,

Mengapa Kita Ragu Memberi Salam Kepada Orang Tak Dikenali?

“HAK seorang muslim ke atas muslim yang lain itu ada enam. Antaranya, jika kamu bertemu dengannya hendaklah kamu mengucap salam.” (Hadith riwayat Muslim)

Assalamualaikum yang bererti selamat sejahtera ke atas kamu.

Jika kita soroti sirah Rasulullah SAW kita akan dapati bahawa memberi salam terlebih dahulu adalah salah satu ciri yang ada pada diri Rasulullah SAW.

Baginda tidak pernah gagal untuk mengucapkan salam terlebih dahulu berbanding orang lain.

Setiap kali bertemu dengan seseorang, baik orang dewasa yang lebih tua, mahupun kanak-kanak, dari dekat ataupun jauh, Baginda pasti terlebih dahulu memberi salam.

Terdapat beberapa orang para sahabat yang ingin berusaha menjadi orang yang pertama yang memberi salam kepada Rasulullah s.a.w, tetapi tidak berjaya.

Ada suatu ketika, mereka bersembunyi di laluan yang biasa Baginda lalui.

Apabila melihat dari jauh yang Baginda akan melalui jalan tersebut, mereka pun bersiap sedia untuk mengucapkan salam.

Namun apabila sampai di tempat persembunyiaan mereka, Baginda nabi lebih dahulu berkata, “Assalamualaikum wahai orang yang berada di belakang dinding. Aku tidak mahu menjadi orang yang lambat dalam memberi salam sehingga hembusan nafasku yang terakhir.”

Mereka yang bersembunyi pun keluar dari tempat persembunyian mereka dengan perasaan malu sambil menjawab salam Rasulullah.

Mengapakah adakalanya kita teragak-agak ataupun ragu-ragu untuk memberi salam kepada seseorang terutamanya kepada orang yang kita tidak kenali?

Sedangkan kita tahu dan pasti bahawa ganjaran pahala yang akan kita peroleh.

Tidakkah kita mahukan semua itu? Hanya menyebarkan salam, ianya tidak perlu menggunakan tenaga ataupun modal kita.

Marilah kita sama-sama berlumba dalam memberi salam dengan ikhlas tanpa ada niat yang lain kerana ia adalah satu cara yang terbaik untuk menjalinkan sebuah persaudaraan atau pun ukhwah.

Dan dengan memberi salam juga, dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.