,

Bagaimana Penjajahan British Memberi Kesan Terhadap Undang-Undang Islam di Tanah Melayu

Korang mesti tahu, penjajahan British di Tanah Melayu telah bermula pada tahun 1786 apabila Francis Light sampai ke Pulau Pinang kemudian melakukan perjanjian bersama sultan Kedah. Secara tidak langsung, perjanjian itu membuka peluang untuk British mula melaksanakan undang-undangnya di Tanah Melayu.

Pihak British menganggap bahawa Pulau Pinang tidak mempunyai undang-undang yang tersusun, malah menganggap negeri-negeri lain di Tanah Melayu juga sebegitu, di samping mengatakan bahawa undang-undang Islam yang telah dilaksanakan adalah tidak sesuai dan zalim.

Jadi, pihak British membuat keputusan melalui hakim-hakimnya untuk mengisytiharkan Pulau Pinang sebagai Newly Settled Territory iaitu tanah yang baharu dijumpai, kesannya rakyat perlu mengikut  undang-undang British.

Bukan itu sahaja, pada tahun 1807 pihak British telah mewujudkan Charter of Justice supaya Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang dan undang-undang Inggeris dapat dikuatkuasakan.

Tanah Melayu jatuh ke tangan pihak British pada tahun 1824 melalui perjanjian inggeris-Belanda. Kesannya, pihak British mula campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu.

Selain Pulau Pinang, negeri lain pada ketika itu iaitu Melaka dan Singapura juga dianggap sebegitu, maka Charter of Justice yang kedua ditubuhkan pada tahun 1826. Ketiga-ketiga negeri ini dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat dan mengamalkan undang-undang Inggeris sepenuhnya ketika diluluskan pada tahun 1826.

Pihak British menubuhkan Negeri-Negeri Melayu  Bersekutu yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Sistem residen diperkenalkan malah memaksa sultan-sultan supaya mengisytharkan undang-undang Inggeris atas nama sultan sendiri.

Pihak British juga menubuhkan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu yang terdiri daripada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Sistem residen juga diperkenalkan sehinggalah terlaksananya Undang-undang Inggeris melalui penubuhan State Council.

Pihak British campur tangan dalam pentadbiran negeri Johor melalui pindaan undang-undang negeri Johor terutamanya pada Fasal 46 dan 47,  sehingga pihak Inggeris berjaya memasukkan orangnya ke dalam ahli majlis mesyuarat untuk melaksanakan undang-undang Inggeris di Johor.

Begitulah sedikit sebanyak bagaimana pihak British mampu melaksanakan undang-undang Inggeris di Tanah Melayu, sehinggalah undang-undang Islam tidak lagi dilaksanakan sepenuhnya dan hanya tertumpu pada hal keagamaan dan kekeluargaan sahaja. Pihak British berjaya memisahkan agama daripada urusan pentadbiran negara, yang dikenali sebagai sistem sekular.