, ,

Aku Benci Abang Long! (bahagian 1)

Langit tidak selalunya cerah. Kadangkala ia mendung. Akan ada jua suatu ketika, suhunya terasa panas bagaikan bahangnya jelas tegak di atas kepala.

Tetapi, keadaan yang sangat menggerunkan, menakutkan, menjadikan diri terketar-ketar bahkan ingin berkurung sentiasa di tempat yang paling jauh dan sunyi iaitu saat berubahnya bagaikan petir yang menyambar, munculnya kilatan cahaya disusuli suara keras.

Perumpamaan apa yang sesuai diselitkan?

Mungkin jika ingin dibandingkan dengan halilintar, ada juga kemungkinan perbandingan itu tidak layak untuk Abang Long.

Kadangkala ia kelihatan melampau kerana segarang-garang Abang Long tidaklah sekuat–kuat pekikan halilintar.

Usu sekadar berdiam diri. Agak kelihatan tidak layak dan biadab jika dia mengeluarkan kata.

Siapa lah dia. Sekadar merasakan dirinya bagaikan yang paling ‘mentah’ disebabkan status bongsunya yang dilihat kurang makan garam.

Abang Long sahajalah satu-satunya saudara kandung yang Usu punya kerana bilangan adik-beradiknya hanyalah dua orang iaitu hanya Abang Long dan Usu sahaja.

Jarak umur mereka yang berbeza sepuluh tahun itu menyebabkan ada suatu masa mereka sukar memahami untuk sesebuah perkara.

Namun, segala apa yang memakan hatinya hanya dipendam tanpa diluah meskipun rasanya teramatlah sakit.

Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui segala isi hati yang dipendam.

Akan tetapi, Usu tahu bahawa memendam rasa sebegitu akan membawa kesan negatif terhadap diri bahkan berkemungkinan boleh menyebabkan depres jika terlalu difikirkan.

Salah satu cara Usu mengungkapkan perasaannya ialah melalui penulisan diari.

Bermonolog sendirian di kamar juga merupakan salah satu daripada tindakannya dan jikalau orang lain melihat Usu berperilaku sedemikian secara langsung, boleh jadi hukuman ‘gila’ diberikan.

Lalu apakan daya yang Usu mampu lakukan? Selain mengadu kepada Allah Yang Maha Esa, jalan itu juga merupakan jalan kedua yang dirasakan terbaik. Mungkin!

“Abang Long garang! Abang Long tidak ada perasaan!! Kenapa Abang Long sukar untuk memahami aku?! Apa salah aku?!!!” Monolog Usu dengan nada memberontak.

“Usu sukar untuk mengerti Abang Long apatah lagi mahu memahami kerana Usu hanyalah anak bongsu. Mungkin benar. Usu manja dan selalu inginkan lebih perhatian. Tetapi apa gunanya jika Abang Long hanya tahu marah Usu? Sehinggakan pernah terdetik dalam benak fikiran Usu, apa salah Usu sebenarnya? Adakah Abang Long tidak sayang Usu? Apa yang patut Usu lakukan supaya dapat puaskan hati Abang Long?” Salah satu daripada catatan luahan diari Usu.

Senario dalam adik-beradik sememangnya bervariasi. Karenah, tingkahlaku dan personaliti sememangnya berbeza mengikut psikologi masing-masing.

Perwatakan setiap seorang sangat sukar untuk difahami jika tidak didalami, diteliti dan dikaji.

Timbul juga persoalan, adakah sikap sedemikian dengan corak masing-masing yang berbagai berpunca daripada bagaimana hasil didikan ibu bapa?

Mungkin ada benarnya juga, tetapi tidaklah sampai ke tahap seratus peratus jari perlu dituding terhadap ibu bapa.

Tidaklah dinamakan manusia jika tidak ada silap yang dibuat.

Kesilapan mengajar erti apakah yang perlu diperbaiki, di celah manakah terletaknya lompang yang perlu diisi.

Di samping membesarkan anak-anak, secara realitinya ibu bapa juga sedang mempelajari apakah acuan yang betul yang sepatutnya diberikan terhadap anak-anak mengikut kesesuaian dan peringkat masing-masing.

Bahkan, kedua-duanya sedang memperbaiki diri menimba pengalaman bagaimana seronoknya menjadi ibu bapa saat menyambut hari pertama kelahiran anak sulung.

Tetapi dari aspek lain, ia bukan mudah! Mengapa?

Sudah tentu tidak lain dan tidak bukan, anak-anak itu dikurniakan sebagai amanah. Bunyinya mudah untuk disebut, tetapi tanggungjawabnya tidak semudah menyebutnya dengan mulut.

Amanah itu adalah salah satu perkara besar yang akan disoal sesudah seseorang hamba dipanggil menghadap Ilahi.

Hatta gunung sekalipun boleh hancur kerana boleh merasakan betapa beratnya amanah itu, namun bagaimana dengan kita selaku manusia?

