Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Allah Maha Besar.
Akhirnya kita berjaya melalui dan menelusuri bulan Ramadhan dengan perasaan gembiranya. Seharusnya bulan Syawal melimpahkan perasaan kegembiraan dan kemenangan kepada golongan yang bertaqwa.
Seharusnya di bulan Syawal ini, kita sudah berada dalam keadaan fitrah (bersih daripada dosa). Pelbagai ganjaran pahala yang berganda-ganda dijanjikan Allah S.W.T yang Maha Penyayang.
Sekurang-kurangnya perasaan cintakan solat berjemaah dan cintakan al-Quran meresapi jantung hati kita ini.
Bulan ini bulan kemenangan. Kemenangan di bulan Syawal ini diselubungi rasa gembira pabila Takbir Raya bergema. Pujian Allah Yang Maha Besar dilaungkan di serata dunia. Memuji kebesaran Allah S.W.T. Kita gembira.
Namun, di sebalik lidah kita meriah dengan nada gembira, namun lidah Syria pula sepi tidak bermaya menempuh gundah. Kesedihan Syria tanpa diundang dan tanpa ungkapan salam.
Mereka menongkah gelombang Syawal dengan rasa penuh rasa derita dan duka lara. Hidup mereka dalam keadaan kelam tanpa cahaya.
Terkenang nasib anak-anak kecil Syria dalam menempuhi hari Aidilfitiri ini. Bagaimana pakaiannya? Bagaimana makanannya? Bagaimana perasaannya?
Ku terkedu pabila menatap wajah comel kanak-kanak Syria sekecil umur 4 tahun yang terkorban oleh kerakusan pengganas-pengganas ini.
Di dalam saat begini, musuh Islam ini seolah-olah mahu membuat nokhtah hidup bagi penduduk Syria ini.
Seolah-olah mahu melenyapkan warisan muslim Syria dengan membunuh jiwa anak-anak kecil Syria yang tidak berdosa ini. Apakah salah anak-anak kecil ini? Mereka tidak berdosa… alangkah kejamnya! Alangkah zalimnya!
Ya Allah… Engkau Maha Penyayang Di Kalangan Yang Penyayang
Ya Allah… Kami Merintih Memohon Pertolongan Daripada Engkau
Ya Allah… Jangan Engkau Biar Anak-Anak Kecil Syria Dihambat Rasa Derita
Ya Allah… Kurniakanlah Nikmat Kegembiraan Ke Atas Jantung Hati Mereka
Gambar anak kecil Syria yang terkorban
Masyarakat Malaysia hanya melirik sekuntum puisi dengan rasa simpati, sedang mereka menyesak onak duri di dalam kembara dunia yang penuh lara ini.
Mungkin inilah yang dimaksudkan nikmat dalam derita. Mereka membawa pelita cahaya dalam menempuhi jalan penuh derita. Mereka bersandarkan pergantungan kepada Allah semata-mata.
Semoga Allah memberikan ganjaran syurga kepada para muslimin dan muslimat yang melayari kembara perjalanan yang penuh ujian ini. Semoga dosa-dosa mereka terpadam dan dibersihkan bagaikan cermin.
“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Teringat daku akan ayat suci al-Quran yang boleh melunturkan hati yang keras sekiranya dihayati dengan perasaan iman dan ihsan.
Sesungguhnya Allah itu dekat. Tidaklah Allah akan membiarkan muslim Syria dalam keterlantaran. Allah akan mengabulkan doa kita agar dikurniakan kesejahteraan dan kemenangan kepada Muslim Syria.
Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Apabila derita dan duka lara meresapi, ku yakin mereka akan menadah tangan berdoa dengan penuh perasaan sendu. Lalu tersingkapnya doa yang mustajab.
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ
“…. Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat.” (Surah Al-Baqarah: 186)
Semoga tangisan air mata anak kecil Syria ini mampu mencampakkan rasa keinsafan ke dalam jantung hati kita.
Suara anak-anak kecil Syria sudah tidak bermaya lagi untuk merayu pertolongan kita. Tergamak kita bersahaja, hanya menjadi penonton setia dan melupakan janji kita bersaudara.
Bantulah saudara kita. Walaupun hanya dengan sekeping RM 1 sahaja. Walaupun hanya sepotong doa sahaja.
Penulis teringat akan hadis yang pernah dikongsikan oleh Sahibus Samahah Dr Zulkifly Datuk Dr Zulkifli Mohamad al- Bakri di bawah ini. Seharusnya jantung kita penuh dengan rasa simpati terhadap nasib anak-anak Syria.
Maksudnya: “Siapa yang tidak perihatin terhadap urusan orang Islam, maka ia bukan dari kalangan mereka.” (Diriwayatkan oleh al-Imam al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsat (7473). Hadith dhoif (lemah) dan al-Tabarani sendiri yang mengisyaratkannya. Namun, makna hadith ini adalah benar)
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan Bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia. Ikuti blog beliau, http://mridhuansulaiman.blogspot.my/
Ayah kepada penulis ada menjual madu tualang. Adik kepada penulis juga ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram bin Sulaiman di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.