Cuma, seringkali dibuli segelintir rakan di sekolah. Mungkin kerana pembuli-pembuli kecil itu belum memahami, di mana sebenarnya kekuatan fizikal patut disalurkan. Bukan pada penganiayaan, tetapi pada pertolongan.

Setelah 4 tahun berlalu, kesihatan anak kecil yang dahulunya si bayi comel itu sudah berada di tahap getir.

Sekali lagi tercalar ketabahan emak dan ayahnya. Anak kecil itu sudah tidak bisa bangkit, berdiri, berjalan dan berlari.

Suasana kehidupannya berubah secara drastik. Linangan air mata seringkali menghambat perasaan emaknya.

Ayahnya pula meskipun tidak menzahirkan sebarang rasa gusar dan sukar. Namun, tangisan hati meluap-luap secara tersembunyi.

Begitulah kasih, begitulah sayang. Setiap insan bergelar emak dan ayah, tidak sanggup melihat anak-anaknya melarat luka walau sekecil nyamuk yang menggigit.

Di garis mula terpalit dugaan, si anak kecil itu tidak menzahirkan sebarang rasa duka mahupun berasa dunia sudah kiamat baginya. Tetap ceria, riang gembira bersama abang long, kak ngah, abang lang dan kak uda bergurau senda serta saling berkasih sayang.

Mungkin kerana ramah dan mewahnya kasih sayang emak, ayah dan seluruh ahli keluarga terhadap dirinya mekar subur.

Ternyata kasih sayang itu nikmat daripada Sang Maha Rahim yang tiada tolok bandingnya. Tidak bisa diperolehi dengan materi.

Namun, lama-kelamaan suatu fasa duka mula dirasai. Anak kecil itu mula dibelenggu jiwa kacau. Mudah tersinggung, bak kaca jatuh pecah berderai. Dihimpit rasa rendah diri keterlaluan serta hilang keyakinan.

Sungguh pun begitu, pengalaman mengajar erti kecekalan, ketabahan dan memupuk kematangan serta kewarasan. Anak kecil itu sudah pun melangkah ke alam dewasa.

Kini, beliau sudah mengerti akan hikmah di sebalik dugaan menimpa. Langit hidupnya kembali bersinar dari sirna. Bak pelangi memancar sejurus hujan reda.

Sebuah kalam Allah SWT, sering membisik ke jantung hatinya, “Sesudah kesulitan, ada kemudahan.” (Al-Insyirah: 6)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Adli Abdullah yang merupakan seorang novelis OKU @TLiNGE. Antara karya beliau ialah Elektro Pengaman Sejagat (http://play.tlinge.com/audiobook/elektro-pengaman-sejagat/).

Ikuti perkembangan beliau di Facebook AdliAbdullah, Facebook TLiNGEapp, Instagram AdliAbdullah.official, dan Twitter AdliAbdullah85.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.