Bagi yang bergelar ibu bapa sudah tentu tahu bagaimana peritnya untuk melaksanakan amanah dengan sepuas hati lebih-lebih lagi dalam tugas mendidik anak-anak kerana anak-anak ibarat kain putih ,ibu bapa yang mencorakkannya sama ada baik mahupun buruk.

Namun begitu, tidaklah bermaksud anak sulung yang dilahirkan adalah sebagai bahan ‘eksperimen’ untuk mendidik anak-anak yang lain pula kelak.

Tidak dinafikan ada yang berpendapat sebegitu tetapi cuba bayangkan tempat kita adalah di situasi ibu bapa. Bagaimana rasanya?

Ada sahaja yang boleh memahami. Walaubagaimanapun ia akan lebih difahami jika diri sendiri merasai dan menghayati.

“Usu!!!”, seru Abang Long dengan nada yang paling Usu takut.

“Agak-agaknya mengapakah nada panggilan Abang Long lantang sebegitu? Adakah aku buat silap lagi?”

“Ya Abang Long. Ada apa?”

“Apa yang Usu dah buat?!! Kenapa keputusan peperiksaan Usu tidak memuaskan?” Abang Long mula merenung tajam terhadap Usu.

Usu pula terketar-ketar ingin menjawab. Dia tahu bahawasanya dia agak perlahan dan lemah dalam pelajaran terutamanya subjek Matematik.

“Apa yang Usu buat di sekolah setiap hari? Kalau ditengok kepada keputusan ini seolah-olah ke sekolah hanya sekadar pergi dan balik. Tidak nampak seperti orang yang mahu belajar! Begitulah sifat budak-budak zaman sekarang. Belajar malas tetapi ingin hidup senang,” marah Abang Long yang diselang dengan sedikit leteran.

Pertanyaan dengan nada sebegini menambahkan lagi identiti sebagai ‘penakut’ pada pembentukan personaliti Usu. Diam. Setiap kali dimarah begitulah reaksinya.

Pemberontakannya akan meletus ketika dia bersendirian. Barang-barang di sekeliling dibaling dan ditumbuk-tumbuk.

Sekiranya terdapat kertas ketika itu, kertas tersebut akan diperlakukan mengikut perasaan yang menguasai dirinya sama ada membuang isi hatinya keluar dan dipindahkan ke atas kertas itu ataupun ia menjadi mangsa yang akan dikoyak rabak atau direnyuk-renyuk.

Setiap kali dipersoalkan Abang Long, Usu sememangnya makan hati.

“Abang Long tahu marah saja. Kenapa Abang Long hanya tahu cari silap aku? Ketika aku buat silap, Abang Long marah. Tetapi, ketika aku buat sesuatu yang membanggakan, Abang Long tidak pernah tunjuk reaksi gembira sedikit pun. Apa salah aku ?!!” Ujar Usu secara bersendirian di bilik tidurnya sambil matanya mendesak mengeluarkan titisan.

“Mungkin aku sekadar tempat melepaskan marah. Aku benci Abang Long!! Benci!!! Benci!!! Benci!!! Kalau aku berjaya nanti, aku tidak mahu lagi jumpa Abang Long. Biar Abang Long rasakan apa yang aku rasa. Aku ingin Abang Long rasakan kesunyian yang aku hadapi. Kesunyian tidak ada tempat untuk meluah.”

Usu mula beremosi. Apabila tiba waktu-waktu sebegini, tidak ada sesiapa yang boleh mengganggunya kerana pemikirannya mula diracun emosi yang tidak rasional.

Proses untuk Usu menuju ke arah kematangan perlu ditempuh dengan pelbagai dugaan.

Kecewa, marah, benci melulu yang tidak rasional, iri hati kerana sukakan benda yang sama dan banyak lagi harus diterokai oleh salah satu elemen ciptaan yang ada dalam diri manusia yang diberi nama ‘hati’ kerana sememangnya ia sukar diuruskan dan selalu berbolak-balik.

Usu cuba untuk bertenang. Tetapi bukan senang untuk dia meredakan kemarahan apabila nafsu marah berada di peringkat paling atas.

“Bagaimana jikalau aku telefon Awatif? Agak-agak dia sibuk kah? Hmm…” secara tiba-tiba Usu teringatkan sepupunya itu yang paling akrab sejak kecil lagi, Awatif Mahira.

Jarak umur di antara Usu dengan sepupunya itu tidaklah begitu jauh bezanya iaitu Awatif dua tahun lebih tua darinya.

Segala perasaan yang mengganggu fikiran Usu akan dikongsi bersama sepupunya itu kerana baginya Awatif adalah seorang kakak dan dialah pendengar setia yang paling memahami.

 

> bersambung Aku Benci Abang Long! (bahagian 2) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Najya Marzuki.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%