,

Kisah Anak Kecil Dan Ibunya Mengingatkan Aku Kepada Sesuatu…

Suasana di taman permainan seperti kebiasaannya, sentiasa riuh dengan gelagat anak-anak kecil yang leka bermain. Sesekali, imbasan memori di waktu kecilku kembali terukir pada kanvas ingatan.

Melihat telatah anak kecil juga suatu terapi, selepas letih dengan karenah dunia yang tak putus-putus datang menerjah!

Dan dalam leka aku menikmati suasana petang itu, entah mengapa lamunanku sedikit terganggu dengan esakan seorang anak kecil yang seakan sedang dimarahi oleh ibunya.

Aku juga tidak tahu mengapa dan apa yang dilakukan oleh anak kecil itu sehingga dia dimarahi oleh ibunya, tapi yang pasti, seorang ibu tidak akan melakukan perkara sebegitu melainkan atas tujuan ingin ‘membentuk’ dan ‘mendidik’ anaknya.

Dan aku terus memerhati kejadian tersebut, sehinggalah esakan anak kecil tadi bertukar menjadi suatu tangisan. Dan ibunya, terus beredar meninggalkan anak kecil itu. Bersendirian, menangis dan terus menangis.

Aku jadi kaget. Takut-takut kalau wanita itu benar-benar ingin meninggalkan anak kecilnya di situ. Aku menanti seketika, sekadar mengawasi anak kecil itu dari jauh. Berharap agar sangkaan pertamaku itu benar meleset!

Selang beberapa minit, wanita tadi datang kembali. Lantas anak kecil itu berlari ke arah ibunya dan terus mendakap erat batang tubuh wanita itu. Tangisannya yang kuat tadi, juga mulai beransur reda.

“Pasti wanita itu tidak sengaja membiarkan anak kecil itu bersendirian. Mungkin dia sedang cuba ajarkan sesuatu kepada anaknya,” bisik hati kecilku.

(Syukur, kerana sangkaan aku tadi hanyalah sekadar mainan perasaan…)

Dan entah mengapa, kejadian tadi sedikit sebanyak mengajar aku tentang sesuatu yang cukup bernilai. Kisah tadi seolah membuka luas mataku untuk melihat hakikat sebenar sebuah kehidupan.

Sepertimana kehidupan yang tidak selamanya menjanjikan kita dengan kisah-kisah yang berbentuk keindahan semata, akan ada juga jerih dan lelah sepanjang permusafiran diri. Pasti akan ada kesilapan yang dilakukan sepanjang kita mengemudi bahtera di atas lautan kehidupan.

Bukankah kita manusia, tiada yang sempurna?

Dan sesekali, rasa futur akan mulai menyambar diri. Sehingga matlamat perjalanan dalam kehidupan juga terasa seperti kabur. Seolah hilang arah dan tujuan.

Dan mungkin, ujian itu juga adalah sebahagian daripada proses tarbiyyah yang Allah rencanakan kepada hambanya. Sengaja Allah letakkan kita pada suatu keadaan di mana tangisan menjadi penawar bagi segala luka dan duka lewat ujian yang dihadapi.

Seperti kisah anak kecil yang ditinggalkan ibunya, sehingga akhirnya tangisan anak kecil tadi bertukar kepada senyuman hanya selepas dia merasai kasih dan sayang daripada pelukan sang ibu.

Begitulah miripnya hidup kita saat ditimpakan dengan ujian. Kita akan mulai mencari kekuatan yang mampu menutupi segenap ruang kesedihan.

Ternyata ujian itu adalah tanda Allah menunjukkan rasa cinta kepada hambanya. Kita diuji bukan kerana kita dibenci. Bahkan, Allah sengaja meletakkan kita pada suatu tempat agar kita menangis dan menginsafi. Kerana di akhirnya, Allah yang akan kita cari.

“Sesungguhnya besarnya pahala sebanding dengan besarnya ujian. Dan sesungguhnya jika Allah mencintai suatu kaum pasti Dia menguji mereka. Maka siapa yang redha (terhadapnya) maka baginya keredhaan Allah, dan siapa yang marah (terhadapnya) maka baginya kemurkaan Allah.” (Hadits Riwayat Al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Begitulah proses pendidikan yang mungkin cuba Allah ajarkan kepada hambanya. Melalui ujian dalam kehidupan yang bukan sengaja Allah rencanakan, jauh sekali untuk melemahkan hambanya.

Bahkan melalui ujian, kita akan mengalami suatu proses pembentukan dan tarbiyyah daripada Allah yang akhirnya menjadikan kita insan yang jauh lebih kuat dari sebelumnya.

Bukankah ujian itu bahkan mampu mendekatkan kita kepada Sang Pencipta? Hanya selepas kita meyakini dan berpegang erat kepada tali pengharapan-Nya. Tidaklah kita diuji kerana dibenci, tetapi bukti rahmat Tuhan masih belum terhenti.

“Berusahalah mencari kebaikan meski yang terlihat di depan matamu hanyalah suatu keburukan.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Sabirrin bin Md Zahar. Berasal dari Tanjung Malim, Perak. Merupakan pelajar Bioperubatan di UIAM. Ikuti penulisan beliau di blog dakwatsofa.wordpress.com atau blog kolabrasi bersama rakan iaitu theleinspiration.blogspot.my.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.